Nelayan kena rasuk lari ke arah bukit terus ghaib


Sandakan: Seorang nelayan yang baru pulang daripada memukat udang di laut seperti dirasuk makhluk halus apabila tiba-tiba menjerit dan berlari ke arah sebuah bukit lalu terus ‘ghaib’ sehingga kini.

Dalam kejadian jam 1 tengah hari di Kampung Sim-Sim, di sini, Selasa lalu, lelaki berkenaan dikenali sebagai Siga Raba, 32, bersama lima lagi nelayan dalam perjalanan ke rumah rakan mereka untuk menikmati hidangan tengah hari sempena Aidiladha.

Namun, ketika dalam perjalanan merentasi hutan, mangsa dikatakan menjerit lalu berlari ke arah sebuah bukit di dalam hutan dan terus menghilangkan diri.

Rakan mangsa yang melihat kejadian itu cuba mengejar mangsa namun gagal.


Malah, kumpulan nelayan yang baru berlabuh selepas beberapa hari memukat udang di laut itu bingung memikirkan nasib rakan mereka yang tiba-tiba ghaib di dalam hutan.


Menurut rakan mangsa, Rahman Marula, 36, mereka dalam perjalanan ke rumah rakan sebelum Siga tiba-tiba berlari ke arah bukit dan terus ghaib.

“Sebaik melihat mangsa melarikan diri ke arah bukit, kami cuba mengejarnya tetapi gagal dan hilang tanpa dapat dikesan.

“Berikutan kejadian itu, saya bersama beberapa penduduk kampung melakukan gerakan mencari mangsa di situ namun tidak menemui petunjuk, menyebabkan kami membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Rahman berkata, semua mereka bekerja sebagai nelayan dan baru berlabuh selepas memunggah udang ke jeti.

“Ketika berada di laut, tiada petanda pelik ditunjukkan Siga. Malah, dia kelihatan seperti biasa sehingga tiba-tiba menghilangkan diri dengan berlari ke hutan,” katanya.

Sementara itu, Penyelia Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Sandakan Sapli Derun berkata, sebaik menerima laporan jam 10 pagi kelmarin, sepasukan anggota dikerah ke tempat kejadian untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.

“Sehingga hari ini, mangsa masih gagal ditemui. Tujuh anggota terbabit dalam operasi mengesan mangsa,” katanya.

MyMetro


No comments:

Post a Comment