Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun boleh digelar ‘hero
cilik’ apabila cuba melawan seorang daripada tiga perompak yang
memasuki rumah keluarganya di sini, Rabu lalu.
Bagaimanapun, tindakan beraninya itu berakhir tragedi apabila dia
cedera di kedua-dua belah tangan selepas menahan libasan parang dihayun
suspek menyebabkan remaja itu terpaksa menerima 15 jahitan.
Mangsa yang juga murid tahun tiga di sebuah sekolah rendah di daerah ini, terpaksa dibawa ke Hospital Batu Gajah bagi mendapatkan rawatan sebelum dibenarkan keluar kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.35 petang di Taman Bemban Raya itu,
mangsa yang tinggal bersendirian di rumah didatangi tiga lelaki kononnya
pekerja Tenaga Nasional Bhd (TNB) yang ingin menukar meter elektrik.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah Asisten Komisioner Shaharon Anuar Abdul Latif berkata, mangsa sempat menelefon ibu yang sedang bekerja di sebuah kilang bagi memaklumkan kehadiran tiga lelaki itu. Beliau berkata, mangsa terkejut apabila tiga lelaki itu memasuki rumah dan mencekik lehernya sebelum menggeledah rumah bagi mencari barangan berharga menyebabkan mangsa menjerit meminta tolong.
“Jeritan mangsa didengari seorang jiran yang kemudian datang membantu. Sebelum beredar, seorang daripada suspek sempat melibas kanak-kanak berkenaan dengan parang.
“Jiran mangsa sempat bergelut dengan suspek sebelum seorang
daripada suspek berjaya diberkas selepas dibantu beberapa jiran lain,”
katanya pada sidang media, di sini, semalam.
Katanya, suspek berusia 33 tahun dari Taman Seri Ara, Parit itu ditahan reman tujuh hari berakhir 30 Januari ini bagi membantu siasatan.
Shaharon berkata, suspek turut mempunyai satu rekod jenayah lampau
berkaitan dadah, manakala identiti dua lagi suspek gagal diperolehi
sehingga kini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, kumpulan berkenaan mula bergiat aktif sejak akhir tahun lalu selain terbabit dalam modus operandi sama iaitu menyamar sebagai pekerja TNB.
“Siasatan awal mendapati tindakan suspek sukar diragui memandangkan suspek lengkap berpakaian seperti pekerja TNB dan membawa perkakasan membaiki meter elektrik.
“Kami juga akan bekerjasama dengan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh berkaitan jenayah dilakukan kumpulan sama di Chemor sekitar Disember lalu,” katanya.
Katanya, beliau menasihatkan kepada orang awam supaya berwaspada dengan individu tidak dikenali dan tidak sesekali membenarkan mereka masuk ke dalam rumah tanpa sebab.
hmetro.com.my
Budak baru 9 tahun manalah tahu hal-hal penyamaran ini. Kalau org dewasa pun boleh tertipu apa lagi budak seusia ini.
ReplyDeleteBetul-betul tak aman dah...
kesiannya..nasib baik ada jiran yang tolong, kalo tak boleh mati budak tu..bahayanya kes penyamaran camni..
ReplyDelete