Ribut pasir luar biasa landa Timur Tengah

 Keadaan ribut pasir di Timur Tengah menghadkan penglihatan dan aktiviti orang awam. - Foto EPA

HAMA - SYRIA. Lapan orang maut termasuk dua kanak-kanak dan beratus-ratus orang awam dimasukkan ke hospital akibat masalah pernafasan selepas ribut pasir melanda Timur Tengah sejak semalam.

Menurut Dailymail, Lebanon, Syria, Israel dan Cyprus diliputi awan debu tebal yang menyebabkan tahap penglihatan yang teruk.

Agensi berita tempatan SANA memberitahu, tiga orang maut dan lebih dari 3,400 kes kesukaran bernafas direkodkan setakat ini.

Di Damascus, 1,200 orang termasuk 100 kanak-kanak dirawat di hospital akibat masalah sama.

Pihak berkuasa mengedarkan topeng muka kepada orang awam sebagai langkah berjaga-jaga.

Kebanyakan sekolah-sekolah swasta di Lebanon pula ditutup untuk melindungi kanak-kanak.

Jurucakap kerajaan Lebanon memberitahu, ribut pasir berkenaan datang dari arah utara Iraq dan menuju ke tengah dan utara Lebanon, utara dan timur Syria dan selatan Turki.

"Biasanya ia terjadi dua atau tiga kali setahun, tetapi ribut kali ini adalah luar biasa," kata Mouin Hamzeh.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Syria menggesa orang ramai menghadkan aktiviti luar dan berlindung di dalam bangunan.

"Ia (ribut) panas. Suhunya tunggi dan sangat berdebu. Ini adalah keterlaluan," kata seorang peduduk Syria, Mansour.



Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment