Perempuan simpanan tauke dadah ditahan sembunyi dadah dalam coli

Ibu tunggal 23 tahun yang ditahan kerana disyaki memiliki pil kuda dibawa ke IPD Dungun untuk siasatan lanjut.

DUNGUN - Bukan sahaja disisihkan masyarakat kerana terlibat najis dadah, malah lebih malang lagi apabila terpaksa menjadi perempuan simpanan tauke dadah bagi membolehkan dia mendapatkan wang untuk meneruskan kehidupan.

Pengalaman hitam itu dikongsi janda muda tiga anak, Ina (bukan nama sebenar), 23, yang ditahan polis di rumahnya dekat Paka, pagi kelmarin, kerana disyaki memiliki dadah.

Ina berkata, bagi membesarkan tiga anak berusia antara 3 hingga 8 tahun, dia terpaksa bekerja sebagai pelayan kedai makan dengan pendapatan kira-kira RM30 sehari.

Katanya yang sudah dua kali gagal dalam rumah tangga, dengan pendapatan tidak seberapa itu, dia terpaksa membelanjakan sebahagiannya untuk keperluan anak-anak, manakala selebihnya disimpan untuk membeli bekalan dadah.

"Saya sedar ambil dadah salah di sisi undang-undang, namun mana-mana individu yang terjebak sama ada lelaki atau wanita, pasti sukar untuk meninggalkannya. Apatah lagi kami sering dihampiri pembekal.

"Saya sudah beberapa kali keluar masuk penjara, tapi keadaan tetap sama. Malah kadangkala bertambah buruk lagi apabila keluar penjara.

"Saya memang mahu keluar dari tempat ini agar tidak bertemu mereka lagi, tapi bagaimana nasib anak saya? Siapa nak menjaganya?” katanya.

Ina yang sudah beberapa kali menjalani rawatan di pusat pemulihan dan dipenjarakan kerana kesalahan dadah berkata, dia memang ada niat untuk meninggalkan amalan terkutuk itu, namun sebagai insan dangkal pengetahuan agama dan disisihkan keluarga, dia terpaksa melupakan hasrat murni itu kerana tiada sokongan.

Buat masa ini katanya, dia tidak mampu berbuat apa-apa lagi untuk keluar daripada lembah hina itu walaupun sedar dalam keadaannya kini, tiada lelaki ingin memperisterikannya dengan cara baik, sebaliknya menghampirinya hanya untuk melepaskan nafsu.

“Dalam keadaan begini, ramai mencemuh saya, bukannya benar-benar ikhlas untuk membantu. Memang sudah nasib saya begini, saya reda. Tapi sampai bila saya harus begini? Ia takkan berakhir sampai bila-bila.

"Jika ada lelaki yang ikhlas, saya sanggup berkongsi kasih dengan menjadi isteri kedua atau ketiga. Asalkan saya dapat keluar daripada jalan terkutuk ini,” katanya.

Ina ditahan kerana disyaki memiliki dadah jenis methampethamine dalam straw yang difahamkan disembunyikan dalam coli dipakainya dan kini disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketua Polis Daerah, Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengesahkan tangkapan tersebut.


Sinar Harian

No comments:

Post a Comment