Mengamuk nak potong kemaluan anak saudara

 
Kuala Terengganu: Berang kerana anak saudaranya terkencing di atas tilamnya, seorang lelaki bagaikan dirasuk hantu apabila mengamuk mahu memotong kemaluan kanak-kanak perempuan itu dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Masjid Raja, di sini, Ahad lalu.

Menurut sumber, kejadian dipercayai berlaku jam 4.30 pagi selepas suspek lingkungan 20-an itu ditegur ibunya berhubung beberapa perkara salah yang dilakukan suspek sebelum ini.

Katanya, teguran wanita berusia 63 tahun itu bukan saja tidak dapat diterima suspek sebaliknya dia bertindak melepaskan geram kepada kanak-kanak berusia tiga tahun yang secara tidak sengaja terkencing di atas tilamnya.

“Pada mulanya, suspek bertindak kurang ajar apabila meludah berkali-kali ke arah ibu malang itu sebelum mengugut akan membunuh warga emas itu menggunakan kapak yang diambil di dapur rumah.

“Bagi menakutkan mangsa, suspek bertindak mengetuk kapak di tangannya beberapa kali di atas meja sebagai isyarat berhubung tindakan yang akan dilakukan selepas itu,” katanya.

Sumber berkata, ketika suspek sedang mengamuk, anak saudaranya yang terjaga daripada tidur secara tidak sengaja terkencing di atas tilam kerana ketakutan.

Katanya, kejadian itu menyebabkan suspek semakin naik angin apabila mengugut akan memotong kemaluan kanak-kanak itu.

“Bukan itu saja, suspek yang bagaikan dirasuk turut mengamuk akan membakar pakaian milik mangsa selain mengugut akan membakar rumah itu.

“Melihat keadaan suspek yang semakin agresif, ibu malang yang bimbang keselamatannya dan ahli keluarga lain nekad membuat laporan polis sejurus kejadian itu untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sumber: Harian Metro

1 comment: