Bekas ratu cantik mati ditembak depan anak


Caracas: Bekas ratu cantik dan pelakon telenovela Venezuela dan bekas suaminya mati ditembak di depan anak perempuan dalam kejadian dipercayai dirancang dengan teliti semalam.

Monica Spear Mootz, 29, bersama lelaki warga Britain Thomas Berry, 39, menemui ajal dengan disaksikan anak mereka, Maya, 5, yang turut cedera di kaki. Monica mencipta nama di Venezuela selepas memenangi gelaran Ratu Venezuela pada 2004 selain terkenal melalui wataknya dalam telenovela Forbidden Passions. Polis setakat ini menahan lima suspek, termasuk dua remaja berusia bawah 18 tahun berhubung kes itu.


Menurut laporan stesen televisyen kereta mangsa mengalami kerosakan apabila keempat-empat tayarnya pancit dipercayai terlanggar paku yang sengaja ditabur di laluan berkenaan. Pengarah siasatan Jose Gregorio Sirralta berkata, mangsa cuba menyorok dalam kereta ketika dihampiri perompak terbabit, namun mereka ditembak dari luar.

Sekurang-kurangnya enam tembakan dilepaskan dengan satu terkena pada dada Berry manakala mayat Monica menunjukkan beberapa kesan tembakan.


“Ketika kejadian, kereta itu sudah berada di atas trak penunda menyebabkan polis turut menahan dua pemandu trak tunda yang berada di tempat kejadian untuk siasatan,” katanya.


POLIS memeriksa kenderaan mangsa yang dipenuhi kesan tembakan. Gambar kecil, Monica (kiri) dan Berry berkahwin pada 2008.

 Walaupun sudah berpisah dengan Berry, pasangan itu masih mempunyai hubungan baik dan bercuti bersama demi anak mereka. Monica turut banyak memuat naik beberapa gambar serta video sepanjang percutian itu. Kejadian rompakan seperti itu kerap berlaku di Venezuela sejak kebelakangan ini dengan perompak merosakkan kereta mangsa menggunakan pelbagai cara sebelum mengambil kesempatan menyamun mangsa.

Ibu bapa Monica diterbangkan ke Venezuela dari Florida menaiki pesawat peribadi disediakan Presiden Venezuela.


Bapa Monica, Rafael berkata, keluarganya terlalu sedih dengan kejadian itu.

“Anak saya seorang yang baik dan disayangi semua.


“Dulu saya tidak membenarkan semua anak saya menonton telenovela, namun selepas dia menjadi pelakon saya sendiri pula menonton semua rancangan televisyen membabitkannya,” katanya. - Agensi

Sumber: Harian Metro

1 comment: