43 biji fosil telur dinosaur dijumpai

Fosil yang ditemui awal bulan ini.

HEYUAN - CHINA. Sebanyak 43 objek yang dikatakan fosil telur dinosaur yang masih melekat dijumpai ketika sebuah kerja mengorek sedang dijalankan, awal bulan ini.

Menurut South China Morning Post, sejumlah 19 telur masih berada dalam keadaan elok.

Pakar dari Akademi Sains China sedang menyiasat jenis dinosaur yang menghasilkan telur tersebut, kata sebuah laporan.

Pihak berkuasa memberitahu, sebanyak 17,000 serpihan fosil telur dinosaur telah dijumpai sejak penemuan pertama di sebuah sungai pada tahun 1996.

Penemuan terbaru tersebut juga merupakan penemuan pertama fosil di kawasan bandar.

Du Yanli, pengarah sebuah muzium berkata, sebarang kerja pembinaan akan dihentikan jika terdapat penemuan fosil yang lain.

Pada tahun, 2004, seorang petani ditahan polis selepas menyimpan lebih 500 fosil telur dinosaur secara haram.


Sumber: Sinar Harian

Tren pecah rekod 'meluncur' 589km/j

Tren Maglev

YAMANASHI - JEPUN. Tren Maglev atau tren terapung mencipta rekod baru dengan kelajuan mencapai 366 batu perjam (589km/j) dalam satu ujian, semalam.

Menurut Dailymail, rekod tersebut mengalahkan rekod lama iaitu 361 batu perjam (580 km/j) yang dicapai pada tahun 2003.

Dalam satu lagi ujian yang dijadualkan akan berlangsung esok, kelajuan baru pada 373 batu perjam (600km/j) akan berjaya dicapai.

Menurut jurutera syarikat Central Japan Railway, tren tujuh gerabak tersebut mampu bergerak pantas kerana teknologi Maglev.

Teknologi tersebut yang menggunakan magnet untuk mengapungkan gerabak mampu menyediakan perjalanan yang lancar, senyap dan dua kali ganda kelajuan tren biasa.

Walaupun begitu, kelajuan yang akan digunakan untuk tujuan komersial hanyalah  314 batu perjam (505km/j).

Tren HS2 di Britain ketika ini hanya mampu mencapai 224 batu perjam (360 km/j).

Perkhidmatan tren Maglev komersial dijangka membawa 16 gerabak dan sejumlah 1,000 penumpang pada satu-satu masa.


Sumber: Sinar Harian

Gadis Melayu lindungi wartawan Cina semasa protes lambang salib di Taman Medan jadi viral


 Terima kasih Jannah, sikapmu seindah namamu!

'SIKAPMU seindah namamu Jannah'. Demikian kata-kata yang diungkapkan oleh seorang pelayar Facebook apabila terpaparnya kisah seorang gadis wartawan membantu rakannya seorang Kristian.

Dalam dunia kewartawanan pada hari ini, jarang sekali cerita tentang wartawan itu sendiri diangkat melainkan isu-isu yang ditulisnya.

Namun bila sikap gadis ini menyentuh hati seorang wartawan berbangsa Cina yang dibantunya, susuk tubuh yang hanya dikenali sebagai Jannah, tiba-tiba menjadi viral.

Memang benarlah, kadang-kadang perkara kecil yang kita buat, besar maknanya kepada orang lain.

Perkongsian Nicholas Cheng di laman sosial Facebook bila gadis yang hanya dikenali sebagai Jannah 'melindunginya' sepanjang tempoh membuat liputan demo membantah pemasangan salib baru-baru ini, menunjukkan perkara itu begitu besar maknanya buat wartawan The Star itu.

Nicholas menyatakan rasa berterima kasihnya kepada Jannah. Kata-kata Jannah kepadanya diungkapkan satu persatu oleh Nicholas di dalam luahannya.

“Awak ikut saja saya dan jangan pergi jauh,” antara pesanan yang diungkapkan Jannah kepada Nicholas.

Jelas gadis itu nampaknya risau dengan keselamatan lelaki Cina yang dikerumumi ratusan peserta demo yang sedang naik berang.

Siapa Jannah? Kenapa dia buat begitu? Benar sikapmu seindah namamu Jannah!

Yang pasti dia tidak fikir lain ketika tindakannya itu! Dia nampak Nicholas sebagai rakan setugas, hanya seorang sahaja lelaki berbangsa Cina di situ dan keselamatannya seolah-olah terancam.

Ketika dan saat itu, gadis ini hanya merasakan tanggungjawabnya untuk 'melindungi' rakannya itu.

Jannah atau nama sebenarnya, Janatul Firdaus Yaacob, 29, kini sudah empat tahun bertugas sebagai wartawan di Sinar Harian. Orangnya kecil molek, berperwatakan biasa tetapi cukup peramah.

Ketika namanya tiba-tiba menjadi bualan, anak kelahiran Jitra, Kedah itu turut berkongsi cerita sebenar dengan Sinar Online.

"Saya beritahu dia, jangan takut... Saya nampak orang tengking dia, tarik kolar (baju) dia. Saya fikir, kenapa perlu marah dia. Dia hanya seorang wartawan. Dia sedang buat kerja dia," jelasnya yang merupakan wartawan Sinar Harian edisi Selangor dan Kuala Lumpur.

Selepas protes penurunan salib di Taman Medan, Petaling Jaya kelmarin, luahan hati Nicholas mengenai tindakan Jannah menjadi viral dan mendapat perhatian beribu-ribu pelayar laman Facebook, Twitter dan juga forum-forum sosial atas talian.

Orang ramai dan pelayar yang mendapat tahu kejadian tersebut melahirkan rasa syukur dan memuji tindakan Jannah yang digambarkan sikap sebenar rakyat Malaysia.

"Hah! Itu dia! Anak Kedah yang bertamadun..," kata Andrew Khor.

"Muslim yang sebenar. Bravo," balas Jason Yap pula.

"Semoga Tuhan merahmati anda Jannah. Dan saya berterima kasih kepada anda," tulis Stephanie Ng.

"Muda dan matang, bertamadun dan (tindakan) menggambarkan Islam dari kumpulan (penunjuk perasaan) tersebut. Mereka patut malu. Terima kasih Jannah," kata Suan Yee.


Sumber: Sinar Harian

Foto 'hantu samurai' timbulkan cemas

'Entiti' (kiri, tengah) jelas kelihatan di dalam bulatan. (Kanan) Tiada entiti kelihatan dari gambar lain yang diambil dari lokasi sama.
 
KANAGAWA - JEPUN. Sekeping foto yang dimuatnaik ke laman forum Reddit menimbulkan perdebatan mengenai ketulenan entiti yang terdapat dalam gambar tersebut.

Menurut pelayar Reddit, Obiaruf berkata, entiti berkenaan kelihatan memakai 'but samurai'.

Gambar berkenaan dilaporkan diambil berdekatan dengan makam samurai di Kanagawa, tahun lepas.

Obiaruf yang merupakan kawan kepada jurugambar berkenaan berkata, dalam foto lain di lokasi sama, tidak ada apa-apa entiti pelik kelihatan.

Terdapat juga pelayar Reddit mengandaikan kemungkinan 'hantu' tersebut dari zaman Perang Dunia Kedua.

"Datuk saya berada di Okinawa (Jepun) ketika Perang Dunia Kedua dan saya mengecam but yang dipakai. Itu but Tentera Laut Amerika Syarikat (ketika) Perang Dunia Kedua." jelas pelayar tersebut.

Bagaimanapun, pelayar laman Reddit yang lain bersikap skeptikal terhadap foto tersebut.

Mereka memberitahu ianya adalah 'ilusi' atau permainan cahaya dan kehadiran manusia sebenar yang lain dalam foto berkenaan.


Sumber: Sinar harian

Ayah tiri Kim Kardashian dah mula pakai bra?

Foto: splashnews.com

Bruce Jenner didapati mengenakan sport bra di sebalik jaketnya ketika menunggang motor besar di Santa Monica. Daily Mail melaporkan, sangat jelas kelihatan garis yang berbentuk seperti bra di belakang badannya.

Ayah tiri kepada Kim Kardashian ini dikatakan akan segera mengubah jantina menjadi seorang wanita.

Video: Penumpang Kereta Api Diganggu Hantu Kanak-Kanak


PERASAAN takut menyelubungi sekumpulan penumpang apabila 'hantu' seorang kanak-kanak perempuan yang sangat menyeramkan muncul secara tiba-tiba lalu menjerit sekuat hati semasa mereka berada di dalam kereta api bawah tanah di Brazil.

Rakaman video menunjukkan perasaan gelisah penumpang bermula apabila lampu kereta api tersebut berkelip-kelip secara tidak menentu.

Beberapa minit kemudian, lampu kereta api tersebut padam serta-merta dan apabila lampu kembali menyala, penampakan kelibat seorang kanak-kanak perempuan yang menyeramkan.

Kanak-kanak perempuan yang menyeramkan tersebut menyerupai satu watak yang dirasuk iaitu Linda Blair di dalam filem 'The Exorcist'.

Rakaman video itu turut menunjukkan kesemua penumpang cuba melepaskan diri dengan membuka pintu kereta api namun tidak berjaya apabila hantu kanak-kanak tersebut mula menjerit sekuat hati.

Selepas beberapa saat kemudian, kesemua penumpang lari bertempiaran menyelamatkan diri sejurus pintu kereta api dibuka namun masih dikejar oleh hantu kanak-kanak tersebut.

Rakaman video berdurasi tujuh minit itu dimuatnaik ke satu laman sosial, Youtube pada 19 April dan menjadi 'viral' dengan lebih 33,600 tontonan.

Gurauan 'prank' tersebut mempunyai jalan cerita sama seperti satu rakaman video yang dimuat oleh seorang warga Brazil, Silvio Santos yang memaparkan penumpang kereta api menjerit ketakutan apabila diserang oleh sekumpulan zombi.





Sumber: mstar.com.my

Daniel Craig Dibayar Hampir RM18 Juta Hanya Pegang Telefon Bimbit

 
BINTANG filem James Bond, Daniel Craig menerima bayaran £3.3 juta (RM17.85 juta) dengan hanya memegang sebuah telefon bimbit.

Portal Mirror melaporkan kandungan emel yang dikirimkan Sony Pictures mendedahkan Craig mendapat bayaran itu daripada syarikat elektronik itu kerana menggunakan telefon bimbit mereka bagi model Xperia dalam filem Skyfall.

Dalam filem SkyFall, Bond menulis pesanan teks menggunakan telefon Xperia yang tertera "EWA FLIGHT 226 9pm" yang merujuk kepada penerbangan yang dinaiki musuhnya.

Dengan kejayaan penampilan produk dalam filem berkenaan, Sony mahukan perjanjian yang sama untuk filem Spectre yang bakal ditayang pada tahun ini.

Bagaimanapun, pesaingnya Samsung menawarkan lebih banyak untuk menyediakan telefon sebagai kemunculan dalam filem 007 itu.

Ia menyebabkan penerbit filem Bond, Barbara Broccoli meminta bayaran tambahan daripada Sony bagi menampilkan produk keluaran syarikat itu di dalam filem, seperti yang diperkatakan pihak pemasaran syarikat produksi itu, George Leon kepada pengerusi bersama Sony Pictures, Amy Pascal menerusi satu kiriman emel.

Jurucakap Sony enggan mengulas mengenainya manakala wakil Craig pula tidak dapat dihubungi berhubung perkara yang sama. - MIRROR



mstar.com.my