Philippe Troussier sah latih Harimau Malaya?


KUALA LUMPUR - Philippe Troussier dikatakan sudah sah akan mengisi kekosongan untuk jawatan ketua jurulatih Harimau Malaya meskipun pengumuman rasmi hanya akan dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selewat-lewatnya pada bulan depan.

Semalam, sumber mendedahkan bekas pengendali pasukan Jepun itu telah sah menjadi jurulatih skuad kebangsaan bagi menggantikan Datuk K. Rajagobal yang tamat kontrak pada Disember lalu.

Malah Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin walaupun tidak mengesahkan berita itu tetapi beliau juga tidak menafikannya.

"Sabar, tunggu keputusan rasmi," katanya menerusi sistem khidmat pesanan ringkas, apabila diajukan perkara itu semalam.

Desas-desus menyebut jurulatih dari Perancis itu bukan sahaja akan membimbing Harimau Malaya tetapi turut dilantik sebagai Pengarah Teknikal.

Nama Troussier mula dikaitkan dengan jawatan itu sejak November lalu, dan semakin hangat apabila beberapa pegawai atasan FAM bertemu dengan agennya di London baru-baru ini.

Sebelum ini FAM mengakui hanya keadaan kewangan semasa persatuan itu yang menghalang hasratnya untuk menggunakan khidmat jurulatih berusia 58 tahun itu.

Troussier sebelum ini dikatakan menuntut gaji bulanan lebih RM416,000 iaitu angka yang dianggap cukup besar selain setimpal dengan pencapaian yang telah diraih.

Troussier sebelum ini banyak menghabiskan masanya di Afrika, memajukan pasukan kebangsaan Nigeria, Afrika Selatan dan Burkina Faso sehingga digelar White Witch Doctor. Beliau turut membimbing Jepun mara ke pusingan kedua Piala Dunia 2002 setelah dua tahun sebelumnya me latih mereka untuk menjuarai Piala Asia 2000.

Troussier dicalonkan untuk jawatan jurulatih oleh FAM bersama-sama rakan senegara, Marcel Desailly, Alex Miller dari Scotland, Bobby Houghton dari England dan bekas jurulatih Pahang, Dollah Salleh yang kini sudah diikat oleh PDRM FC.

Sumber: utusan malaysia

3 comments: