Ombak setinggi tiang elektrik membadai bot pukat tunda

Cemas berdepan 'anak' Sonamu

Bot nelayan berlabuh di muara Kuala Dungun
DUNGUN - “Ombak setinggi tiang elektrik (kira-kira tiga hingga lima meter) berkali-kali membadai bot pukat tunda saya, masa itu saya tidak tahu adanya amaran ribut Sonamu sebab sudah lebih tiga hari saya berada di laut, hubungan kami terputus,” kata Fauzi Ibrahim, 43, nelayan yang berdepan detik cemas ketika dihempas ombak.

Ketika kejadian, Fauzi yang tinggal di kampung nelayan Seberang Pintasan Dungun bersama beberapa rakannya yang menaiki bot pukat tunda berada kira-kira 100 batu nautika di tengah laut.

Berkongsi pengalaman cemas itu, Fauzi berkata, dia yang memandu bot pukat tunda berukuran kira-kira 20 meter panjang keluar menangkap ikan melalui jeti Kuala Dungun petang Sabtu lalu.

Fauzi berkata, ketika itu dia tidak tahu adanya amaran ribut Sonamu bakal melanda perairan Pantai Terengganu, khususnya perairan Dungun.

Menurut Fauzi, pada jam 12 tengah malam semalam, dia masih berada di tengah lautan dan ketika dalam perjalanan pulang, dia sempat menghidupkan telefon bimbit lalu mendapat mesej daripada rakannya mengarahkan agar dia segera pulang berikutan amaran ribut Sonamu daripada pihak berkuasa.

“Ketika itu, hati saya gementar, selepas menaikkan pukat, kami terus bertolak pulang ke daratan.

“Namun ketika dalam perjalanan pulang, bot kami beberapa kali dihempas ombak besar setinggi tiang elektrik, nasib baik tiada perkara buruk berlaku dan kami selamat sampai di daratan kira-kira jam 5 pagi,” kata Fauzi yang masih trauma dengan kejadian dihempas ombak besar yang disifatkan anak Sonamu itu.


Rezeki boleh dicari

Bagi Yusuf Ahmad, 60, dia mengambil keputusan untuk tidak turun ke laut selepas rakannya mengambil pendirian serupa sebaik melihat keadaan laut bergelora berikutan kehadiran Sonamu.

“Bila ada arahan, kita kena patuhlah kalau tak mahu perkara buruk berlaku.

“Apabila keadaan sudah reda nanti, boleh keluar semula. Tak ada masalah. Rezeki boleh dicari, tetapi nyawa tak boleh diganti,” kata Yusuf yang juga seorang juragan dan juruselam.


Tidak ambil risiko

Hashim Omar, 57, pula menyifatkan kejadian ombak besar Sonamu yang dikatakan boleh mencecah ketinggian sehingga enam meter itu merupakan satu perkara biasa baginya yang sudah lebih 40 tahun bergelumang di laut bergelora.

Namun sebagai nelayan berpengalaman, dia mengambil langkah selamat untuk tidak berdepan risiko sebab bimbang dengan keselamatan diri serta awak-awak bot di bawah jagaannya.

“Sudah tiga hari kami tak ke laut, tak apalah, tak ada rezeki lagi. Apabila cuaca sudah pulih, kami buatlah kerja rutin macam biasa.

“Kalau keluar, jadi apa-apa nanti susah juga, jadi baik tak payah keluar,” katanya.


Langkah berjaga-jaga

Sonamu berasal daripada perkataan Korea merujuk kepada pokok pine yang merupakan nama tiga siklon tropika di utara Lautan Pasifik Barat.

Siklon tropika adalah ribut ganas yang berputar selain mempunyai ukur lilit sehingga ratusan kilometer.

Berikutan satu laporan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia yang mengatakan ribut berkenaan menghampiri perairan 756 kilometer pantai Dungun, penduduk tempatan terutama kaum nelayan mengambil langkah berjaga-jaga untuk tidak melibatkan diri dengan aktiviti pantai.

Bagaimanapun tinjauan Sinar Harian di beberapa lokasi tepi pantai pagi semalam mendapati tiada sebarang kejadian tidak diingini dilaporkan dan penduduk masih menjalankan rutin harian seperti biasa.

Namun pihak berkuasa menasihatkan orang ramai agar mengambil langkah berjaga-jaga.

sinar harian


6 comments:

  1. kesian dekat orang yg cari rezeki melalui laut kan

    ReplyDelete
  2. Sepatutunya sebelum kejadian semalam pihak marine kenalah pantau perairan supaya tak ada yg turun ke laut.

    Sebaiknya nelayan kita kena ada radiolah sebab kalau tak info apa pun dia tak tahu.

    Tempiasnya sampai JB tau redz.

    ReplyDelete
  3. sedih dengar kesian nelayan2

    ReplyDelete
  4. kesiannya kat pakcik tu, kalo la ombak tu betol2 mengganas apa agaknya akan jadi dgn nelayan2 tu semua..

    ReplyDelete