ROMPIN - “Ingatkan ikan haruan, rupa-rupanya ular tedung.”
Itulah pengalaman ngeri seorang wanita yang nyaris dipatuk reptilia berbisa itu sewaktu berada di dalam rumahnya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kampung Perpat yang ditenggelami air berikutan kejadian fenomena air pasang, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, Maznah Awang, 47, sedang sibuk mengemas barang untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Banjir Balai Lintang Kampung Perpat sebelum dikejutkan dengan kehadiran ular berkenaan.
Maznah berkata, pada mulanya dia menyangka rumahnya dimasuki ikan haruan berwarna hitam yang dibawa arus banjir, namun telahannya jauh meleset.
“Belum sempat memegangnya dengan tangan, tiba-tiba saya terkejut apabila melihat seekor ular tedung sudah mengembangkan kepalanya ke arah saya,” katanya.
Panik dengan keadaan itu, Maznah berkata, dia cuba menjauhkan diri dan memanggil seorang anak lelakinya yang sedang nyenyak tidur di dalam sebuah bilik.
“Kehadiran reptilia itu sungguh menakutkan. Jantung saya gemuruh dan perasaan cemas mula menyelubungi diri setelah melihat haiwan itu. Apatah lagi dalam keadaan rumah kami dimasuki air,” katanya.
Bagaimanapun, Maznah berkata, ular itu tidak dapat ditangkap dan dipercayai kemungkinan ular itu dihanyutkan arus banjir ke bahagian belakang rumahnya.
“Kami tidak sempat menangkap ular itu kerana sebaik saja anak saya terjaga daripada tidur, reptilia itu tidak lagi kelihatan. Sebaliknya, kami pula bergegas bersiap untuk berpindah ke pusat pemindahan banjir,” katanya.
Lintah masuk rumah
Seorang penduduk, Zainuddin Mahdun, 44, berkata, kejadian fenomena air pasang itu menyebabkan berpuluh-puluh lintah sesat masuk ke dalam rumahnya.
Menurutnya, beberapa kanak-kanak dan orang dewasa bukan saja terpaksa mengharungi banjir, malah mereka yang menangkap lintah terpaksa memasukkan haiwan itu ke dalam botol sebelum membuangnya ke dalam sungai berhampiran.
“Musim hujan dan air pasang menyebabkan lintah ini berada di mana-mana saja. Malah, berpuluh-puluh lintah ditangkap di rumah saya sewaktu banjir melanda,” katanya.
Katanya, setiap tahun, penduduk di kampung itu akan berdepan fenomena air pasang, namun keadaan bertambah buruk apabila fenomena tersebut bertembung pula dengan hujan berterusan.
“Sekiranya air pasang saja berlaku, mungkin beberapa rumah penduduk tidak mungkin mengalami banjir. Namun fenomena itu bertembung pula dengan hujan tanpa henti menyebabkan air naik dengan cepat,” katanya.
Menurutnya, meskipun banjir mulai surut, mereka bimbang untuk pulang semula ke kediaman masing-masing kerana bimbang rumah dinaiki air berikutan ramalan kemungkinan air pasang besar dijangka melanda awal pagi ini.
“Kami hanya melawat rumah setelah air kembali surut, kami masih belum mengemas barang kerana bimbang kemungkinan banjir sekali lagi memandangkan keadaan hujan masih berterusan,” katanya.
Sementara itu, bagi kanak-kanak pula, musim hujan dan banjir digunakan sepenuhnya untuk berseronok serta sebahagian mereka pula menjadikan aktiviti menangkap lintah bagi memenuhi waktu terluang.
sinar harian
mcm2 binatang bahaya bile banjir.. moga mereka yg ditimpa musibah ini dilindungi oleh Allah.. Aameen..
ReplyDeletebahaya kan
ReplyDeletebahayanya..musibah banjirnie mcm2kan..binatang buas n penyakit..harap mereka2 yang terlibat dilindungi
ReplyDeletemcm mcm benda masuk umah time banjir2 ni.... Ishhhh, hati hati
ReplyDeleteYa Allah bahayanya....geli geleman bila bayangkan lintah tu
ReplyDelete