Pengantin 'nikahkan' jurunikah

 Kerana terlalu gementar, Rahmat ‘nikahkan’ juru nikah ketika menjawab lafaz akad nikahnya.

KUANTAN - Mungkin kerana terlalu gementar ketika menjawab lafaz akad nikah, salah seorang pengantin lelaki tersasul ‘menikahkan’ kembali juru nikah hingga mencuit hati tetamu termasuk orang kenamaan yang hadir.

Namun selepas lima kali mencuba, seorang saudara baharu Orang Asli, Rahmat Awang, 27 dari Pekan selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, Rohani Samat, 21 dari Kampung Orang Asli Sungai Mas, Sungai Lembing dekat sini, kelmarin.

Rahmat dan isterinya antara lima pasangan pengantin Orang Asli yang diraikan dalam majlis pernikahan sempena perasmian Surau Al- Falah, Kampung Sungai Mas dekat sini anjuran Unit Dakwah, Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip).

Turut diraikan pasangan Nasrizan Ngah 20 dan pasangan, Kamariah Misi, 19, Ali Batas, 20 dan isteri, Hamidah Putih, 23, Najib Alip, 23 dan pasangannya Luma Putih, 27 serta seorang seorang duda bersama pasangannya.

Majlis akad nikah pasangan tersebut dijalankan Ketua Penolong Kadi Daerah Kuantan, Rosli Mamat dan Penolong Pendaftar Nikah Cerai dan Rujuk Mukim Ulu Kuantan, Mohd Jaya Rani disaksikan Timbalan Yang Dipetua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Norhayad Ahmad dan Adun Sungai Lembing, Datuk Md Sohaimi Mohamed Shah.

Rata-rata pengantin terpaksa menjawab lebih sekali kecuali Najib Alip yang lebih berkeyakinan dengan sekali lafaz.

Rahmat ketika ditemui berkata, dia amat gementar ketika itu memandangkan dikelilingi ramai tetamu termasuk orang kenamaan.

Menurutnya, pada mulanya dia yakin dapat menjawab dengan lancar memandangkan persediaan untuk upacara itu dilakukan sejak pagi.

“Tapi bila  berada di hadapan juru nikah, perasaan mula berkecamuk dan agak gementar namun atas bantuan juru nikah dan sokongan rakan, saya akhirnya berjaya menjawab biarpun terpaksa mengulanginya sebanyak lima kali, katanya yang memeluk Islam sejak 2012.

Dia yang bekerja sendiri tidak menyangka rancangannya untuk berkahwin dengan isterinya, Rohani Samat dari Kampung Sungai Mas secara kecil-kecilan bertukar menjadi majlis yang ‘luar biasa’ baginya.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipetua Muip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan berkata, majlis meraikan pengantin itu dirancang sebagai salah satu pengisian dalam majlis perasmian surau baharu kampung itu, kelmarin.

Menurutnya, usaha itu juga sebahagian daripada usaha dakwah dalam mendekatkan saudara baharu kepada Islam selain memberikan pendedahan mengenai keindahan Islam kepada  masyarakat Orang Asli yang bukan beragama Islam.

“Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar apabila kelima-lima pasangan ini selamat diijabkabulkan malah ramai dari kalangan penduduk yang bukan Islam turut hadir memeriahkan majlis,” katanya.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment