Dua remaja rancang bunuh, makan hati ibu

Washington: Dua remaja belasan tahun ditahan semalam selepas satu serangan terhadap ibu seorang daripada mereka.

Jurucakap pejabat syerif Spokane County berkata, kedua-dua remaja berkenaan mengaku memang merancang membunuh wanita itu dan memakan hatinya.

Syerif yang tiba di rumah itu selepas menerima aduan, menemui wanita berkenaan berlumuran darah di atas katilnya.

Di sebelahnya terdapat dua pisau dan sebilah pedang bengkok.


Timbalan Syerif Craig Chamberlain berkata, wanita itu yang namanya tidak disiarkan kini berada dalam keadaan stabil di hospital.


“Dia seolah-olah tidak menyedari serangan itu. Dia memberitahu anggota kami, pedang itu tidak bengkok seperti yang kami temui. Dia juga tidak tahu siapa yang menelefon untuk mendapatkan bantuan,” kata Chamberlain.

Syerif melancarkan gerakan memburu anak mangsa berusia 13 tahun dan rakannya berumur 14 tahun apabila mendapati tidak ada kesan rumah wanita itu dipecah masuk.

Bapa rakan anak mangsa itu pula memberitahu syerif, anaknya keluar bersama-sama anak mangsa setelah mencuri keretanya.

Kedua-duanya akhirnya berjaya dikesan oleh unit jenayah berat polis Spokane.

Ketika disoal siasat, anak wanita berkenaan memberitahu syerif, rakannya cuba membunuh ibunya dengan pedang berkenaan. Dia mengaku berbincang dengan rakannya itu untuk melakukan pembunuhan itu kerana marah selepas mangsa membuang ‘pil biru’ mereka.

Chamberlain berkata, sehingga ini pihaknya masih tidak tahu ‘pil biru’ yang dimaksudkan remaja berkenaan.

Anak mangsa juga memberitahu syerif, rakannya yang terlalu marah turut menyuarakan hasrat untuk memakan hati ibunya.

Sementara itu, rakannya mengaku cuba membunuh wanita itu dan merancang melarikan diri bersama anak mangsa keesokannya.

Menurut Chamberlain, kedua-dua remaja kini ditahan di pusat tahanan juvana dan berdepan dengan tuduhan membunuh, mencuri kenderaan, memandu tanpa lesen dan merompak. - Agensi

MyMetro


No comments:

Post a Comment