‘Saya nak ke alam ghaib’ kata seorang lelaki

PENDUDUK turut sama mencari Rofiei (gambar kecil) di dalam hutan.

Kuala Selangor: “Saya nak ke alam ghaib dan syurga,” itu antara kata-kata yang sering diungkapkan seorang lelaki yang mengalami kemurungan sebelum dilaporkan hilang dari rumahnya sejak jam 3 petang, Sabtu lalu.

Mangsa, Rofiei Khalid, 59, dilaporkan hilang dari rumahnya di Puncak Alam Fasa Tiga, di sini, dipercayai menuju ke kawasan hutan yang terletak kira-kira satu kilometer dari rumahnya.

Namun, usaha menjejaki mangsa yang dijalankan ahli keluarga serta anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) Klang masih buntu kerana gagal mengesan atau mendapat apa-apa petunjuk.

Difahamkan, Rofiei yang juga pesara kerajaan cuba masuk ke kawasan hutan berkenaan pada Rabu lalu, namun tindakannya itu dihalang seorang lelaki yang berada tidak jauh dari kawasan itu sebelum diserahkan kepada keluarganya.

Isteri mangsa, Misnah Yahya, 52, berkata, suaminya mengalami masalah kemurungan sejak 2006 dan sembuh pada 2011, namun penyakitnya datang kembali pada penghujung 2011 sehingga kini.


Beliau berkata, suaminya dipercayai sering masuk ke kawasan hutan berhampiran rumah mereka seorang diri berdasarkan kesan lumpur pada kasut yang dipakai dan sudah beberapa kali hilang dari rumah, namun berjaya ditemui di kawasan gelap berhampiran rumah.

“Apabila ditanya tujuan dia masuk ke hutan, dia kata mahu masuk ke alam ghaib dan syurga,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

“Kali terakhir suami dilihat cuba masuk ke hutan berkenaan pada Rabu lalu namun berjaya dihalang seorang lelaki yang berada tidak jauh dari kawasan itu sebelum dihantar pulang ke surau berhampiran,” katanya sewaktu ditemui Harian Metro, semalam.

Katanya, dia dan ahli keluarga serta jiran sudah berusaha mencari suaminya di kawasan berhampiran, namun masih gagal menemuinya sehingga kini.

Beliau bersama tujuh anaknya kini bimbangkan keselamatan suaminya yang turut mengidap penyakit kencing manis dan bergantung kepada ubat untuk mengawal kemurungannya.

Misnah berkata, dia berharap suaminya itu ditemui segera dalam keadaan selamat kerana suaminya tidak membawa wang dan dokumen pengenalan diri ketika keluar.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bestari Jaya Jumaat Muskim berkata, pihaknya menerima panggilan memaklumkan kehilangan Rofiei pada jam 10.25 pagi semalam.

Menurutnya, sejurus menerima maklumat, sepasukan lapan pegawai bersama anggota dikejarkan ke kawasan hutan berhampiran Puncak Alam Fasa Tiga untuk mencari mangsa.

“Setakat jam 2 petang semalam, mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari akan diteruskan menggunakan khidmat pasukan Anjing Pengesan dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor,” katanya.

MyMetro


2 comments: