Peladang Switzerland gemar makan kucing, anjing

BERN - Masyarakat peladang di wilayah Appenzell dan St. Gallen dilapor mengamalkan makan daging anjing dan kucing sebagai sebahagian hidangan seharian mereka, semalam.

Menurut akhbar Tages Anzeiger, komuniti peladang berkenaan menyembelih hidupan yang dianggap sebagai haiwan peliharaan penduduk sedunia bagi tujuan makanan dan menghadiahkan daging anjing atau kucing kepada jiran mereka.

"Daging anjing Rottweiler yang paling digemari penduduk di sini," kata seorang peladang.

Beliau yang enggan mendedahkan namanya berkata, anjing atau kucing yang dipelihara akan disembelih oleh penjual daging sebaik sahaja mencecah usia matang.

Setakat ini, tindakan memakan daging kucing dan anjing di Switzerland tidak menjadi kesalahan tetapi seseorang itu akan dihukum jika membunuh haiwan berkenaan dengan kejam.  - MailOnline

sinar harian


Terputus bekalan air, penduduk warga kota mengeluh seksa

KUALA LUMPUR - "Seksa." Itu ungkapan pertama sebaik isu ketiadaan bekalan air dikemuka kepada penduduk beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur dan Gombak yang terputus bekalan sejak seminggu lalu.
  
Rata-rata yang terlibat dengan krisis itu mengeluh, bukan sahaja kerana sukar menjalani kehidupan seharian tetapi bagi sesetengah peniaga pula mereka berdepan dengan kerugian.
  
Pemilik kedai Dobi Nanowash di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini memberitahu Bernama perniagaannya terjejas apabila beliau tidak dapat menjalankan khidmat membasuh pakaian pelanggan seperti biasa.
  
"Sudah empat hari kawasan ini ketiadaan air. Urusan cuci mencuci terpaksa dihentikan dan bagi mengurangkan kos kerugian, saya cuba juga menjalankan perniagaan seperti biasa namun hanya menawarkan perkhidmatan menggosok dan melipat pakaian," katanya yang enggan dikenali.
  
Kesukaran itu lebih dirasai pengusaha Taska Dsayang di Wangsa Melawati, Rozaimah Ramli, yang terpaksa menguruskan 35 anak asuhan berusia antara dua bulan dan 7 tahun tanpa bekalan air.

"Sangat sukar...untuk menguruskan makan minum kanak-kanak, dan juga terutama apabila kanak-kanak membuang air kecil dan besar, mereka harus dibersihkan dengan baik bagi mengelakkan jangkitan kuman pada kulit," katanya.
  
Beliau berkata meskipun ketiadaan air, taska berkenaan terpaksa beroperasi agar tidak menjejaskan ibu bapa yang bekerja.
  
"Sejak seminggu lalu, saya terpaksa menadah dan mengangkut air daripada rumah saya untuk dibawa ke taska.
  
"Namun lebih menyukarkan apabila kawasan perumahan saya di Taman Pertama yang terletak tidak jauh dari taska juga mengalami masalah yang sama dengan airnya yang sekejap ada dan sekejap tiada," katanya.
  
Seorang jururawat Klinik Doktor Azizah di Taman Dagang, Ampang, Nor Aniza Abu Bakar, berkata klinik itu beroperasi seperti biasa namun banyak urusan tergendala antaranya ujian air kencing terpaksa dihentikan sementara.
 
"Ia menyukarkan bukan sahaja kepada pengurusan klinik tetapi juga pesakit yang perlu datang mendapatkan rawatan sewajarnya," katanya.
  
Manakala bagi ibu kepada dua anak, Asyilawati Ali, 35, dari Apartment Pandan Utama, Ampang, pula berkata hari pertama persekolahan dirasakan amat sukar apabila beliau terpaksa menguruskan anaknya dalam keadaan ketiadaan bekalan air.
  
"Kami terpaksa berdikit-dikit menggunakan air yang disimpan dan keluar makan di restoran kerana air yang ada disimpan hanya untuk hal penting seperti membersihkan diri," katanya.
  
Sebanyak 107,760 akaun pengguna yang melibatkan setengah juta penduduk, terjejas bekalan air susulan kegagalan sistem pam di rumah pam Wangsa Maju sejak 29 Disember lalu dan kerosakan pada papan suis utama Pudu Hulu, semalam.
  
Bagaimanapun Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) menjangkakan bekalan air yang terjejas membabitkan 90 kawasan sekitar ibu negara itu dapat dipulihkan sepenuhnya dalam tempoh seminggu.

Penduduk di Flat Sri Melaka, Cheras di sini,  berharap masalah ketiadaan air dapat diselesaikan segera kerana penghuni tidak sanggup lagi untuk mengangkut air setiap hari.
  
Pekerja swasta, K. Manoharan, 57, berkata Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) seharusnya menyediakan satu alternatif seperti pam yang membolehkan bekalan air yang dihantar lori tangki dapat disalur kepada penduduk yang tinggal di tingkat atas flat berkenaan.
  
"Rumah saya sendiri di tingkat empat, dan bukan mudah untuk saya angkat baldi satu demi satu untuk kegunaan setiap hari," katanya ketika ditemui hari nini.
   
Seorang lagi penduduk Fatimah Karim, 60, berkata beliau terpaksa berjimat menggunakan air yang disimpan di rumah kerana tidak berdaya untuk mengangkut air ke rumahnya di tingkat dua.
 
"Saya perlu menunggu anak balik dari kerja untuk mengangkut air. Saya juga hanya membeli makanan di luar sejak air tiada kerana air yang disimpan digunakan untuk membasuh baju, pinggan, wuduk dan membuang air," katanya.

Suri rumah itu juga memberitahu, seorang jirannya yang mengadakan kenduri pada Sabtu lalu terpaksa menggunakan air daripada pili bomba untuk membasuh
pinggan mangkuk kerana tidak mempunyai pilihan.   

Sementara itu, seorang peniaga Aziah Shaari, 57, berkata beliau pernah beratur selama 45 minit untuk mendapatkan air daripada lori tangki Syabas.
   
"Kami tidak dimaklumkan bila lori air akan datang. Pernah lori air tiba pada waktu malam. Penduduk juga hampir bergaduh kerana berebut air dan saya faham mereka yang mempunyai keluarga besar memerlukan lebih banyak air," katanya.
 
Bagaimanapun Aziah berkata penduduk boleh menarik nafas lega sejak dua hari lalu setelah Syabas meletakkan dua tangki statik yang sentiasa diisi air untuk
memenuhi keperluan penduduk.
 
Seorang lagi penduduk Narimah Md Sayaed, 62, berkata masalah ketiadaan air membuatkan beliau agak runsing kerana empat cucu yang tinggal bersamanya semasa ibu bapa mereka bekerja, mula bersekolah hari ini.
 
"Budak-budak tak begitu terasa dengan masalah tiada air, tetapi kita yang tua ini risau kerana mereka perlu makan dan membersihkan diri sebelum ke sekolah sesi lain dan juga selepas pulang sekolah," katanya. - Bernama

sinar harian


Sedar dari koma boleh berbahasa asing

Seorang lelaki Inggeris baru baru ini boleh bercakap bahasa Welsh selepas sedar dari koma. Padahal, dia Cuma boleh berbahasa Inggeris.

Alun Morgan, 81 tahun, sepanjang hayatnya hanya mampu berbicara dalam bahasa Inggeris. Veteran perang ini pernah tinggal di Wales beberapa bulan ketika Perang Dunia II. Morgan dikatakan pernah belajar bahasa Welsh ketika itu. Namun dia mengaku tidak menuturkan bahasa itu selama 70 tahun. Isteri Morgan sendiri fasih dengan bahasa Welsh.

Setelah stroke, Morgan berada dalam koma selama tiga minggu. Ketika sedar, mendadak tanpa sedar dia bercakap Welsh.

"Saya merasa bercakap seperti biasa. Namun isteri saya hairan kerana saya berbicara dengan bahasa lain," katanya, Jumat lalu.

Penduduk setempat mengatakan, selama dua hingga tiga hari kemudian dia perlahan-lahan kembali menuturkan bahasa Inggeris dengan kesusahan. Menurut Morgan, kosakata Inggeris kembali padanya secara bertahap. Dia dilaporkan harus mengambil kursus untuk boleh kembali menuturkan bahasa Inggeris. Kini, dia menyatakan ia hampir lupa dengan bahasa Welsh.

Joe Korner dari Association Stroke mengatakan, beberapa penderita stroke kehilangan kemampuan bahasa atau berjuang untuk mengingat kata-kata. Namun ada juga yang malah membuka kemampuan terpendam bahasa mereka yang tak disedari.

"Kami percaya otak yang rosak menemukan jalur baru, yang membuka kenangan atau pengetahuan yang terpendam," kata Korner.

tempo.co


Bapa sediakan £ 100 juta bagi perkahwinan anak perempuannya

Wu Ruibiao
 Wu Duanbiao pengerusi syarikat seramik Fujian Wanli Group telah memberikan anak perempuannya belanja perkahwinan sebanyak £ 100 juta merangkumi empat kotak barang kemas, portfolio hartanah serta saham dalam firmanya.

Suami anak perempuannya itu juga turut mendapat habuan apabila dihadiahkan estet baru, retail store di Quanzhou, Villa Olimpik dan Wanda masion.

Anak perempuannya, Wu Ruibiao telah mengenali suaminya seorang penjawat awam dari keluarga Xu sejak dari tadika lagi

Wu Duanbiao juga turut memberi sumbangan sebanyak £ 1.5 juta kepada dua badan amal

Seorang jurucakap perusahaan milik Wu mengesahkan adanya hadiah dalam jumlah besar itu, tetapi menafikan adanya 'majlis pernikahan selama lapan hari' seperti yang tersebar di internet.

Belanja kahwin yang mahal telah lama menjadi tradisi di Fujian, khususnya di daerah Jinjiang dan Shishi.  Belanja yang mahal demi memastikan pengantin perempuan akan diperlakukan dengan baik oleh suami dan mertuanya.

dailymail.co.uk


Whitney Houston dibunuh?


Kematian Whitney Houston pada bulan Februari lalu memasuki episod baru yang mengejutkan apabila penyanyi itu dikatakan bukan mati akibat dadah berlebihan, tetapi di bunuh.

Menurut seorang penyiasat persendirian, Paul Huebl, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mengenai kehadiran dua lelaki misteri di bilik Houston pada masa dia ditemui mati menguatkan andaian tersebut.

"Saya percaya, dua lelaki misteri tersebut adalah orang upahan pengedar dadah. Ini kerana Houston sebelum ini pernah dikatakan berhutang lebih RM4.5 juta (US$ 1.5 juta) kepada pengedar dadah.

"Jadi mereka (pengedar dadah) telah mengupah orang untuk mengutip hutang tersebut dan akhirnya ia diselesaikan dengan cara kematian," katanya.

Huebl berkata, teori Houston berhutang dikuatkan lagi dengan pengakuan seorang teman rapat mendiang yang mendakwa penyanyi itu ada berjumpanya untuk meminjam wang dalam jumlah yang besar.

Selain itu, kecederaan yang dialami Houston pada hari kematiannya seperti kecederaan pada tangan, kepala dan bibir, menunjukkan wanita itu ada bergelut dalam usaha melindungi diri.

Malah, difahamkan, polis kini sudah membuka kertas siasatan bagi melihat segala bukti yang ada, untuk menilai semula kes kematian Houston.

sinar harian


Lelaki perut besar berisiko kencing kerap


LELAKI dengan perut besar kencing dengan lebih kerap berbanding mereka yang kurus.

Kajian oleh sekumpulan penyelidik dari Weill Medical College, Cornell University di New York mendapati kaum Adam dengan ukur lilit perut melebihi 100 sentimeter didapati berdepan masalah tersebut tiga kali lebih besar berbanding lelaki berukuran 90 sentimeter atau kurang.

Mereka juga mendapati ukuran perut turut berkaitan dengan tekanan darah tinggi, penyakit kardiovaskular, diabetes Jenis 2 selain masalah ereksi serta pancutan.

"Epidemik global obesiti dan diabetes membawa kepada peningkatan mendadak bilangan mereka yang menghidap sindrom metabolik iaitu termasuk obesiti sentral, penolakan glukosa serta paras kolesterol dan tekanan darah tinggi," kata salah seorang penulis British Journal of Urology International (BJUI), Dr. Steven A. Kaplan.

Kumpulan penyelidik itu turut menganalisa hubungan antara saiz perut dan risiko masalah lebih besar dari pelbagai sudut seperti urologi, seksual, metabolik dan kardiovaskular. Ia menunjukkan bahawa ukur lilit yang besar menyumbang kepada 39 peratus masalah prostat selain bilangan antigen prostat meningkat 111 peratus

kosmo


5 lelaki mengamuk di kedai nasi kandar

CCTV menunjukkan 5 orang mengamuk di sebuah restoran nasi kandar di Kulim,
KULIM - Pengunjung sebuah restoran nasi kandar di sini bertempiaran menyelamatkan diri apabila lima lelaki bersenjatakan parang dan kayu mengamuk serta mencederakan empat pekerja restoran itu awal pagi kelmarin.

Kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang daripada penyerang itu hanya kerana lambat dilayan.

Menurut seorang saksi, kejadian kira-kira jam 1.40 pagi bermula apabila seorang lelaki masuk ke restoran itu untuk membeli makanan.

"Dia masuk dan beratur bersama pelanggan lain. Mungkin kerana berasa dirinya lambat dilayan, dia memarahi seorang pekerja restoran sebelum masuk ke ruang hidangan dan membelasah pekerja itu.

"Tidak lama kemudian, empat lagi rakan pelanggan panas baran itu yang sedang menunggu di luar kedai, meluru masuk membawa parang dan kayu, sambil melibas ke arah pekerja dan pelanggan.

"Mujurlah ketika itu pelanggan-pelanggan sempat lari menyelamatkan diri," katanya.
Seorang pekerja yang cedera ditetak

Kumpulan penyerang itu juga merosakkan beberapa perkakas di restoran tersebut, termasuk kerusi meja dan tempat meletak makanan.

"Seorang daripada penyerang itu masuk dan mengamuk di kawasan meja juruwang," katanya.

Seorang daripada empat pekerja itu parah ditetak di kepala.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, semua empat mangsa amuk itu mendapatkan rawatan di unit kecemasan Hospital Kulim.

Katanya, wajah kelima-lima penyerang itu berjaya dirakam melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di restoran tersebut.

“Siasatan awal mendapati suspek adalah orang tempatan dan nombor pendaftaran kereta yang mereka gunakan adalah palsu.

sinar harian