Umat Islam Diingatkan Berhati-Hati 'Telekung Salib'-Jainab

TAWAU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid mengingatkan umat Islam supaya berhati-hati dengan "telekung yang mempunyai corak berbentuk salib".

Beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) perlu mengambil tindakan sewajarnya dalam perkara ini demi menjaga kesucian agama Islam.

Sambil menyatakan rasa kecewa kerana telekung itu mula dipasarkan di negara ini ketika umat Islam bakal mengerjakan ibadah puasa tidak lama lagi, beliau berkata sejak kebelakangan ini pelbagai taktik digunakan oleh pihak tertentu untuk memesongkan akidah umat Islam.

"Janganlah kita ghairah membeli kerana tertarik dengan warna dan gaya yang cantik tanpa menyedari corak pada telekung itu tidak mengikut syariah," katanya kepada Bernama pada Isnin ketika diminta mengulas isu itu.

Beliau juga menasihati peniaga supaya meneliti rekaan telekung yang dijual supaya tidak mengundang kegusaran dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Telekung mempunyai corak sulaman berbentuk salib di bahagian depan dari paras dagu hingga kelim bawah telekung yang dipercayai dihasilkan di negara jiran kini menjadi viral di laman media sosial.


Sumber: mstar.com.my

2 comments:

  1. bahaya kan kadang2 x perasan

    ReplyDelete
  2. ADA SAJE MANUSIA YG NAK MENJAHANAMKAN ORG ISLAM NI ADOIII APA LA NAK JADI

    ReplyDelete