ATM pilihan peminat julang Piala Sumbangsih malam ini

BAHANG kehangatan perlawanan Piala Sumbangsih antara Kelantan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Stadium Shah Alam malam ini semakin dirasai manakala peminat bola sepak mula melontarkan pendapat masing-masing mengenai pasukan yang bakal muncul juara edisi kali ini.

Mungkin sukar untuk meramalkan pasukan yang paling layak, antara Kelantan dan ATM, untuk menjulang piala ini.

Bagaimanapun kesungguhan dan kemampuan kedua-dua pasukan musim lepas lebih menarik dengan masing-masing mempunyai kekuatan yang tersendiri namun silap sedikit percaturan boleh membawa padah.

Kedua-dua pasukan bertemu semula dalam masa tidak sampai dua bulan selepas final Piala Malaysia.

ATM memang terkenal dengan corak permainan pantas sementara Kelantan dengan kombinasi pemain muda dan pemain berpengalaman sudah pasti mempergunakan kelebihan masing-masing untuk memenangi Piala Sumbangsih 2013.

Begitupun, Kelantan yang kehilangan dua tonggak utama, Norshahrul Idlan Talaha dan Mohammad Ghaddar mungkin mempunyai sedikit kesukaran untuk menewaskan ATM.

Adakah ATM mampu melakukan kejutan malam ini?

Menurut tinjauan Sinar Harian Online semalam,  rata-rata peminat memilih pasukan ATM dan yakin mereka mampu menjuarai Piala Sumbangsih.

Berikut  komen orang ramai mengenai pasukan pilihan masing-masing.

Rgobi Ragoo: "Saya yakin ATM akan menang dengan jaringan gol 2-0 ke atas Kelantan. Bagi saya ATM sebuah pasukan yang kuat dan mereka pasti akan membuka liga musim ini dengan kemenangan."

Akmal Hazin: "Sebenarnya kedua-dua pasukan sama kuat dan mantap. Tapi saya lebih suka corak permainan yang ditunjukkan oleh pasukan ATM berbanding Kelantan.

"Jadi, saya berpendapat ATM akan berjaya memburu kejuaraan sulung dalam perlawanan pembuka tirai Liga Malaysia 2013. ATM akan menang dengan 3-1."

Sabri Hassan: "Kedua-dua pasukan mempunyai peluang seimbang di mana pemenang ditentukan dengan kelebihan satu gol berdasarkan rekod cemerlang dalam saingan musim lepas.

"Namun, berdasarkan ramalan saya, ATM akan memenangi Piala Sumbangsih musim ini,  gol 2-0, atau penentuan akan ditentukan dengan sepakan penalti yang memihak kepada ATM 5-3."

Izrin Yusmiza Mat Zahid: "Kelantan kini berada dalam landasan yang tepat. Malah selaku juara treble musim lepas, pastinya peminat berharap skuad The Red Warriors mempamerkan aksi yang lebih bertenaga untuk membawa pulang piala sulung buat negeri Cik Sit Wan Kembang musim ini."

"Oleh itu, saya yakin dengan mempunyai  barisan pemain serangan yang kuat Kelantan akan menang dengan 1-0."

Mohd Faizal Emin: "Saya pilih ATM. ATM mempunyai kualiti yang mantap untuk menjuarai piala malam esok (hari ini).

"Saya yakin ATM akan turun dengan semangat yang tinggi bagi menundukkan pasukan Kelantan dengan 3-1."

Mohd Norzi Mohd Noor: "Piala Sumbangsih akan menjadi milik Kelantan. Walaupun Kelantan kehilangan beberapa tonggak utama, tapi saya rasa tiada masalah buat anak buah Bojan Hodak untuk menewaskan ATM.

"Kerana kita tahu bermain bola adalah berpasukan bukan individu, jadi tiada Ghaddar atau Mat Yo tidak mencacatkan barisan Kelantan. Kelantan akan menang 2-0."

Nur Farieza Diana: "Untuk kali ini, saya beranggapan ATM lebih kuat daripada Kelantan. Ini dapat dilihat apabila tonggak utama The Red Warriors sudah berhijrah ke pasukan lain.

"Jadi, peluang untuk ATM membalas dendam nampak cerah. Dan saya terlalu yakin anak buah Sathianathan akan menunjukkan taring yang sebenar malam esok (hari ini) dengan menewaskan Kelantan 2-1."

Riduwan Mat Saham: "Saya rasa ATM akan menang. ATM mempunyai corak permainan yang lebih berkualiti daripada Kelantan.

"Tapi untuk menundukkan Kelantan bukan perkara senang, mungkin ATM hanya akan menang dengan jaringan satu gol sahaja.

"Apapun, saya berharap ATM akan turun berjuang berhabis-habisan dan buktikan ATM pasukan yang digeruni."

Muhammad Afiezi Mohd Arifin: "Saya rasa ATM mempunyai peluang cerah untuk menjuarai Piala Sumbangsih kali ini.

"Kehilangan dua tonggak utama akan memberi masalah kepada Kelantan dan saya yakin ATM berpeluang untuk menjuarainya. Mungkin ATM 2-1."

Khairul Azhar Anuar: "Saingan sengit akan berlaku dalam pertembungan dua pasukan itu kerana masing-masing pastinya mengidamkan piala tersebut."

"Tapi saya yakin Kelantan mampu menewaskan ATM dengan 2-0. Bagaimanpun keupayaan skuad ATM tidak boleh dipertikaikan memandangkan mereka turun gelanggang dengan status sebagai juara Liga Perdana.

"Jadi, Kelantan harus berhati-hati dan tunjukkan taring agar dapat membuktikan Kelantan adalah pasukan Gergasi Pantai Timur yang terbaik."

sinar harian


5 comments:

  1. Org nak kata ATM suka hatilah tak apa tapi kakak sokong Kelantan - kalah-menang tak kisah janji ada semangat juang yg kental.

    ReplyDelete
  2. x tgk..tapi akhirnya atm menang..hehee

    ReplyDelete