Pelajar perempuan tarik keluar janin sendiri daripada kandungan

Semporna: Bimbang melahirkan anak hasil hubungan terlarang dengan teman lelaki, seorang pelajar perempuan sanggup menarik keluar janin daripada kandungan bagi mempercepatkan kelahiran sebelum membuangnya ke dalam tong sampah.

Bagaimanapun, perbuatan gadis berusia 18 tahun itu terbongkar selepas rakan sebiliknya yang curiga menyiasat dan terkejut apabila menemui janin bayi di dalam tong sampah berkenaan.


Berikutan penemuan janin kira-kira jam 3.30 petang itu, rakan sebiliknya memaklumkan warden asrama sekolah sebelum membuat laporan polis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Senior Asisten Komisioner Omar Mammah berkata, kejadian berlaku kelmarin apabila rakan sebilik suspek hendak masuk ke bilik asrama, namun pintu terkunci.


“Selepas beberapa kali pintu diketuk akhirnya suspek membuka pintu dan rakannya itu terkejut melihat lantai dipenuhi darah.


“Suspek kemudian ke luar bilik asrama dan membuang satu bungkusan di dalam tong sampah dengan memberi alasan dia haid,” katanya.

Menurutnya, rakan sebilik mangsa yang curiga cuba memeriksa dan terkejut apabila mendapati janin di dalam tong sampah berkenaan.


“Terkejut dengan penemuan janin itu, rakan sebiliknya kemudian melaporkan kejadian itu kepada pihak warden asrama sebelum membuat laporan polis,” katanya.

Menurutnya, janin bayi yang dilahir tidak cukup bulan itu dihantar ke Hospital Semporna untuk siasatan lanjut.


“Pelajar itu ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan cara membuang bayi,” katanya.

MyMetro

No comments:

Post a Comment