Barcelona Akan Lenyap Dari Liga Sepanyol Jika Wilayah Catalonia Merdeka


> Kelab gergasi Sepanyol, Barcelona berhadapan risiko akan disingkirkan dari Liga Sepanyol

> Amaran keras ini dikeluarkan oleh presiden La Liga jika wilayah Catalonia capai kemerdekaan

> Kenyataan itu disokong oleh Menteri Sukan Sepanyol, Miguel Cardenal

> Keputusan referendum masa depan wilayah itu akan berlangsung 27 September ini

> Penyokong Barcelona kibarkan bendera wilayah merdeka dalam setiap perlawanan
 

JUARA Eropah dan Sepanyol, Barcelona berhadapan dengan risiko disingkirkan dari La Liga jika wilayah Catalonia di mana kelab itu terletak memutuskan untuk merdeka dari Sepanyol sepenuhnya.

Satu referendum untuk menentukan masa depan wilayah itu dijadualkan berlangsung pada 27 Septemher ini yang bakal menyaksikan warga Catalonia akan mengundi untuk sama ada terus kekal di bawah Sepanyol atau mencapai kemerdekaan sepenuhnya.

Barcelona merupakan ibu negeri wilayah autonomi Catalonia yang kini menuntut kemerdekaan penuh dari Sepanyol.

Sejak musim baru bermula, para penyokong kelab tersebut mengibarkan bendera baru wilayah merdeka Catalonia dan menyanyikan lagu kebangsaan mereka selama 17 minit dalam setiap perlawanan di tempat sendiri.

Presiden La Liga, Javier Tebas pada Selasa mengumumkan yang juara bertahan Sepanyol itu secara automatis tersingkir dari liga Sepanyol sekiranya wilayah mereka memutuskan untuk berpisah dari Sepanyol sepenuhnya.

Kini, dengan tuntutan kemerdekaan menjadi agenda utama warga Catalonia, kelab mereka Barcelona berhadapan dengan risiko disingkirkan dari Liga Sepanyol sepenuhnya.

Menteri Sukan Sepanyol, Miguel Cardenal turut menyokong kenyataan yang dibuat oleh Javier Tebas itu.

Dan risiko paling besar ialah Catalonia sebagai sebuah negara merdeka bukan anggota Kesatuan Bolasepak Eropah (Eufa) sekaligus bakal menyaksikan penglibatan Barcelona dalam pentas bolasepak Eropah turut lenyap buat seketika.

Perlembagaan Sepanyol tidak membenarkan mana-mana wilayahnya merdeka termasuklah Catalonia dan sebarang langkah ke arah itu boleh diveto oleh parlimen Sepanyol.

Tetapi gerakan ke arah kemerdekaan penuh menjadi semakin popular dan mendesak yang bakal menyaksikan satu krisis baru di Eropah muncul seandainya Parlimen Catalonia yang bersidang membuat resolusi mahu merdeka sepenuhnya.

Javier Tebas berkata: "Jika Sepanyol berpecah, begitu juga La Liga...FC Barcelona tidak akan menjadi anggota Liga Sepanyol lagi jika wilayah mereka berpisah dari Sepanyol dan ini adalah realiti yang harus diterima semua."

Dan kegagalan Barcelona menjadi kuasa bolasepak Eropah akan memberi kesan yang mendalam kepada pendapatan kelab itu kerana mereka akan turut kehilangan hak penyiaran siaran langsung dan perlawanan-perlawanan lain.

Selain Barcelona, sebuah lagi kelab wilayah Catalan yang bersaing dalam Liga Sepanyol ialah Espanyol.


Sumber: mstar.com.my

No comments:

Post a Comment