Jeans ketat boleh menyebabkan lumpuh


MENGENAKAN seluar jeans dan duduk bercangkung dalam jangka masa yang lama boleh membawa kepada kerosakan otot dan gentian saraf pada kaki, demikian menurut pakar kesihatan.

Menurut portal Metro.co.uk, sebelum ini, sudah terdapat kes di mana seorang wanita berusia 35 tahun tiba-tiba rebah dan tidak dapat bergerak selama beberapa jam sebelum dibawa ke pusat perubatan.

Dia kemudiannya terpaksa menghabiskan empat hari di hospital sebelum pulih sepenuhnya dan dibenarkan pulang oleh doktor.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Neurologi, Neurosurgeri dan Psikiatri, wanita itu menghabiskan masa membantu saudaranya berpindah rumah.

Jurucakap jabatan tersebut berkata, mangsa yang pada ketika itu mengenakan seluar jeans ketat dikatakan menghabiskan masa beberapa jam untuk mengosongkan almari dalam keadaan bercangkung.

“Selepas membantu saudaranya, dia terasa kebas di bahagian kaki dan mengalami kesukaran untuk berjalan; yang mana ia menyebabkan dia tersandung dan terjatuh.

“Tidak mampu untuk bangun semula, dia kemudiannya menghabiskan masa berjam-jam di lantai sebelum dia dijumpai,” katanya seperti yang dipetik menerusi laporan tersebut.

Menurut jabatan itu lagi, betis wanita tersebut terlalu bengkak dan otot serta saraf gentian yang rosak, menyebabkan otot di betis membengkak dan pemampatan saraf berlaku.

“Wanita tersebut hanya boleh berjalan tanpa bantuan peralatan empat hari kemudiannya.

Sementara itu, Profesor Madya Thomas Edmund Kimber, dari Adelaide Universiti di Australia Selatan menyifatkan ia merupakan kes terbaharu melibatkan komplikasi neurologi.

 "Kes ini (pemakaian jeans yang ketat) merupakan komplikasi neurologi baharu,” katanya.



Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment