Pramugari di China diberi latihan kung fu

Foto: Orange

CHENGDU - Pramugari di China diberikan latihan Fu untuk menjaga diri dari gangguan penumpang. Para pramugari ini nantinya akan dilatih oleh seorang master kung fu terkenal.

Southwest Airline College, telah menandatangani perjanjian dengan master kung fu, Tu Tengyao, untuk menjadikan pramugari di China seperti Bruce Lee.

Latihan ini berlangsung di bandar Chengdu di wilayah Sichuan barat daya China. Tengyao, melatih 20,000 pelajar bagaimana caranya menendang, memukul, dan bergelut dengan lawan yang mabuk bahkan seorang pengganas.

Lelaki berusia 32 tahun ini adalah anak kepada Ye Wen, seorang master kung fu legenda, keturunan dari perguruan kung fu Wing Chun.

"Ancaman keganasan meningkat sehingga pramugari perlu benar-benar bersedia untuk menghadapi situasi seperti itu di atas ribuan kaki di udara," ujar Tengyao, seperti dikutip Orange, Isnin (23/6/2014).

"Tidak mungkin untuk menggunakan senjata api di tempat-tempat tersebut sehingga orang harus mengandalkan kecerdasan mereka dan kekuatan mereka. Saya mengasah mereka untuk mahir seni bela diri, "tambhanya.

Menurut perguruan syarikat penerbangan, kung fu Wing Chun sangat sesuai untuk diajarkan kepada paramugari dan kung fu ini boleh dipraktikkan di ruang yang sempit dan terhad.

Sumber: okezone.com

Franz Muellner, pecahkan rekod tarik pesawat Boeing 777

Foto: NBC News

Vienna - Franz Muellner, berjaya memecahkan rekod dunia dengan menarik sebuah pesawat Boeing 777 dari hangar di lapangan terbang Vienna-Schwechat di Austria.

Seperti diberitakan NBC News, Rabu (25/6/2014), lelaki berusia 44 tahun ini menarik pesawat setinggi 14 meter (m) hanya dengan seutas tali.

Muellner memulakan aksi uniknya ini pada 23 Jun 2014. Walau hanya dilengkapi dengan tali lelaki penggemar sukan ekstrimnya ini berjaya menarik pesawat tersebut.

Selain menarik pesawat Boeing 777 dari hangar, Muellner juga pernah memutar kincir angin seberat 244 tan hanya dengan tangan kosong.

Sumber: okezone.com

Jerung gergaji sesat ke Sibu

PENDUDUK membantu menunda jerung gergaji ke pantai untuk dilepaskan.

Sibu: Sekumpulan nelayan dari Pulau Bruit gempar dengan penemuan seekor jerung gergaji seberat 300 kilogram ketika memukat ikan di sekitar pesisir pantai pulau berkenaan, kelmarin.

Ikan sepanjang lima meter itu ditemui seorang nelayan Azmi Muji, 27, bersama dua rakannya pada jam 6 petang kira-kira tiga batu nautika dari kawasan pantai.

Azmi berkata, dalam kejadian petang itu, bot kecil yang mereka naiki bergoyang kuat berbanding biasa seolah-olah dilanggar objek besar.

Katanya, selepas membuat pemeriksaan, dia terkejut apabila mendapati seekor jerung gergaji tersangkut pada pukatnya.


“Saya panik melihat cahaya bersinar pada pukat dengan bahagian kepala ikan itu amat besar dan kelihatan seperti gergaji.


“Jerung itu masih hidup dan saiznya terlalu besar tetapi dalam keadaan lemah. Kami cuba menaikkannya ke dalam bot tetapi gagal,” katanya, semalam.

Menurutnya, selepas usaha menaikkan jerung berkenaan gagal, dia kembali ke darat dan meminta bantuan penduduk untuk melepaskan jerung itu daripada pukatnya.

“Saya tiada pilihan selain terpaksa menghubungi penduduk kampung bagi membantu menunda jerung berkenaan ke pantai.

“Kami mengambil masa lebih dua jam untuk menarik ikan berkenaan ke pantai Bruit,” katanya.

Jerung gergaji (sawsharks) atau nama saintifiknya Pristiophoriformes adalah spesies jerung di perairan laut dalam tidak kurang dari 40 meter dan hanya boleh ditemui di perairan Jepun, Afrika dan Australia.

Sumber: myMetro

Gigit, Suarez digantung perlawanan 2 tahun?

 
PENYERANG Uruguay, Luis Suarez mungkin akan digantung dari sebarang perlawanan selama dua tahun jika pemain tersebut dibuktikan menggigit pemain pertahanan Itali, Giorgio Chiellini dalam pertemuan Uruguay menentang Itali, malam tadi.

Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa, Fifa hari ini mengesahkan kenyataan tersebut dan telah mengarahkan kedua-dua pemain hadir memberi keterangan serta menunjukkan bukti berhubung insiden terbabit.

Suarez sebelum ini direkodkan terlibat dalam insiden menggigit sebanyak  tiga kali dan dia telah pun digantung 10 perlawanan akibat tindakannya itu.

Menurut pihak Fifa, ianya merupakan satu kesalahan atas padang yang serius dan Suarez boleh dikenakan hukuman yang lebih berat dari sebelumnya.

Rakaman ulang tayang insiden itu di televisyen menunjukkan Suarez menggigit bahu Chiellini selepas kedua-duanya bergelut di kawasan kotak penalti.

Insiden itu dilaporkan berlaku dalam tempoh seminit sebelum Uruguay menjaringkan gol kemenangan menerusi Diego Godin pada minit ke-81 sekali gus melayakkan Uruguay ke pusingan seterusnya.

Sumber: Sinar Harian

Akaun FB ibu remaja malang digodam

 
SHAH ALAM - Akaun Facebook wanita yang didakwa ibu kepada remaja malang, Muhammad Firdaus Dullah, 15, telah digodam sejak malam semalam.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, akaun tersebut telah diceroboh sekitar jam 7 petang kelmarin dengan menggunakan nama Syah RilekCrew.

Penggodam turut memuatnaik status yang mengundang kemarahan di akaun Facebook kepunyaan Imashima Lola itu, menyebabkan ramai pelayar Facebook meninggalkan komen dan kata-kata kecaman kepada pemilik asal akaun tersebut.

Pemilik asal akaun tersebut masih dalam tahanan reman polis sejak Ahad lalu, dijangka dibebaskan hari ini.

Wanita berkenaan didakwa ibu kepada Muhammad Firdaus apabila beberapa keping gambar dipercayai Muhammad Firdaus telah dikongsi dalam akaun Facebook berkenaan.

Muhammad Firdaus sebelum ini telah ditemui Jabatan Imigresen Negeri Sembilan yang diketuai Pengarahnya, Faizal Fazri Omar, ketika mengadakan operasi memburu pendatang asing tanpa izin (Pati) di Flat Taman Semarak, Nilai.

Remaja malang ini ditemui dalam sebuah bilik rumah yang kotor dan terdapat kesan najis serta air kencing. Keadaannya yang kurus kering, dipercayai kerana kekurangan zat makanan dan dalam keadaan diri yang tidak terurus.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 31 Akta Kanak-Kanak 2001 dan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sumber: Sinar Harian

Piala Dunia: Suarez gigit Giorgio Chiellini

PEMAIN Uruguay, Luis Suarez memegang giginya selepas terhantuk di bahu pemain Itali, Giorgio Chiellini (gambar kiri) pada perlawanan Piala Dunia di Arena das Dunas, Natal, Brazil, awal pagi tadi. - Foto AP

NATAL: Penyerang Uruguay, Luis Suarez terus mengundang masalah dan mungkin dikenakan tindakan berat selepas dilihat menggigit pemain lawan ketika pertembungan menentang Itali, awal pagi tadi.

Insiden itu yang beberapa kali diulang siaran televisyen memaparkan Suarez menggigit bahu pertahanan Itali, Giorgio Chiellini selepas kedua-duanya bergelut di kawasan kotak penalti. Dan ia berlaku hanya seminit sebelum Uruguay meledak gol kemenangan menerusi Diego Godin pada minit ke-81.

Uruguay mencatat kemenangan 1-0 dan layak ke pusingan seterusnya dengan Itali yang juga juara dunia empat kali, tersingkir.

Ia adalah insiden menggigit kali ketiga membabitkan Suarez yang juga penyerang kontroversi Liverpool.

Ketika beraksi bersama Ajax dalam Liga Belanda pada 2010, Suarez dikenakan tindakan penggantungan tujuh perlawanan selepas menggigit pemain PSV Eindhoven, Otman Bakkal.

Selepas berpindah ke Liverpool, dia kemudian menggigit pertahanan Chelsea, Branislav Ivanovic tahun lalu dan dikenakan penggantungan 10 perlawanan.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) boleh mengenakan tindakan penggantungan sehingga dua tahun seandainya jawatankuasa disiplin memutuskan ada kes untuk dibicarakan.

Sejurus insiden itu berlaku, Chiellini melakukan protes kepada pengadil, Marco Rodriguez dari Mexico sambil menunjukkan bahunya yang bertanda namun tiada tindakan diambil ke atas Suarez.

Empat tahun lalu di Afrika Selayan, Suarez dikenakan tindakan keluar padang pada aksi suku akhir menentang Ghana kerana menampan bola di depan gawang namun Uruguay menang dan melangkah ke separuh akhir namun tewas. - AP

Sumber

Piala Dunia: Itali bungkus selepas kalah kepada Uruguay

PEMAIN Uruguay, Diego Godin melompat tinggi bagi menanduk masuk gol sulung perlawanan yang memberikan kemenangan kepada pasukannya pada perlawanan Piala Dunia menentang Itali di Arena das Dunas, awal pagi tadi. - Foto AP

ITALI 0NATAL: Jaringan tunggal penuh dramatik daripada kapten, Diego Godin membawa Uruguay mara ke pusingan kedua Piala Dunia hasil kemenangan 1-0 ke atas Itali dalam perlawanan penuh kontroversi Kumpulan D di Stadium das Dunas, sebentar tadi.


Kekalahan menyaksikan Itali yang juga juara dunia empat kali tersingkir dan mengulangi derita empat tahun lalu di Afrika Selatan sekalipun hanya memerlukan seri untuk mara dengan gol menerusi tandukan Godin hadir ketika perlawanan berbaki sembilan minit.

Hampir menurunkan skuad sama ketika menundukkan England 2-1, minggu lalu, tiada gol berjaya dijaringkan Uruguay pada babak pertama dengan perlawanan lebih dikuasai Itali sebelum perlawanan bertambah panas di babak kedua.

Detik malang Itali bermula pada minit ke-58 perlawanan apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Claudio Marchisio menerima kad merah kerana mengasari Egidio Arevalo Rios.
Dan perlawanan semakin panas apabila penyerang utama Uruguay, Luis Suarez dilihat jelas menggigit pertahanan Itali, Giorgio Chiellini beberapa minit sebelum Godin menjaringkan gol namun tiada tindakan diambil.

Gol Uruguay terhasil selepas Godin yang juga pemain Atletico Madrid melonjak tinggi untuk menyambut sepakan sudut menerusi belakangnya yang menewaskan Gianluigi Buffon.

Kedua-dua pasukan hanya dibezakan dengan jumlah jaringan gol selepas masing-masing mencatat satu kemenangan dan satu kekalahan kedua-duanya kepada Costa Rica yang sudah mengesahkan slot lebih awal. Kemenangan begitupun sekadar meletakkan Uruguay selaku naib juara juara kumpulan selepas mengumpul enam mata. - Agensi

Sumber