Aaron Aziz Tidak Kecil Hati Dikritik Kerana 'Fear Factor'

PETALING JAYA: Pelakon Aaron Aziz tidak berkecil hati apabila ada pihak menyifatkan gaya pengacaraannya dalam program Fear Factor Selebriti Malaysia hambar.

Aaron berkata, beliau terbuka menerima pandangan daripada peminat yang disifatkan mengambil berat terhadap dirinya dan akan memperbaiki kekurangan itu pada masa hadapan.

"Fear Factor adalah program yang paling besar pernah saya terlibat sebagai pengacara dan pastinya ia memberikan sedikit tekanan sehingga kekurangan dapat dilihat dengan jelas.

"Bagaimanapun saya tidak berkecil hati dengan komen-komen peminat kerana ia sebagai peringatan untuk buat lebih baik selepas ini," jelasnya kepada mStar Online.

Aaron ditemui ketika majlis tayangan perdana filem Kerat 14 yang menggandingkannya dengan pelakon Siti Saleha.

Ia bakal ditayangkan pada 14 Februari ini.

Dalam pada itu, Aaron berkata, pengacaraannya kelihatan hambar mungkin turut disebabkan kesihatannya yang terjejas sehingga dimasukkan ke sebuah hospital di Cape Town, Afrika Selatan ketika penggambaran.

Kata Aaron, walaupun belum pulih sepenuhnya dia terpaksa mengagahkan diri untuk menyambung penggambaran bagi mengelakkan jadual yang telah diatur pihak produksi tidak tergendala.

"Hampir lima hari saya dimasukkan ke hospital kerana mengidap pneumonia tahap awal dan jika melenggahkan penggambaran ia akan memberi kesan kepada semua pihak dan saya perlu mengagahkan diri.

"Alhamdulillah sokongan semua kawan-kawan dan krew telah melancarkan proses penggambaran," jelasnya.

Bagaimanapun kata Aaron, pihak produksi tidak memberi sebarang ulasan buruk terhadap cara pengacaraannya sebaliknya berpuas hati dengan persembahannya.

Sementara itu, bercakap mengenai karektornya dalam Kerat 14, Aaron memberitahu dia menerima tawaran itu kerana watak tersebut berbeza dengan apa yang pernah diterimanya sebelum ini.

Selain Kerat 14, Aaron juga bakal muncul dengan beberapa lagi filem pada tahun ini seperti Lari, KL Gangster 2 dan Dampak.

mstar.com.my


3 comments:

  1. rasanya takde masalah kot, memang nampak Aaron macam tak semangat jer masa jadi pengacara fear factor tp umum dah tahu dia memang sakit masa tu..

    ReplyDelete