Lelaki separuh bogel berkeliaran telah ditangkap

 Laporan Sinar Harian 15 September lalu.

MARANG - Seorang lelaki dipercayai ada hubung kait dengan kes serangan ‘orang minyak’ yang berlaku di sekitar Bukit Payung dan Padang Midin, Kuala Terengganu diberkas di persimpangan jalan Kampung Machang Lada, di sini, semalam.

Lelaki berusia 42 tahun disyaki kurang siuman itu ditahan sekumpulan ahli Rakan Muda (Crime Awareness Team) selepas didapati berkeliaran dalam keadaan separuh bogel di persimpangan jalan berkenaan.

Sebelum diberkas kira-kira jam 2.45 pagi, ahli Rakan Muda terbabit diketuai jurulatihnya, Mohd Sukri Embong, 45, terserempak dengan lelaki berkenaan ketika membuat rondaan.

“Lelaki itu berjalan di hadapan kami.  Sebaik sahaja melihatnya dalam keadaan separuh bogel ala ‘orang minyak’, kami segera menahannya dan kemudiannya terus menghubungi polis.

“Beberapa minit selepas itu, dua anggota polis tiba dan kami menyerahkannya kepada anggota terbabit untuk tindakan lanjut,” kata Mohd Sukri.

Pada 15 September lalu, Sinar Harian melaporkan seorang pelajar berumur 17 tahun mendakwa lelaki separuh bogel memakai topeng ‘zorro’ telah menceroboh biliknya.

Mangsa yang tinggal di Kampung Tok Renek mendakwa, selepas tersedar dari tidur dia melihat lelaki berkenaan berada di atas badannya dan semasa cuba menjerit, suspek segera menutup mulutnya selepas memasukan cecair seperti minyak.

Bagaimanapun dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, lelaki terbabit yang tidak memakai seluar itu tidak sempat berbuat apa-apa apabila bapa mangsa menyergahnya lalu melarikan diri bersama telefon bimbit milik mangsa.

Berikutan kejadian itu, pelbagai pihak termasuk NGO melakukan rondaan bagi membantu polis mengesan suspek.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi semalam, mengesahkan penangkapan suspek berusia 42 tahun itu.

Difahamkan lelaki terbabit telah diserahkan kepada pihak hospital untuk tindakan lanjut selepas disahkan tidak siuman.

Dalam pada itu, pasukan rondaan Rakan Muda termasuk Belia Bestari (BBest) Kampung Padang Midin, Kuala Terengganu serta NGO lain akan terus melakukan rondaan di kawasan kampung berkenaan walaupun kes itu dianggap selesai.

Sinar Harian

2 comments: