Natalie Gulbis bintang seksi golf dunia

 Natalie Gulbis (gambar) mula mendapat perhatian ramai sebaik berusia 14 tahun apabila dia muncul pemain termuda yang layak ke kejohanan LPGA dan empat tahun kemudian, dia sudah bergelar profesional tetapi apa yang membuatkan namanya meniti di bibir peminat ialah penampilannya yang seksi setiap kali beraksi.

Natalie enggan me­nganggap dirinya sebagai simbol seks sukan golf tetapi pada pandangan umum, dia adalah antara pemain golf paling seksi yang dapat dilihat. Dia pernah mencetak kalendar sendiri dengan pelbagai aksi seksi pada 2004 dan 2005 selain bergambar dengan hanya mengenakan bikini untuk majalah FHM.

Sedar atau tidak, bentuk tubuhnya menjadi tarikan ramai di dalam sukan itu dan dia sendiri pernah berkata: “Apa saja yang dapat menarik perhatian peminat adalah sesuatu yang hebat.”

Natalie dikatakan masih belum mempunyai pacar tetapi dia sudah menggariskan ciri-ciri lelaki idamannya. Dia mahukan seorang lelaki yang faham dengan kariernya dan tidak semestinya seorang pemain golf.

“Bagaimanapun, jika dia memiliki pukulan drive yang jauh dan tampan, sudah pasti faktor itu membuatkan saya teruja,” katanya.

Natalie sudah mampu mencipta kehidupan yang hebat hasil permainan golf­nya. Dia mula bermain golf pada usia empat tahun dan memenangi Kejohanan Amatur Wanita California pada usia 14 tahun. Beberapa tahun kemudian, dia layak ke LPGA dan mula bermain secara serius sejak 2001.


Ketika kariernya di LPGA tidak begitu menjadi, Natalie mencipta nama menerusi beberapa temubual di ESPN selain siri gambar­nya di majalah FHM dan kejayaan pertamanya selaku juara LPGA pada 2007 melonjakkan lagi imejnya.

Natalie atau nama penuh­nya Natalie Anne Gulbis dilahirkan pada 7 Januari 1983 di Sacramento, California. Bapanya, John bekerja di Jabatan Pentadbiran Da­erah Sacramento manakala ibunya, Barbara bekerja sebagai pengarah pembelian untuk makmal perubatan Sacramento. Natalie mula berjinak-jinak dengan golf pada usia empat tahun iaitu ketika diperkenalkan oleh bapanya. Pada usia tujuh tahun, dia memena­ngi kejohanan tertutup dan tiga tahun kemudian, dia sudah berjaya bermain di bawah par.

Pada 1996, Natalie menamat­kan aksi di Kejohanan Amatur Wanita California di tempat kedua dan juara ketika itu ialah Dorothy Delasin. Tahun berikutnya, Natalie muncul juara dan pada tahun sama, dia layak selaku pemain termuda ke kejohanan LPGA dan bermain di Cabaran Long Drugs. Natalie memegang rekod itu hingga 2002 dan hanya dipecahkan oleh Michelle Wie yang ketika itu berusia 12 tahun.

Natalie memperbaiki permainannya di Sekolah Tinggi Granite Bay iaitu ketika beraksi bersama skuad lelaki. Walaupun turut sibuk de­ngan gimnastik dan terjun, Natalie masih berjaya mencapai kejayaan dalam akademik dan dia menamatkan pengajian­nya lebih awal iaitu ketika berusia 16 tahun.

Disebabkan tahap akademiknya yang baik, Natalie diberikan biasiswa untuk ke Universiti Arizona pada 1999 dan pada masa sama, skuad golf Arizona adalah juara bertahan NCAA. Pada tahun pertamanya di universiti berkenaan, Natalie menang tiga kejohanan dan pada musim panas berikut­nya, dia layak ke Terbuka Wanita Amerika Syarikat dan diletakkan sebagai pemain amatur di ranking ke-34 sebelum dinamakan sebagai Pemain Paling Bernilai ketika Kejohanan Golf Antara Kolej AS-Jepun.

Berdasarkan perkemba­ngan berkenaan, dia memilih untuk menjadi seorang profesional dan menyertai LPGA.

Natalie menyertai Kejohanan Kelayakan LPGA (turut dikenali sebagai ‘Q-School’) pada 2000 dan layak pada percubaan pertamanya. Pada 2001, Natalie berpindah ke Las Vegas, Nevada atas alasan mahu mengelak daripada cukai tetapi akhirnya, dia jatuh cinta dengan kediamannya di Lake Las Vegas. Satu lagi kelebihan yang ada di kediamannya itu ialah ia berdekatan dengan Sekolah Golf Butch Harmon dan di sekolah berkenaan, dia menerima tunjuk ajar daripada jurulatih sama yang pernah mendidik pemain hebat seperti Tiger Woods dan Adam Scott.

Pada 2002, Natalie terikat di kedudukan kelima Kejohanan Klasik LPGA ShopRite dan keempat pada Kejohanan Klasik Giant Eagle LPGA. Natalie menjuarai kejohanan pertamanya selaku profesional pada 2007 iaitu Kejohanan Masters LPGA Evian.

MyMetro

2 comments: