108 pelajar sekolah menengah di Bukit Beruntung diserang histeria gara-gara bermain Spirit of the Coin

HULU SELANGOR - Tindakan 'suka-suka' sekumpulan pelajar perempuan tingkatan 4 di sebuah sekolah menengah di Bukit Beruntung bermain 'Spirit of the Coin' pagi Jumaat minggu lalu berakhir dengan musibah apabila 108 pelajar termasuk tiga guru diserang histeria secara berperingkat.

Kejadian tersebut pada mulanya hanya melibatkan lapan pelajar perempuan sesi pagi (tingkatan 3 dan 5) pada Jumaat lepas, namun semakin melarat apabila ia berjangkit kepada 26 pelajar sesi pagi hari Isnin, diikuti 23 pelajar sesi petang (peralihan, tingkatan 1, 2, 4) pada Selasa dan 12 pelajar sesi petang hari Rabu.

Keadaan bertambah serius semalam apabila 35 lagi seperti dirasuk, kali ini turut membabitkan tiga guru wanita yang cuba merawat mangsa dan seorang pelajar lelaki.

Wartawan Sinar Harian cuba memasuki kawasan sekolah berkenaan bagi mendapatkan gambaran sebenar, namun dilarang pihak pengurusan. Bagaimanapun beberapa pelajar sempat ditemui bagi menceritakan punca kejadian.

Calit darah pada dinding tandas

Salah seorang pelajar, Nurul, 16, berkata, segala-galanya bermula apabila kumpulan pelajar perempuan berkenaan bermain permainan pemujaan roh yang dikenali sebagai Spirit of the Coin dalam sebuah kelas tingkatan 4 di tingkat satu bangunan sekolah berkenaan dipercayai pada awal pagi.

"Tapi saya tak pasti di mana mulanya sebab sedar-sedar ramai budak perempuan mula menjerit," katanya.

Bagaimanapun menurut Nurul, apa yang dia tahu, pelajar pertama diserang histeria baru pertama kali mencuba permainan yang turut dikenali sebagai Ouija Board itu.

Seorang lagi pelajar dikenali sebagai Ira, 17, berkata, dia juga mendapat tahu daripada salah seorang rakannya bahawa beberapa pelajar yang mengikuti kelas tambahan di situ memang bercadang mencuba permainan tersebut pada Khamis malam 29 Ogos lalu.

"Saya tak tau cerita asal, tapi itu yang diberitahu seorang kawan. Mereka main sampai satu tahap bergerak dari kelas itu menuju ke tandas perempuan. Lepas tu lukakan jari sendiri dengan pisau dan calit darah pada dinding tandas.

"Mungkin itulah agaknya punca gangguan histeria ini," katanya.

Bukan pertama kali

Dalam pada itu, sekumpulan pelajar yang ditemui berkata, kejadian pagi semalam cuba dikawal dengan bacaan surah Yasin oleh pelajar perempuan dan laungan azan daripada pelajar lelaki.

“Pelajar perempuan duduk dalam satu bulatan membaca surah Yasin, manakala pelajar lelaki buat satu lagi bulatan sambil melaungkan azan.

“Lepas tu, satu demi satu pelajar terkena histeria dimasukkan dalam dua bulatan itu, tapi macam tak berkesan kerana semakin ramai yang kena.

“Paling mengejutkan apabila tiga guru wanita pun terkena histeria. Kami tak pernah dengar lagi cerita cikgu turut terkena," kata mereka yang mengakui kejadian berkenaan bukan pertama kali berlaku.

Sinar Harian difahamkan, pada tahun 2010 pernah berlaku kejadian yang sama melibatkan dua hingga lima pelajar diserang histeria dan ia berlarutan selama sebulan.

"Lepas tu senyap saja sampailah berlaku kejadian ini," kata mereka lagi.

Pelajar sesi petang direhatkan

Sementara itu, sebagai langkah pencegahan, Jabatan Pelajaran Selangor (JPS) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Selangor memutuskan untuk merehatkan pelajar sesi petang (Tingkatan 1, 2 dan Peralihan) dan tingkatan 4 bermula semalam dan hari ini.

Bagaimanapun, pelajar tingkatan 3 dan 5 bersekolah seperti biasa kerana mereka perlu menjalani ujian percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam pada itu, Kumpulan Inovatif Kreatif (KIK) di bawah Majlis Daerah Hulu Selangor yang sedang menjalankan Program Tangani Histeria di Sabak Bernam turut berkunjung ke sekolah tersebut semalam bagi menangani masalah berkenaan.

Difahamkan, keputusan merehatkan pelajar hanya sebagai langkah pencegahan awal, namun jika berterusan pada sesi sekolah Isnin depan, kaedah lain pula akan digunakan.

Sinar Harian

2 comments:

  1. ko macam dah takde benda lain nak main kan. tanggung la sendiri akibatnya. menyusahkan olang btol

    ReplyDelete