Showing posts with label paranormal. Show all posts
Showing posts with label paranormal. Show all posts

Heboh penampakan roh kanak-kanak mangsa tornado

Image: news.com.au

Oklahoma City : Bencana angin puting beliung yang melanda Bandar Moore, Oklahoma City, Amerika Syarikat tak boleh dilupakan salah seorang warganya, Scott McCabe. Anak Scott, Nicolas menjadi salah seorang mangsa yang terkorban akibat amukan tornado ' mammoth ' saat kanak-kanak itu sedang berada di sekolah .


Tapi baru - baru ini , Scott dan warga sekitar Moore dikejutkan penampakan Nicolas . Penampakan dari sebuah foto yang dirakam 2 bulan selepas kanak-kanak 9 tahun itu meninggal .

Dalam foto itu terlihat Nicolas berada di belakang sepupunya , Madison . Padahal saat dirakam, hanya ada Madison yang sedang bermain api merayakan Hari Kemerdekaan AS . Nicolas telah tiada sejak Mei 2013 . Sementara foto itu diambil 2 bulan kemudian , tanggal 4 Julai 2013 .

Rakaman gambar itu membuat Scott , keluarga , dan warga lain hairan. Bagaimana boleh Nicolas muncul di foto Madison . " Aku tak percaya melihat foto itu . Nicolas memang suka bermain bunga api dan tarikh 4 Julai , " ungkap Scott yang dimuat News 9 dan dilapor kembali News.com.au , isnin ( 25/11/2013 ) .

Scott mengaku menjadi sangat rindu dengan Nicolas usai melihat foto tersebut . Dia pun mendoakan kebahagiaan anaknya. " Itu jelas bukan Madison . Ada 1 orang lagi dengan wajah yang sangat mirip anakku , " ceritanya .

Sang ayah juga mengungkap , Nicolas dikebumikan dengan mengenakan seragam sekolah berwarna merah " Dan di foto itu , sosok yang berada di belakang Madison mengenakan kaos merah , " ujarnya Scott .

Nicolas dan beberapa teman sekolahnya maut tertimpa runtuhan tembok saat kawasan itu diamuk tornado yang paling buruk sepanjang sejarah AS . Bencana itu telah menyebabkan 25 orang terbunuh dan beratus-ratus orang tercedera

Sumber: liputan6.com

Dirasuk 'tuan puteri'

Mangsa yang pengsan sedang dipapah rakannya sejurus indisen itu.

 PORT DICKSON - Pertandingan Kesenian Himpunan Pertahanan Awam Malaysia ke-19 yang diadakan di kawasan lapang tepi pantai Batu 1,di sini, malam kelmarin gempar apabila 15 peserta program berkenaan dirasuk.

Kejadian berlaku kira-kira 10 malam, selepas hampir dua jam pertandingan kesenian itu berlangsung dalam perhimpunan yang disertai hampir 1,500 peserta membabitkan 14 kontinjen di kalangan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) seluruh negara.

Perhimpunan bermula pada Khamis lalu dan berakhir semalam, meliputi pelbagai aktiviti seperti ujian kemahiran, kecekapan, kepimpinan dan disiplin.

Difahamkan, mangsa seolah-olah diserang histeria semasa persembahan salah satu kontinjen yang membawa persembahan Ulek Mayang, manakala sebelum ini satu lagi kontinjen mempersembahkan tarian Kuda Kepang.

Sebahagian mangsa yang dirasuk berlari menuju ke kawasan pantai yang jaraknya kira-kira 20 meter dari lokasi pentas pertandingan kesenian dan ada yang berlari ke kawasan khemah logistik himpunan tersebut.

Beberapa pengamal ilmu perubatan Islam dipanggil bagi memulihkan mangsa, selain peserta lain bersama-sama mengalunkan zikir. Sebahagian peserta yang diserang histeria turut dibawa ke Masjid Jamek Port Dickson kira-kira 50 meter dari lokasi kejadian untuk dipulihkan.

Difahamkan, kesemua peserta himpunan menginap di beberapa hotel berhampiran kawasan himpunan dan mereka tidak melakukan aktiviti perkhemahan.

Salah seorang peserta persembahan Ulek Mayang, Nazar Mohd Amin, 22, berkata, beberapa minit selepas dia bersama rakannya membuat persembahan atas pentas, dia yang memakai pakaian tradisional Ulek Mayang menyedari di sekelilingnya ada beberapa penari latar, selain rakannya yang turut mengiringi persembahan itu.

“Saya perasan seperti ada penari latar kanak-kanak yang memakai baju berwarna warni serta ada seorang gadis seakan-akan tuan puteri turut berada di dalam kumpulan kami membuat persembahan.

“Saya mula menyedari ada sesuatu yang ganjil berlaku dan segera beristighfar dan berzikir kemudiannya pengsan. Sebaik tersedar saya rasa badan sangat lemah,” katanya.

Sementara salah seorang peserta yang menonton pertandingan kebudayaan itu, Nurul Ain Kasar, 25, berkata, dia duduk di hadapan pentas bersama rakan-rakannya.

“Semasa persembahan kuda kepang ada beberapa di kalangan kami turut menari seperti rentak kuda kepang seiring dengan peserta yang membuat persembahan di atas pentas.

“Tidak lama kemudian, penonton yang menari itu jatuh dan keadaan menjadi kelam-kabut. Saya pun bangun untuk pergi kekelompok rakan yang lebih tenang, namun rasa seperti ada sesuatu yang menarik saya dari belakang sehingga saya terjatuh.

“Kemudian saya bangun semula dan rakan-rakan yang saya hampiri semuanya melarikan diri dalam keadaan ketakutan tidak mahu menghampiri saya. Selepas itu saya tidak ingat apa yang berlaku,” katanya.

"Sebaik sedar, badan saya sangat lemah dan rakan-rakan memaklumkan semasa kejadian, muka saya berubah seperti seorang perempuan yang sangat tua dan menakutkan," katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pertahanan Awam, Datuk Sulaiman Keling berkata, insiden berkenaan berlaku tanpa diduga namun ia berjaya dikawal dan diatasi dengan baik oleh petugas himpunan berkenaan.

“Kita yakin faktor keletihan menjadi punca utama kejadian ini berlaku. Pada siang hari sebelum insiden ini berlaku, semua perserta menjalani aktiviti pertandingan kemahiran selain dengan cuaca di tepi pantai yang panas.

“Saya juga yakin insiden yang berlaku ini tidak akan mematahkan semangat anggota JPAM yang terlibat kerana apa yang berlaku ini adalah salah satu antara cabaran yang mereka hadapi ketika melaksanakan tugas di lapangan, malah dalam sesetengah kes ia lebih mencabar daripada apa yang berlaku semalam (kelmarin)," katanya selepas menyempurnakan Himpunan Pertahanan Awam Malaysia ke-19 di Batu 1 Jalan Pantai,di sini semalam.

Beliau berkata, semua anggota JPAM dilengkapi dengan kemahiran yang tinggi dan dalam insiden itu, sama ada peserta yang terlibat ataupun di kalangan rakan-rakan yang menyaksikan, boleh mengatasinya dengan baik.

Sumber: Sinar Harian

Isteri terkejut suami nikah dengan jin

NOREHAN menceritakan masalahnya kepada Nurul Aini di pejabat SukaGuam.

Kuala Lumpur: “Selama lebih 30 tahun bergelar isteri, saya banyak bersabar dengan kerenah suami yang langsung tidak mempedulikan rumah tangga dan kerap menghilangkan diri ke negara jiran.

“Kami seolah-olah terputus hubungan. Dia langsung tidak menelefon apatah lagi pulang menyambut Aidilfitri bersama sejak lima tahun lalu. Tiba-tiba dia pulang dan membuat pengakuan sudah beristerikan jin ketika menuntut ilmu di negara berkenaan,” kata Norehan, 58.

Warga emas itu tampil membuat pendedahan selepas tidak tahan hidup bersama suami yang mengamalkan sihir selain meninggalkannya bersama dua anak menguruskan kehidupan sendiri di tanah air.

Katanya, dia terkejut besar apabila mengetahui suaminya benar-benar menuntut ilmu songsang termasuk mengaku bernikah secara batin dengan jin di luar negara.

“Sejak dia pulang saya sedar perubahannya. Dia kerap berbuat baik dan sering meminta layanan lebih di bilik tidur tidak kira siang mahupun malam.


“Begitupun saya mula mengesyaki perkara menakutkan apabila dilayan kasar setiap kali hubungan seks hingga terpaksa menyerah dalam keadaan menekup muka kerana tidak tahan melihat mukanya,” katanya yang membuat aduan kepada Pengarah Kebangsaan Sukarelawan Peguam Untuk Semua (SukaGuam), Nurul Aini Yausoff di sini, minggu lalu.

Berikutan tidak tahan diperlakukan begitu, Norehan nekad meminta penjelasan sebelum rahsia suaminya terbongkar satu demi satu.

“Saya bukan saja dipukul, malah suami sanggup mengherdik saya di depan anak-anak hanya kerana perkara kecil termasuk ketika saya menyuruhnya bersolat dan puasa.

“Sedangkan sebelum ke negara jiran, dia boleh dibawa berbincang, bertolak ansur serta rapat dengan anak-anak,” katanya.

Norehan berkata, akibat terlalu taasub dengan ilmu songsang dituntut, suaminya bertukar menjadi aneh.

“Sejak menuntut ilmu pelik, dia selalu bercakap seorang diri dan merayu untuk bersama setiap hari. Paling menakutkan ada ketikanya dia merenung saya dengan mata kemerahan serta mengikut gerak geri saya tanpa jemu.

“Saya menjadi tambah bingung selepas kerap terjumpa barangan pelik seperti kain kuning dan botol dalam beg sandang suami. Anak-anak pula tunduk pada setiap kemahuannya,” katanya.

Selain itu, Norehan berkata, suaminya juga tidak betah di rumah dan hanya mampu bertahan kira-kira tiga jam sehari sebelum menghilang ke kedai kopi dan berbual panjang hingga ke awal pagi.

“Saya hanya bimbangkan dia. Kami bukannya muda lagi dan saya tidak mahu dia berterusan begitu selepas kami berpisah nanti,” katanya yang memohon khidmat nasihat untuk menuntut fasakh.

Sementara itu, Nurul Aini berkata, semakan pihaknya mendapati, Norehan sudah beberapa kali hadir di mahkamah, tetapi kes berkenaan tidak dapat diselesaikan kerana dia tidak diwakili peguam.

MyMetro


Wanita misteri hilang di celah dinding

Azim merakamkan lokasinya bertemu dengan wanita berpakaian kilang dan hilang di celah lubang kecil.

SUNGAI NIBONG - Pengalaman terserempak dengan wanita berpakaian kilang dan kemudiannya menghilangkan diri di celah dinding mungkin tidak dapat dilupakan seorang lelaki.

Dia yang dikenali dengan nama Azim berkongsi kisah berkenaan kepada Sinar Harian.

Azim berkata, kejadian berlaku ketika dia memandu di bawah jejantas Sungai Nibong kira-kira jam 11 malam.

Menurutnya, ketika itulah dia terpandang wanita berpakaian kilang duduk di atas batu dengan wajahnya yang begitu muram.

“Tanpa ragu-ragu saya pun terus ingin bertanya jika dia (wanita) perlukan bantuan, dan ketika saya baru hendak berjalan menuju ke arahnya serta merta dia masuk di celah dinding jejantas berkenaan.

“Pada mulanya saya terkejut kenapa dia lari dan bergegas saya mengejarnya kerana bimbang keadaan yang amat gelap di situ, tetapi alangkah terkejutnya saya apabila ternampak ruang berkenaan begitu sempit iaitu sebesar ibu jari saya saja,” katanya kepada Sinar Harian.

Kejadian itu terus membelenggu dalam ingatan Azim sehingga kini.

Sama seperti Azim, rakannya, Zul turut melalui pengalaman yang sama ketika jam 3 pagi apabila terserempak dengan wanita berpakaian kilang sama seperti yang dilihat Azim.

Zul berkata, dia terserempak dengan wanita itu setiap tiga malam berturut-turut dan pada masa yang hampir sama.

“Hari ketiga saya bertekad untuk memandang mukanya, apabila saya nampak mukanya, ada raut persis wanita Indonesia tapi dalam keadaan yang amat sugul dan menyedihkan, apa lagi, terus saya memandu laju,” katanya.

Ketika berkongsi kisah berkenaan dengan rakan-rakan yang lain, lokasi berkenaan dipercayai menjadi kawasan panas kemalangan jalan raya.

Ada yang beritahu ada kanak-kanak sekolah yang dilanggar beberapa kali di situ hingga menemui ajal.

Sinar Harian


70 pelajar histeria, dengar bisikan suruh terjun bangunan sekolah

Gambar hiasan. Image: Google

KUANTAN: Seramai 70 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sira mengalami histeria selepas mendakwa mendengar bisikan yang menyuruh mereka terjun dari tingkat tiga bangunan sekolah terbabit tengah hari tadi.

Kejadian itu dipercayai berkaitan dengan insiden dua pelajar sekolah berkenaan yang bertindak terjun dari salah satu bangunan itu pada Mei dan awal bulan ini.

Seorang pelajar lelaki tingkatan tiga maut terjun dari tingkat satu sebuah bangunan pada 22 Mei lalu.

Kejadian hampir sama berulang pada 3 September lalu apabila cedera parah selepas terjun dari tingkat tiga bangunan sekolahnya.

MyMetro

Suami hilang disorok orang bunian?

.Anggota JPAM menyelusuri selut di kawasan hutan paya bakau untuk mengsan jejak mangsa

 KUALA SELANGOR - Misteri kehilangan seorang nelayan pantai sejak Khamis lalu masih belum terjawab dan gerakan mencari masih aktif dijalankan di sekitar kawasan hutan paya bakau di Jeti Sungai Yu, di sini.

Malah, banyak andaian dan ramalan pawang yang memaklumkan kehilangan Jamaludin Abd Ghani, 50, mungkin disorok bunian memandangkan kawasan yang dilalui untuk mencari ketam dikatakan keras dan merupakan perkampungan bunian.

Isteri mangsa, Chek Tom Shaari, 40, berkata, dia bimbang selepas suaminya tidak pulang ke rumah sebelum gerakan mencari pada jam 7 petang bermula dengan penemuan motosikal di jeti terbabit.

Sebelum kejadian, mangsa dikatakan keluar menuju ke jeti dalam keadaan hujan renyai tanpa disedari isterinya sedangkan pada awalnya dia memaklumkan tidak mahu turun ke laut disebabkan cuaca yang kurang elok.

"Perangai suami memang berbeza. Selama ini sebelum keluar dia akan beritahu saya jika mahu ke mana-mana," katanya.

Apabila suami tidak pulang, dia segera memaklumkan jiran dan bersama-sama mencari di jeti, malangnya tiada sebarang petunjuk ditemui sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor dan Balai Polis Tanjong Karang.

Katanya, gerakan mencari diteruskan melibatkan pasukan polis, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), rakan nelayan sehingga jam 2 pagi manakala penduduk kampung membuat solat hajat di Surau At Taqwa Taman Desa Mawar dan Surau Jeti Sungai Yu.

"Semua mencari suami saya sampai jam 7 pagi dan berhenti kerana solat Jumaat," katanya.


Pernah lihat perkampungan cantik

Chek Tom tidak menolak andaian suaminya itu disorok bunian memandangkan kawasan itu memang keras dan pernah berlaku kejadian seumpama itu sebelum ini.

Menurutnya, suaminya juga pernah bercerita dia ada terlihat perkampungan yang sangat cantik dalam hutan paya bakau itu, namun dia tidak pergi dekat.

"Mungkin kali ini suami saya diduga sampai tidak boleh keluar dari kawasan itu. Ada yang kata suami termakan buah limau yang ranum di dalam hutan itu menyebabkan penunggu kawasan itu tidak mahu melepaskannya.

“Yang penting sekarang ini saya mahu suami selamat sahaja. Apa cara sekali pun yang terpaksa digunakan saya akan usahakan demi suami,” katanya.


Tapak kaki mangsa ditemui

Sementara itu, Ketua Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Selangor, Sahrul Hafizan Daud berkata, meskipun tapak kaki mangsa ditemui, namun kelibatnya masih belum dikesan menyebabkan mereka terpaksa menghentikan operasi pada jam 8 malam sebelum disambung hari ini.

Menurutnya, seramai 10 anggota menyertai gerakan mencari mangsa bermula 10 malam kelmarin bersama penduduk setempat dengan keadaan hutan paya bakau yang dipenuhi selut.

“Cuaca gelap agak menyukarkan pergerakan lebih-lebih lagi anggota kerap menemui ular dan haiwan berbisa lain. Namun usaha mencari tetap diteruskan pada hari ini (semalam) bermula jam 9 pagi tadi,” katanya.

Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Selangor Utara, Mohd Zulhilmi Mohd Ridzuan pula berkata, seramai 11 anggota bomba dengan kekuatan dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Selangor serta Tanjong Karang dikerahkan dalam usaha mencari mangsa bermula jam 3 petang sehingga 8 malam.

“Meskipun mangsa sudah dilaporkan hilang lebih 24 jam, namun pihak bomba hanya dimaklumkan selepas solat Jumaat dan bergegas menyelusuri sungai dengan bot untuk mencari mangsa.

“Usaha mencari akan diteruskan esok (hari ini) dengan bantuan anjing pengesan K9,” katanya.


Simpati nasib penduduk

Adun Permatang, Sulaiman Abd Razak turut bersimpati dengan musibah yang menimpa Ketua Persatuan Nelayan Jeti Sungai Yu itu dan turut membantu mencari mangsa menerusi bantuan orang kampung.

“Saya juga memaklumkan kepada pihak Syabas supaya menyediakan tangki statik untuk kemudahan penduduk yang datang ke jeti itu terutamanya keluarga mangsa yang datang dari Pontian, Johor.

“Saya berharap mangsa dapat ditemui dalam keadaan baik dan turut meminta kariah di Masjid Sungai Terap dan Masjid Sungai Yu supaya mengadakan solat hajat bagi mendoakan kesejahteraan Jamaludin,” katanya.

Sinar Harian

108 pelajar sekolah menengah di Bukit Beruntung diserang histeria gara-gara bermain Spirit of the Coin

HULU SELANGOR - Tindakan 'suka-suka' sekumpulan pelajar perempuan tingkatan 4 di sebuah sekolah menengah di Bukit Beruntung bermain 'Spirit of the Coin' pagi Jumaat minggu lalu berakhir dengan musibah apabila 108 pelajar termasuk tiga guru diserang histeria secara berperingkat.

Kejadian tersebut pada mulanya hanya melibatkan lapan pelajar perempuan sesi pagi (tingkatan 3 dan 5) pada Jumaat lepas, namun semakin melarat apabila ia berjangkit kepada 26 pelajar sesi pagi hari Isnin, diikuti 23 pelajar sesi petang (peralihan, tingkatan 1, 2, 4) pada Selasa dan 12 pelajar sesi petang hari Rabu.

Keadaan bertambah serius semalam apabila 35 lagi seperti dirasuk, kali ini turut membabitkan tiga guru wanita yang cuba merawat mangsa dan seorang pelajar lelaki.

Wartawan Sinar Harian cuba memasuki kawasan sekolah berkenaan bagi mendapatkan gambaran sebenar, namun dilarang pihak pengurusan. Bagaimanapun beberapa pelajar sempat ditemui bagi menceritakan punca kejadian.

Calit darah pada dinding tandas

Salah seorang pelajar, Nurul, 16, berkata, segala-galanya bermula apabila kumpulan pelajar perempuan berkenaan bermain permainan pemujaan roh yang dikenali sebagai Spirit of the Coin dalam sebuah kelas tingkatan 4 di tingkat satu bangunan sekolah berkenaan dipercayai pada awal pagi.

"Tapi saya tak pasti di mana mulanya sebab sedar-sedar ramai budak perempuan mula menjerit," katanya.

Bagaimanapun menurut Nurul, apa yang dia tahu, pelajar pertama diserang histeria baru pertama kali mencuba permainan yang turut dikenali sebagai Ouija Board itu.

Seorang lagi pelajar dikenali sebagai Ira, 17, berkata, dia juga mendapat tahu daripada salah seorang rakannya bahawa beberapa pelajar yang mengikuti kelas tambahan di situ memang bercadang mencuba permainan tersebut pada Khamis malam 29 Ogos lalu.

"Saya tak tau cerita asal, tapi itu yang diberitahu seorang kawan. Mereka main sampai satu tahap bergerak dari kelas itu menuju ke tandas perempuan. Lepas tu lukakan jari sendiri dengan pisau dan calit darah pada dinding tandas.

"Mungkin itulah agaknya punca gangguan histeria ini," katanya.

Bukan pertama kali

Dalam pada itu, sekumpulan pelajar yang ditemui berkata, kejadian pagi semalam cuba dikawal dengan bacaan surah Yasin oleh pelajar perempuan dan laungan azan daripada pelajar lelaki.

“Pelajar perempuan duduk dalam satu bulatan membaca surah Yasin, manakala pelajar lelaki buat satu lagi bulatan sambil melaungkan azan.

“Lepas tu, satu demi satu pelajar terkena histeria dimasukkan dalam dua bulatan itu, tapi macam tak berkesan kerana semakin ramai yang kena.

“Paling mengejutkan apabila tiga guru wanita pun terkena histeria. Kami tak pernah dengar lagi cerita cikgu turut terkena," kata mereka yang mengakui kejadian berkenaan bukan pertama kali berlaku.

Sinar Harian difahamkan, pada tahun 2010 pernah berlaku kejadian yang sama melibatkan dua hingga lima pelajar diserang histeria dan ia berlarutan selama sebulan.

"Lepas tu senyap saja sampailah berlaku kejadian ini," kata mereka lagi.

Pelajar sesi petang direhatkan

Sementara itu, sebagai langkah pencegahan, Jabatan Pelajaran Selangor (JPS) dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Hulu Selangor memutuskan untuk merehatkan pelajar sesi petang (Tingkatan 1, 2 dan Peralihan) dan tingkatan 4 bermula semalam dan hari ini.

Bagaimanapun, pelajar tingkatan 3 dan 5 bersekolah seperti biasa kerana mereka perlu menjalani ujian percubaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Dalam pada itu, Kumpulan Inovatif Kreatif (KIK) di bawah Majlis Daerah Hulu Selangor yang sedang menjalankan Program Tangani Histeria di Sabak Bernam turut berkunjung ke sekolah tersebut semalam bagi menangani masalah berkenaan.

Difahamkan, keputusan merehatkan pelajar hanya sebagai langkah pencegahan awal, namun jika berterusan pada sesi sekolah Isnin depan, kaedah lain pula akan digunakan.

Sinar Harian

Inilah 5 hotel paling berhantu di Amerika Syarikat

Hotel adalah salah satu pilihan tempat tinggal yang selesa bagi para pelancong. Namun bagaimana jika hotel tersebut terkenal seram dan berhantu? Akankah anda tetap menginap di hotel tersebut?

Berikut ini adalah lima hotel yang terkenal paling seram yang ada di Amerika Syarikat seperti dilansir dari Travel Yahoo.

 1. Crescent Hotel and Spa

Bangunan hotel yang terletak di Eureka Springs ini dulunya pernah difungsikan sebagai sekolah dan rumah sakit kanser. Di hotel ini sering terlihat penampakan pelbagai hantu di banyak sudut bilik.

Salah satunya yakni Irene Castle, seorang penari ballroom. Ketika sebuah keluarga menginap di sana, seorang gadis kecil melihat sesosok perempuan duduk di dalam bilik tempat keluarga tersebut penginapan.

Namun sang ibu tidak dapat melihat perempuan yang dibicarakan anaknya tersebut. Kemudian diketahui bahawa gadis kecil tersebut melihat hantu dari Irene Castle.

 2. buxton Inn

Sebuah penginapan di daerah Grandville, Ohio ini ternyata membawa cerita yang cukup menyeramkan. Audrey dan Orville Orr, pemilik penginapan tersebut merasa ada yang tidak beres ketika mereka pertama kali membeli bangunan tersebut.

Di bangunan berusia 199 tahun tersebut, keluarga Orr sering mengalami hal-hal aneh, seperti melihat sosok bayangan berjalan di dalam lorong serta bau-bau aneh yang sering tercium tajam dari beberapa bilik.

Namun demi menghormati para hantu yang juga menghuni hotel tersebut, keluarga Orr tidak melakukan usaha apapun untuk mengusir mereka. Pengunjung hotel juga tetap dialu-alukan jika ingin menginap dan merasakan sendiri sensasi bertemu hantu

 3. Brown Palace Hotel and Spa

Dibina pada tahun 1892 oleh arkitek ternama, Henry C. Brown, Brown Palace Hotel dan Spa ini telah disinggahi oleh banyak pengunjung, salah satunya kumpulan muzik legenda Inggeris The Beatles yang menginap di hotel tersebut pada tahun 1960an.

Ramai yang percaya bahawa hotel tersebut ada kaitannya dengan Molly Brown, salah satu mangsa selamat dari tenggelamnya kapal Titanic. Namun kakitangan hotel menepis anggapan tersebut.

Meski demikian, tidak sedikit pengunjung hotel yang mengalami kejadian aneh semasa menginap di hotel tersebut. Salah satunya pernah melihat sosok bayangan lelaki yang memakai seragam masinis di abad ke 18 berjalan di lobi hotel. Tidak hanya itu, pengunjung juga sering mencari perapian yang tiba-tiba menyala dengan sendirinya.

 4. Myrtles Plantation

Sebuah bangunan penginapan di wilayah ladang Myrtles, St. Francisville, Los Angeles mempunyai kisah yang cukup menyeramkan. Ladang tersebut dibina pada tahun 1796 oleh Jeneral David Bradford.

Sosok hantu yang menghuni ladang tersebut adalah Chloe. Semasa hidupnya Chloe bekerja sebagai budak keluarga Bradford. Dia dan menantu Bradford diam-diam menjalin kisah cinta terlarang.

Malangnya, tidak lama kisah asmara tersebut terkuak dan Chloe harus menerima hukuman dari majikannya tersebut. Chloe harus merelakan telinganya terpotong sebagai ganjaran dari perilaku buruk yang dia lakukan.

Kerana dendam, Chloe memasak kuih ulang tahun beracun dan berharap dapat menjadi pahlawan di keluarga tersebut dengan merawat anak yang sakit. Sayangnya tiga ahli keluarga tersebut mati keracunan.

Karena perbuatannya tersebut akhirnya Chloe digantung di salah satu bilik rumah tersebut. Sejak saat itu hantu Chloe sering mendatangi orang-orang yang tinggal di sana. Selain hantu Chloe, dua hantu anak kecil yang menjadi mangsa keracunan juga sering menampakkan diri.

5. Hotel del Coronado

Hotel yang dibina pada tahun 1888 ini dikenali sebagai salah satu tempat menghabiskan cuti panjang dengan menikmati pantai yang indah. Namun malangnya, hotel ini juga menjadi tempat singgah hantu Kate.

Kate Morgan merupakan salah seorang tetamu hotel tersebut pada tahun 1982. Di hotel tersebut Kate menunggu sang kekasih yang berjanji untuk menjemputnya. Namun setelah lama menanti, kekasih yang ditunggu tak kunjung datang. Kemudian Kate ditemukan meninggal di bawah tangga hotel tersebut.

Sejak saat itu, banyak orang mengaku melihat hantu Kate, baik di pantai maupun di hotel. Tidak jarang arwah Kate juga mengganggu pengunjung maupun kakitangan hotel del Coronado.

Penduduk gempar pontianak tenggek atas atap

Tempat dan peralatan memuja

KULIM - Penduduk Kampung Batu 4½ Sungai Ular digemparkan dengan 'gangguan' suara mengilai 'perempuan' meminta tolong.

Kakitangan awam, Aziz Othman yang menyewa rumah di kampung itu berkata, kejadian berlaku beberapa hari lalu sebaik sahaja dia tiba di rumah selepas selesai bekerja.

Menurutnya, suara menyeramkan itu didengari kira-kira jam 1.30 pagi apabila dia berada di bahagian dapur rumahnya untuk minum air, namun terdengar bunyi cakaran di atap bagaimanapun tidak diendahkan.

Dia kemudiannya pergi ke ruang tamu untuk berehat, sebelum terdengar bunyi tapak kaki berjalan di atas atap rumahnya.

Cangkung atas bumbung

Aziz berkata, sebaik sahaja bunyi objek berjalan itu terhenti, dia terkejut apabila  terdengar suara perempuan mengilai dengan kuat di hadapan rumah.

“Ketika itu motosikal Kawasaki RR 150 yang saya miliki berada dalam rumah. Saya menolak motosikal saya keluar perlahan-lahan. Sebaik sahaja mengunci pintu rumah saya menghidupkan enjin motosikal.

"Alangkah terkejut apabila saya ternampak seorang wanita berambut panjang bermata merah menyala bercangkung di atas bumbung sambil memusing-musingkan kepalanya.

"Bimbang berlaku kejadian tidak diingini, saya terus meninggalkan rumah. Dari apa yang saya nampak, bunyi cakaran di atas atap itu berpunca dari rambutnya yang panjang,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelmaan perempuan pernah dilihat di sekitar kawasan rumpun buluh.

Pengalaman menakutkan

Seorang suri rumah, Fatimah Abdul Ghani yang sudah enam tahun tinggal di kampung itu berkata, lembaga yang dilihat oleh mangsa merupakan puntianak yang sering terbang dan bertenggek di atas pokok dan atap rumah penduduk kampung.

Menurutnya, kejadian itu jarang berlaku dan ia menakutkan bagi mereka yang tidak pernah mengalami kejadian aneh seperti itu.

Katanya, sebelum mengilai, penduduk kampung akan terdengar bunyi orang meminta tolong dari jarak 50 meter di dalam kawasan ladang kelapa sawit di bahagian belakang rumah mereka.

“Saya memang ada terdengar suara perempuan mengilai dan ketawa dengan nyaring di bahagian hadapan rumah mangsa, bagaimanapun tidak saya hiraukan. Ini adalah kerana lembaga itu belum pernah masuk ke dalam rumah atau ganggu penduduk kampung.

"Selalunya lembaga yang dikatakan puntianak ini hanya akan berjalan di atas bumbung rumah sebelum terbang ke dalam hutan. Ramai kalangan penduduk di sini yang pernah mengalami pengalaman menakutkan itu,” katanya.

Berlaku lewat malam

Seorang lagi penduduk, Zamri Othman berkata, kejadian aneh itu sering berlaku di kampung itu terutama pada waktu lewat malam, dimana lembaga  dimaksudkan itu juga boleh menyerupai penduduk kampung lain dan berjalan berseorangan di tepi jalan.

Menurutnya, tanah yang didiami sekarang ini diwarisi dari keluarganya yang sudah meneroka kawasan itu sejak 100 tahun lalu.

Katanya, suatu ketika dahulu penduduk kampung menggunakan bantuan ilmu ghaib dan ilmu hitam selain menjadikan makhluk halus sebagai hamba.

Selain menjaga kawasan kebun dan ternakan, makhluk ini juga diarahkan untuk melakukan kerja berat seperti mengerjakan bendang dan banyak lagi.

“Apabila zaman berubah, ahli keluarga mereka yang membela atau mengamalkan ilmu hitam ini tidak mahu mewarisi ilmu yang dipelajari oleh nenek moyang mereka dahulu.

"Ini mengakibatkan kebanyakan makhluk halus itu tidak bertuan dan merayau di sekitar kawasan kampung,” katanya.


Sinar Harian

Orang Minyak ganggu penduduk Felcra Changkat Lada?

 Sosok misteri ganggu ketenteraman penduduk sejak 10 hari

CHANGKAT LADA - Sosok misteri didakwa orang minyak, ditambah bayangan jelmaan tertentu yang menyelubungi Felcra Changkat Lada sejak 10 hari lalu mengganggu ketenteraman penduduk.

Penduduk, Shamidi Shaari, 44 memaklumkan, dia sudah tiga hari tidak pulang ke rumah sejak ia disinggahi orang minyak yang disedari anaknya bersama seorang rakan sewaktu pulang dari rondaan malam.

Menurut Shamidi, anaknya berhenti di halaman rumah apabila terlihat lembaga hitam tergantung seperti buah nangka di batang pokok rambutan.

"Tiga kali anak saya tegur benda tu dan ia terus lari ke kawasan hutan berhampiran. Sejak peristiwa itu, tiga kali orang minyak datang ke rumah saya sehingga saya terpaksa panggil bomoh untuk halau.

"Mulanya saya tak percaya, tapi bila dah alami sendiri termasuk jumpa tapak kaki kecil sebesar katak di tangga rumah dan almari solek, kehidupan kami sekeluarga mula tak tenteram," cerita Shamidi.

 Hamdan menunjukkan bagaimana orang minyak yang dikatakan berhenti di hadapan rumah Su dalam keadaan mencangkung.

Berikutan peristiwa itu, Shamidi telah menghantar anak-anak serta isterinya pulang ke kampung mereka di Felda Besout.

Menurut Shamidi, kepercayaan wujud jelmaan orang minyak diperkuatkan dengan kesan tompokan darah di cadar serta tilam selepas berlaku pergelutan antara bomoh dan lembaga yang didakwa orang minyak itu.

"Saya dah basuh cadar tu, tapi kesannya masih ada. Sampai sekarang saya tak boleh masuk rumah sebab fobia. Saya sendiri tak tahu apa motif lembaga jelmaan itu muncul di kawasan ini dan ganggu kehidupan kami.

"Saya alu-alukan bantuan daripada sesiapa yang mahir dalam pengubatan mistik untuk kembalikan ketenteraman kawasan," katanya.

Nampak bayang hitam

Hanya mahu dikenali sebagai Su, 26, penduduk Felcra Changkat Lada ini mengaku pernah melihat lembaga hitam berbadan besar mencangkung di hadapan rumahnya, Ahad lalu.

Menceritakan kejadian, Su berkata, pada mulanya dia mendengar bunyi kocakan air dalam longkang di hadapan rumahnya dan membuka tingkap untuk melihat keadaan.

"Saya terkejut bila tengok lembaga hitam mencangkung seperti baru naik dari longkang. Kerana terlalu takut, saya lari ke dalam bilik dan telefon suami supaya pulang segera.

"Saya bimbang lembaga hitam itu masuk rumah sebab hanya saya, mak dan anak-anak dalam rumah malam itu. Lembaga itu lari ke tempat lain apabila beberapa remaja bermotosikal melalui kawasan rumah kami," katanya.

 Shaharudin menunjukkan kawasan yang dikatakan dilalui oleh orang minyak kerana lari daripada bomoh.

Rela jaga malam

Anggota Rela, Hamdan Baharudin, 32 mengakui berita berkaitan jelmaan orang minyak sudah heboh sejak 10 hari lalu dan memaklumkan peristiwa itu bermula di kawasan penempatan Felcra Fasa Empat sebelum merebak ke rumah kakitangan Felcra, seterusnya ke penempatan di fasa tujuh.

"Katanya hanya orang tertentu dapat lihat lembaga yang didakwa boleh menjelma dalam pelbagai bentuk termasuk kucing hitam dan katak. Ada yang kata ia boleh kelirukan pandangan kita supaya orang tak sedar kehadirannya.

"Sejak ada jelmaan orang minyak, ketenteraman penduduk terganggu sehingga ada yang tak berani balik rumah. Anggota Rela kini buat rondaan dan berjaga pada waktu malam. Kami harap kes ini diselesaikan secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, Ketua Platun Rela Changkat Lada, Laftenan (Rela) Shaharudin Hashim memaklumkan pasukannya telah mengambil inisiatif dengan melakukan rondaan dan berjaga malam secara bergilir-gilir.

"Kami ambil inisiatif untuk terus mewujudkan suasana aman dan tenang. Polis turut buat rondaan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

"Perkara ini agak mistik dan kita sendiri tak tahu kesahihannya. Namun langkah berjaga-jaga sentiasa diambil. Setakat ini belum ada kejadian pecah rumah, kehilangan barang atau penduduk tercedera dan kita tak mahu sebarang kemungkinan ini berlaku," tegasnya.

Polis terima satu laporan

Ketua Polsi Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Fakri Che Sulaiman memaklumkan satu laporan polis diterima 11 Mei lalu sejak berita berkaitan orang minyak heboh diperkatakan di Felcra Changkat Lada.

Menurutnya, dalam laporan berkenaan, pengadu yang merupakan warga emas berusia 62 tahun mengatakan dia ditindih seorang lelaki bersenjata pisau pada jam 3 pagi dalam rumahnya di Felcra berkenaan, namun lelaki terbabit hilang apabila pengadu mengucap dua kalimah syahadah.

"Kita sedang siasat perkara ini dan selepas kejadian itu, penduduk bersama Rela telah melakukan jagaan malam untuk memastikan keselamatan kawasan terbabit terjamin. Sehingga kini pelbagai cerita sampingan diterima tetapi tidak dapat disahkan kebenarannya," katanya.


Sinar Harian

Seorang ibu percaya rumahnya didiami hantu bernama Nigel

Stacey McGill, 29, yakin rumah keluarganya di School Street, Loughborough berhantu

Menghuni rumah yang telah diduduki pihak lain memang tidak selesa. Stacey McGill (29) meminta pihak berkuasa perumahan mencari sebuah rumah baru bagi keluarganya.

Sebabnya, rumah yang mereka huni terlebih dahulu diduduki oleh hantu bernama Nigel. McGill pindah ke rumahnya di Loughborough, United Kingdom, bersama pasangannya, Carl (25), dan bayi mereka yang berusia 18 bulan, Chelsey, Disember 2012 lalu. McGill menyatakan, dia merasa ada yang aneh di rumah tersebut. Lampu menyala dan padam sendiri secara rawak.


Menurut McGill, dia merasa seram sejuk ketika masuk ke rumah itu. Dia lalu mengupah seorang paranormal untuk menyiasat apa yang terjadi. Menurut si paranormal, rumah itu juga didiami Nigel, hantu yang tidak bahaya. Pihak berkuasa perumahan menyatakan akan membantu McGill dengan berbagai macam sokongan, tetapi mungkin bukan rumah baru. - Kompas


Kereta terjun parit akibat cuba elak pocong atas jalan

Jentera pembajak sawah digunakan untuk menarik kereta berkenaan

KUALA KURAU - Seorang pekerja kilang nyaris maut apabila kereta dipandunya terhumban ke dalam parit akibat cuba mengelak objek misteri seperti pocong yang merintangi jalan di Kampung Sungai Baru, di sini, semalam.

Mangsa yang hanya dikenali Janariah, 38, berkata, dalam kejadian lebih kurang jam 6.15 pagi itu, dia yang memandu kereta jenis Perodua Kancil dalam perjalanan ke tempat kerja.

Menurutnya, keadaan ketika itu masih gelap dan ketika melalui laluan itu, dia terlihat objek aneh berwarna putih berada di atas jalan.

“Saya cuba mengenal pasti objek tersebut dan terkejut mendapati ia seakan-akan hantu pocong yang muncul  tiba-tiba di atas jalan.

“Akibatnya, saya tidak dapat mengawal kenderaan dan terus menjunam ke dalam parit yang terletak di tepi jalan berkenaan,” katanya sewaktu ditemui media di sini semalam.

Janariah berkata, walaupun keretanya hampir tenggelam di dalam parit,  dia tidak keluar dari kenderaan berkenaan akibat berasa takut mengenangkan objek mistik putih yang dilihatnya.

Jelasnya, bagaimanapun, dia sempat menelefon adiknya untuk meminta bantuan dan menceritakan kejadian yang menimpa dirinya.
Adik Janariah bersama seorang rakan menarik kereta kakaknya yang terhumban ke dalam parit.
Sahabat karib mangsa yang hanya dikenali Hayuzzi berkata, sewaktu kejadian berlaku, dia dalam perjalanan ke sebuah pasar awam di Tanjung Piandang untuk membeli barangan perniagaan.

Katanya, dia terkejut melihat kelibat manusia dan cahaya lampu dari dalam parit.

“Setibanya di lokasi kejadian, saya sekali lagi terkejut apabila mengetahui kelibat itu adalah rakan karib saya yang tinggal berhampiran rumah.

“Keadaan mangsa pada waktu itu seperti terpinga-pinga dan tidak mampu bercakap,” katanya.

Hayuzzi berkata, setelah pulang ke rumah barulah Janariah menceritakan punca kemalangan berlaku kepada orang kampung.

“Ini merupakan kejadian kemalangan kedua berlaku di laluan itu melibatkan kenderaan terhumban setelah terlihat sebuah objek aneh dalam tempoh dua tahun,” katanya - Sinar Harian