Nicol David kekal nombor 1 selama 109 bulan


KEJAYAAN ratu skuasy dunia, Datuk Nicol David mengecap pelbagai koleksi kejuaraan di peringat antarabangsa menaikkan namanya setanding dengan pemain lain khususnya dalam bidang sukan.

Kemenangan demi kemenangan diraih di gelanggang pertarungan membolehkan anak jati kelahiran Pulau Pinang itu berjaya mengekalkan ranking nombor satu dunia yang dipegangnya sejak beberapa tahun lalu.

Uniknya, Nicol membanggakan Malaysia dan mencipta rekod dunia yang baharu apabila menjadi pemain paling lama berada di anak tangga nombor satu mempertahankan kedudukannya selama 109 bulan.

Senarai ranking dunia yang dikeluarkan Persatuan Skuasy Wanita (WSA) baru-baru ini, menyaksikan pemain berusia 31 tahun itu berjaya mengekalkan kedudukan tersebut sejak Januari 2006.


Jurang makin dekat

Menurut portal Squashsite, Nicol mengumpul 3,241 mata dan semakin dikejar pemain Mesir, Raneem El Weleily yang hanya dibezakan 43 mata.

Tempat ketiga kekal milik Camille Serme dari Perancis yang mengutip 1,668.

Rata-rata peminat di laman sosial Facebook memuji aksi Nicol yang terus mengekalkan kedudukan di puncak dunia dan berbangga dengan pencapaian dilakar pemain berkenaan.

Noor Lela Md Taib menulis: Wow! Dua pemain Malaysia berada dalam kelompok 10 terbaik dunia. Kamu membanggakan kami.

Manakala CaptNimo Ikhwan berkata: Tahniah. Teruskan usaha walaupun berdepan cabaran. Ayuh, teruskan dan bermain sehabis baik. Kami berbangga dengan kamu.



Sumber: Sinar Harian

1 comment: