Kanak-kanak 3 tahun maut, ibu patah kaki diserang gajah di Jeli


JELI: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut manakala ibunya patah kaki kanan selepas terjatuh dari motosikal ditunggang akibat diserang seekor gajah seberat kira-kira dua tan dalam kejadian berhampiran rumah mereka di Kampung Wakaf Zing, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 10 pagi itu, Wan Aidit Nasrullah Wan Mahmud, disahkan meninggal dunia di Klinik Ayer Lanas akibat kecederaan dalaman, manakala ibunya, Rezamawati Che Mat Bidin,37, dirawat di Hospital Jeli.

Sebelum kejadian, Rezamawati bersama anaknya itu dan suaminya, Wan Mahmud Wan Noh, 33, ke kebun getah berhampiran rumah untuk menoreh kira-kira jam 8 pagi sebelum pisau menoreh patah dan mereka kembali ke rumah untuk menukar pisau lain.

Ketika keluar rumah dalam jarak 10 meter, muncul seekor gajah dari arah anak sungai menyerang dengan menendang motosikal ditunggang tiga beranak itu menyebabkan mereka terjatuh dari motosikal.


Menurut Rezamawati, suaminya yang tidak cedera dan jirannya membawanya dan anaknya ke Klinik Ayer Lanas sebelum dirujuk ke Hospital Jeli.


Katanya, ketika di klinik anaknya tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia akibat kecederaan dalaman.

Wan Mahmud pula berkata, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku pantas.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan, Mohamad Khairi Ahmad, mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Katanya, sebaik mendapat maklumat, sepasukan anggota PERHILITAN diketuai oleh Penolong Pengarah PERHILITAN Kelantan, Shaary Awang Besar dan Penolong Ketua PERHILITAN Jeli, Cosmas Ngau serta kakitangannya ke tempat kejadian untuk melakukan siasatan.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment