Wajib derma darah sebelum bernikah

 
Gorontalo, Sulawesi Utara: Setiap pasangan yang ingin bernikah di Gorontalo diwajibkan menderma darah terlebih awal kepada pertubuhan Palang Merah Indonesia (PMI) sebelum majlis berkenaan diizinkan.

Gabenor Gorontalo, Rusli Habibie berkata peraturan itu dibuat kerana tabung darah di wilayah itu mengalami kekurangan kritikal dan masih belum diatasi.


Bagi 1,000 pek darah yang diperlukan setiap bulan, hanya 400 hingga 500 yang dapat diganti semula melalui derma orang awam.

“Itu pun jika ada program khas, seperti ulang tahun wilayah atau agensi tertentu,” katanya. Rusli yang juga Ketua PMI Gorontalo berkata, bekalan darah sangat sukar diperoleh ketika ini. Justeru, katanya, kerajaan memerlukan kerjasama daripada ketua kampung di enam daerah dalam Gorontalo memasukkan syarat pendermaan darah bagi bakal pengantin. “Ia memberi kebaikan kepada kedua-dua pihak.


“Ketika tabung darah mendapat bekalan tambahan, bakal pengantin juga boleh mengetahui tahap kesihatan serta kemungkinan ada penyakit berbahaya,” katanya. Turut dikenakan syarat sama ialah penduduk setempat yang layak menerima bantuan daripada kerajaan tempatan. - Agensi

myMetro

1 comment: