Lelaki hilang sejak raya kedua ditemui tinggal rangka

Gambar hiasan. Image: google
Petra Jaya: Misteri kehilangan seorang lelaki sejak Aidilfitri lalu terjawab dengan penemuan rangka dan tengkorak lengkap berpakaian di kawasan tanah terbiar di Jalan Cenderawasih, Kampung Samariang Baru di sini, semalam.

Rangka dipercayai milik Mohamad Irwan Syah Abdul Baha, 27, itu ditemui lengkap berpakaian baju-T hijau dan berseluar pendek perang ditemui seorang penduduk yang mencari kayu di kawasan berkenaan jam 4.30 petang.


Menurut isteri si mati, Sulisdiyanti Abdullah, 31, suaminya keluar dari rumah mereka jam 1 tengah hari pada Aidilfitri kedua selepas berlaku pertengkaran kecil antara mereka akibat salah faham.

Katanya, suaminya yang tidak mempunyai pekerjaan terus tidak pulang sehingga dia dimaklumkan penduduk kampung mengenai penemuan rangka dan tengkorak manusia di tanah terbiar di kawasan itu.


“Sebaik dimaklumkan, saya bergegas ke lokasi dimaksudkan kerana mencurigai sesuatu.


“Saya terkejut apabila mendapati pakaian pada rangka manusia itu memang milik suami yang dipakai ketika kali terakhir melihatnya keluar dari rumah lebih sebulan lalu.

“Saya tidak sangka pencarian kami berakhir dengan penemuan yang menyedihkan ini, namun saya menyerahkan kepada polis untuk siasatan lanjut bagi mencari punca kematian suami,” katanya.


Sulisdiyanti berkata, berdasarkan pengalaman sebelum ini, dia menyangkakan suaminya tinggal di rumah rakan jika merajuk selepas bertengkar.

“Namun, selepas seminggu, saya pelik kerana dia tidak menghubungi kami atau pulang ke rumah. Kami mencarinya di rumah rakan lain, tetapi tiada siapa tahu mengenainya hingga memaksa kami membuat laporan di Balai Polis Gita,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner Roslan Bek Ahmad mengesahkan penemuan rangka berkenaan dan berkata, siasatan masih dijalankan.


Beliau berkata, polis masih menunggu hasil laporan bedah siasat bagi mengenal pasti identiti sebenar tengkorak berkenaan dengan melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

MyMetro


No comments:

Post a Comment