Rumah pelacuran legenda

BANGUNAN One Two Two di Paris
PADA zaman silam, papan tanda di bangunan No. 12, Rue Chabanais tertera tulisan: Welcome to the Chabanais: The House of All Nations. Itulah kata-kata aluan yang boleh dibaca pengunjung apabila bertandang ke tempat pelacuran berprestij dan popular di Paris, Perancis itu.

Setelah operasi rumah pelacuran tersebut ditutup 60 tahun lalu, kini bangunan lapan tingkat yang terletak di sebatang lorong sempit berdekatan kawasan Lourves menempatkan agensi pekerjaan dan flat-flat kediaman.

Tetapi, bertentangan dengan bangunan tersebut yang bernombor 11, sebuah galeri menyimpan segala memori masa silam rumah pelacuran tersebut.

Nicole Canet, pengurus galeri itu, memaparkan hasil seni foto erotik dan alat permainan seksual yang mengimbas kembali detik 'kegemilangan' rumah pelacuran legenda di Perancis itu. Ketika itu, ia merupakan rumah pelacuran yang dibenarkan undang-undang.

"Saya suka mengembara kembali ke zaman silam persis seorang detektif," ujar Canet, bekas penari berumur lingkungan 50-an.

Populariti Bertie

Dengan seleksi alat permainan seksual seperti tali cemeti yang mempunyai tanduk badak sumbu, pameran tersebut cuba menghidupkan semula realiti kehidupan rumah pelacuran di Paris pada tahun 1860 hingga era penutupan secara paksa pada tahun 1946. Pameran penuh nostalgia itu mempamerkan lebih daripada 400 kepingan foto, arca, aksesori serta buku.

The Chabanais suatu ketika dahulu merupakan tempat 'istirehat' popular yang 'wajib' dikunjungi oleh para pengunjung dari luar negara yang berdarjat dan berpangkat tinggi.

Mereka selalunya menyelinap masuk secara rahsia dengan bantuan segelintir pegawai kerajaan Perancis kerana habuan wang yang banyak. Salah seorang pengunjung tetap yang popular ialah seorang rakyat British yang popular disapa sebagai Bertie yang kemudian menjadi Prince of Wales dan King Edward VII.

Bertie mempunyai biliknya sendiri yang dilengkapi dengan kolam mandi tembaga yang besar berceracakan separuh patung angsa dan separuh ukiran wanita.

Beliau suka mengisi minuman arak Champagne ke dalam kolam tersebut sebelum terjun ke dalamnya. Bilik beliau juga mempunyai sebuah kerusi yang dinamakan Love Seat, sebuah alat pelik yang didakwa digunakan untuk kegiatan seks lebih daripada dua orang.

Pada zaman dahulu, rumah pelacuran untuk golongan atasan ditafsirkan sebagai sebuah pusat sehenti bertaraf istana yang cukup mewah. Pembuatan dan corak dekorasinya menyempurnakan kehendak dan obsesi seseorang pelanggan.

Foto-foto lama menunjukkan Le Chabanais mempunyai pintu gerbang masuk yang seakan-akan sebuah gua primitif. Tapi, untuk dekorasi dalamannya, setiap biliknya diperhalusi dengan pelbagai fabrik mewah yang melambangkan era-era tertentu.

Le Chabanais sebenarnya boleh dikatakan sebagai sebuah monumen kebangsaan Perancis kerana ia dinamakan sebagai tempat yang harus dikunjungi oleh agensi-agensi pelancongan.

Rumah-rumah pelacuran pada ketika itu ialah gabungan keseronokan peribadi dan restoran. Tempat itu menjadi tumpuan ramai artis terkenal pada zaman itu termasuk Humphrey Bogart, Cary Grant, Mae West dan Marlene Dietrich.

Mereka amat menggemari rumah pelacuran, misalnya One Two Two yang dinamakan sempena alamat rumah berkenaan di 122 Rue De Provence.

Jurukamera terkenal, Robert Doisneau telah merakam beberapa keping gambar pada ketika itu, merangkumi kepelbagaian dekorasi bilik yang elegan dan beberapa katil yang mempunyai tiang di setiap penjuru di One Two Two.

Rumah pelacuran itu menawarkan beberapa bilik eksotik yang digelar musketeers room, African room, Pirate's room, Chamber of Mirrors dan sudah semestinya sebuah bilik yang wajib ada pada setiap rumah pelacuran, Torture Chamber atau bilik seksaan seksual.

kosmo


3 comments: