Solat asar terakhir imam sebelum maut dihempap pokok durian di beranda surau

 KEADAAN Surau Kampung Sungai Siput yang musnah ditimpa pokok durian.

Dungun: Solat Asar kelmarin menjadi ibadat terakhir buat Imam Surau Kampung Sungai Siput, Ajil, Husin Ali, 45, apabila menemui ajal selepas mangsa yang berada di dalam bangunan berkenaan dihempap pokok durian dalam kejadian ribut, petang kelmarin.

Difahamkan, sebelum kejadian jam 5 petang itu, mangsa yang juga tenaga pengajar di Akademi Binaan Malaysia Wilayah Timur (ABMT) berada di beranda surau bersama jemaah lain menunggu ribut reda sebelum pulang ke rumah masing-masing.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba pokok durian terletak berdekatan tumbang lalu menghempap surau dan menyebabkan mangsa cedera di kepala manakala beberapa jemaah hanya cedera ringan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Deputi Superintendan Hussin Deraman ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan kes itu yang dilaporkan isteri mangsa, Asmuni Awang, 44, di Balai Polis Ajil jam 6.20 petang hari kejadian.


Menurut Hussin, berdasarkan laporan, isteri mangsa menerima maklumat dari jiran sebelah jam 5.15 petang memaklumkan sebatang pokok durian tumbang dan menghempap surau sehingga roboh.


“Mengetahui suaminya berada di surau itu, pengadu (isteri mangsa) bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati teman hidupnya itu meninggal dunia dipercayai akibat cedera di bahagian kepala ditimpa pokok durian.

“Jemaah lain yang menjadi saksi di tempat kejadian juga memaklumkan mangsa sudah tiada. Bagaimanapun, dengan bantuan penduduk kampung mangsa kemudiannya di bawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk pengesahan,”” katanya.

Sumber: myMetro

1 comment:

  1. Innalillah...salam takziah..semoga rohnya dicucuri rahmat

    ReplyDelete