Kerana duit, sanggup panggil emak binatang

KUALA TERENGGANU - Seorang anak disifatkan ‘si tanggang moden’ apabila tergamak memanggil ibu kandungnya dengan panggilan ‘binatang’ selepas keinginannya untuk mendapatkan wang RM150 tidak dilayan oleh mangsa, 48.

Dalam kejadian di Kampung Losong Atap Zin, di sini, Isnin lalu, suspek, 23, turut bersikap biadab dengan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) bertalu-talu mengugut akan membelasah mangsa selagi hajatnya tidak ditunaikan.

Menurut sumber, suspek, anak sulung daripada dua beradik itu telah menjadikan mangsa seperti ‘bank’ apabila setiap hari meminta wang RM150 sejak Oktober tahun lalu.

“Sepanjang tempoh itu, setiap kali permintaannya tidak diendahkan, suspek akan memanggil mangsa ‘binatang’ serta mengugut akan memukulnya.

“Mangsa yang bekerja sebagai kerani di sebuah jabatan kerajaan di negeri ini sebelum ini terpaksa mengikut sahaja kehendak suspek kerana bimbang keselamatan mereka sekeluarga,” katanya.

Bagaimanapun, pada hari kejadian, adik lelakinya, 18, yang sedang menunggu keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) telah bertindak menegur suspek disebabkan tidak tahan melihat mangsa dilayan sebegitu.

“Suspek yang tidak suka ditegur oleh adiknya terus mengamuk dan memecahkan tingkap rumah serta merosakkan harta benda di dalam rumah mereka sebelum bertindak mengasari adiknya itu.

“Melihatkan perbuatan melampau suspek, mangsa mengambil keputusan membuat laporan di Balai Polis Chabang Tiga, beberapa jam selepas kejadian,” katanya.

Susulan laporan diterima, suspek yang sering menggunakan alasan meminta wang untuk membaiki motosikalnya, ditangkap di rumahnya, kira- kira jam 3 pagi, semalam.

Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi semalam mengesahkan menerima laporan kejadian dan tangkapan suspek.

Suspek kini direman empat hari bermula semalam untuk siasatan lanjut.

sinar harian


2 comments: