Kejam! ikan paus dipotong hidup-hidup

Badan ikan paus (kiri) yang dipotong dan ikan masih bernafas (kanan) ketika proses memotong.

SEBUAH video yang dimuatnaik ke laman YouTube dikecam majoriti pelayar dan aktivis haiwan liar kerana memotong badan ikan paus gergasi yang masih hidup.

Video mengerikan tersebut menunjukkan ikan paus gergasi jenis Whale Shark yang masih bernafas dipotong sedikit demi sedikit bermula dari bahagian ekor.

Menurut South China Morning Post, kejadian tersebut berlaku di Guandong, China.

Selama dua minit proses memotong tersebut berjalan, kedengaran orang ramai yang berada di sekitar ikan paus tersebut bersorak sambil segelintir dari mereka merakam menggunakan telefon bimbit.

Video tersebut yang dimuatnaik semalam kini sudah menarik perhatian lebih 60,000 pelayar, di mana lebih seratus pelayar memberikan tanda 'tidak menyukai' video berkenaan.

"Saya bukan aktivis, tapi mereka menjerit kegembiraan ketika ikan tersebut dipotong. Kenapa?" kata pelayar yang menggunakan nama samaran Wharg.

"Okey, potong dan makan. Tapi kenapa tidak dibunuh terlebih dahulu? Saya tak dapat dibayang penyeksaan yang dilaluinya!" kata Nira Katsumi.

Rakaman tersebut yang di China telah menyebabkan beberapa pelayar memberi komen tidak elok mengenai benua Asia.

"Perkara paling teruk adalah orang Asia tidak memikul tanggungjawab ke atas budaya mereka. Mereka menutup mata bila ikan paus dipotong atau anjing digoreng (sebagai makanan)," kata Anonymous.

Sementara itu, Pengarah Pemuliharaan Shark Trust, Ali Hood memberitahu, video tersebut sangat mengerikan.

"Melihat haiwan hebat dilayan tanpa ehsan menguatkan lagi Shark Trust untuk memperhebatkan kempen kesedaran tentang haiwan-haiwan tersebut," katanya Ali dipetik Dailymail.

Menurut beliau, bangkai seekor Whale Shark mampu mencecah USD30,000 (RM118,290) dimana dagingnya dijadikan makanan dan siripnya dijual kepada restoran.

"Whale Shark mendapat permintaan tinggi kerana sirip, daging dan minyak hatinya.

"Walaupun Whale Shark tersenarai dalam lindungan Konvensyen Spesis Migrasi, undang-undang selalu gagal mengesan aktiviti-aktiviti seperti tangkapan haram," jelasnya lagi.

Selain dijadikan makanan, bahagian-bahagian tertentu Whale Shark seperti kulit boleh diproses menjadi beg dan minyak hatinya dijadikan sebagai produk kesihatan.



Sumber: Sinar Harian

(Video) 2 Wanita Bergaduh Tarik Baju Berebut Kerusi Dalam Keretapi


Beijing, China - Satu pergaduhan tercetus antara dua wanita yang berebut satu tempat duduk di dalam sebuah keretapi di Beijing Subway Line 4.

Video yang merakam kejadian pergaduhan tarik menarik baju itu dimuat naik online tetapi butiran lanjut mengenai kejadian tidak dinyatakan.

Video tersebut mula dirakam apabila pergaduhan sudah tercetus. Orang ramai di dalam keretapi terbabit mula mengerumi kedua-dua wanita terbabit dan menonton serta merakam aksi terbabit. Namun kehadiran orang ramai tidak diendahkan oleh wanita-wanita itu.

Walaupun baju kedua-duanya sudah koyak rabak, mereka tetap meneruskan pergaduhan itu biarpun dikelilingi orang ramai. - Siakapkeli.my


Gambar rakun menunggang buaya jadi sensasi di internet


SEJAK kebelakangan ini banyak gambar haiwan yang ‘menunggang’ haiwan lain telah menjadi sensasi internet dan mendapat perhatian netizen.

Kini yang terbaru, gambar seekor rakun yang dirakam sedang menunggang seekor buaya di sebuah tasik telah menjadi viral.


Menurut media tempatan, seorang lelaki dari Florida sedang menerokai Ocala National Forest bersama keluarganya untuk melihat buaya di sungai Oaklawaha apabila sesuatu yang tidak disangkakan telah berlaku.

Richard Jones sempat menangkap gambar seekor rakun yang berdiri di atas buaya di dalam sungai itu sebelum kedua-duanya melarikan diri ke tempat asal.

Richard memberitahu sumber dia kongsikan gambar tersebut kerana berasakan orang lain akan kagum dengan kejadian seperti itu.

Jika diimbas kembali pada awal Mac lalu gambar seekor cerpelai ‘menunggang’ belatuk telah menjadi sensasi internet diikuti gambar gagak ‘menumpang’ burung helang pada awal Julai lalu. – Agensi/MYNEWSHUB.CC

Wanita telan sedozen paku

Imbasan xray menunjukkan paku dalam perut wanita berkenaan.

CHANGCHUN - CHINA. Hampir dua tahun lalu, seorang wanita yang mempunyai masalah mental mengamalkan diet yang bahaya dengan memakan paku dan kepingan kaca.

Memetik NetEase News, keluarganya berkata, wanita itu mampu menelan sedozen paku dengan hanya sekali telan.

Wanita tersebut kini telah menjalani tiga pembedahan berasingan dan menurut doktor, hampir 2 paun paku berjaya dikeluarkan dari perut wanita itu.

"Jika sebatang paku mempunyai berat 1 gram, ini bermakna wanita itu menelan 900 paku dan makan lebih dari sebatang paku sehari," katanya.

Tabiat pemakanan ini bagaimanapun tidak menjejaskan kesihatan dan organ wanita itu setakat ini.

Imbasan xray menunjukkan paku dalam perut wanita berkenaan.


Sumber: Sinar Harian

Charlie Hebdo hina penemuan serpihan MH370


Muka depan tabloid humor kontroversi Perancis, Charlie Hebdo, mempersendakan penemuan serpihan pesawat MH370 dengan memaparkan kartun potongan tangan pilot memegang payudara wanita tanpa badan terdampar di tepi pantai. Di atas kartun tersebut tertera tulisan 'Kami telah menemui potongan tangan pilot dan pramugarinya. "


Edisi terbaru tabloid tersebut dengan tajuk 'Malaysian Airlines: Hope' mendapat kecaman pengguna Twitter.

Azrul Naime Tweeted: "Very poor taste #charliehebdo shame on you."

Regis Gay said: "#charliehebdo this week is atrocious."

While Gervais Claude described the magazine as "corrosive as usual".


MH370 hilang selama 515 hari tanpa jejak. Minggu lalu, serpihan flaperon dijumpai penduduk  di perairan Pulau La Reunion, wilayah naungan Perancis di Lautan Hindi.

Pada 6 Ogos 2015 Kerajaan Malaysia mengesahkan serpihan sayap itu berasal dari pesawat jenis Boeing 777 yang digunakan Malaysia Airlines.


Sekadar mengingatkan, pejabat redaksi Charlie Hebdo di Paris awal tahun ini diserang militan kerana memuatkan kartun menghina Nabi Muhammad.

Tabloid ini mempunyai tradisi menghina semua ajaran agama.

Majalah Ujang, Apo? berakhir


KUALA LUMPUR, 6 Ogos: MOY Publication Sdn Bhd memaklumkan bahawa, syarikat itu kini mengambil keputusan untuk menutup operasi dua produk utamanya iaitu majalah Ujang dan Apo? bermula semalam.

Penutupan operasi itu turut dikongsi oleh kartunisnya menerusi laman sosial.

Kartunis Ubi atau nama sebenarnya Raja Ahmad Kamil Raja Mokhtar berkata, penutupan kedua-dua produk MOY Production itu bukan lagi khabar angin kerana penerbit majalah Ujang dan Apo? telah mengesahkan menutup operasi mereka.


 “Akan tiada lagi majalah terbitan mereka di pasaran. Malang buat generasi akan datang kerana tak berpeluang lagi menatap dan mengenal majalah kartun legenda yang pernah menggegarkan dunia penerbitan suatu ketika dahulu.

“Paling sedih dan kasihan dengan pengkarya serta kartunis yang selama ini mencari rezeki di sana. Semoga keadaan bakal bertambah baik dan semoga nasib mereka akan terus dibela,” katanya seperti yang dipetik dari laman Facebook miliknya.

Selain itu, editor majalah Apo?, kartunis Pandan atau nama sebenarnya Ahmad Rashdan Rahmad berkata, MOY berkubur, Ujang dan Apo? akan kekal dalam ingatan.

“Apo Troopers..sila letak pen, pensil dan wacom di atas meja.

“Terima kasih dari pihak Apo Troopers kepada pembaca yang selama ini menyokong perjuangan kami. Kita akan bertemu lagi di muka surat yang lain pula, Insya-Allah,” katanya seperti yang dipetik dari laman Facebook miliknya.


The Rakyat Post juga cuba menghubungi Ujang atau nama sebenarnya, Ibrahim Anon.

Bagaimanapun, kami gagal menghubungi pengasas kepada majalah itu namun, beliau hanya membalas mesej di laman Facebook dan berkata, “saya tutup telefon hari ini kerana banyak sangat mesej dan panggilan masuk mengenai isu ini.”

Sementara itu, Pengurus Besar MOY Publication Sdn. Bhd., Yusuf Huzairy Othman ketika dihubungi mengesahkan bahawa syarikat tersebut kini mengambil keputusan untuk menutup operasi majalah Ujang dan Apo? bermula semalam selepas mengambil kira keadaan ekonomi semasa, kadar caj cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan pasaran majalah yang tidak menentu.

Jelasnya, kakitangan kedua-dua majalah itu bakal dibayar pampasan sebanyak tiga bulan gaji.

“Setiap yang bermula pastinya akan berakhir dan inilah pengakhiran hayat untuk kedua-dua majalah ini.

“MOY Publication telah mulakan kerjasama dengan sebuah syarikat Apt Inventions Sdn. Bhd. untuk memuat turun semua karya kartunis Ujang dan Apo? ke dalam bentuk digital dan pembaca boleh membacanya menerusi laman web http://bekazon.com/,” katanya sambil mengucapkan ribuan terima kasih kepada pembaca setia Ujang dan Apo? kerana menyokong mereka selama 21 tahun.

Isu pertama majalah Ujang diterbitkan pada tahun 1994 dan empat tahun kemudiannya, disusuli dengan penerbitan majalah Apo? pada tahun 1998.

Majalah Ujang pernah mencatatkan jualan tertinggi sebanyak 250,000 salinan untuk satu isu dan antara kartunisnya yang berkhidmat hingga ke akhir penerbitannya adalah Lengkuas, Bawang, Petai, Manggis, Lepat, Sukun, Bijan dan Lambok.


Sumber: The Rakyat Post

Serpihan Sah Milik MH370

Serpihan yang ditemui menyerupai komponen sayap pesawat.

PETALING JAYA: Misteri kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sejak 8 Mac lalu akhir terjawab apabila serpihan bangkai pesawat yang ditemui di Pulau La Reunion, Lautan Hindi pada 29 Julai lalu disahkan milik pesawat berkenaan.

Keputusan hasil siasatan mengenai serpihan itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pukul 2 pagi, Khamis.

"Sejak kehilangan selama 515 hari lalu, saya dengan berat hati mengesahkan hasil siasatan pasukan pakar antarabangsa bahawa serpihan yang ditemui itu milik MH370. Kini kita ada bukti kukuh ia berakhir di Lautan Hindi.

"Bagi pihak Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dalam proses siasatan dan membantu dalam operasi mencari selama ini dan kepada keluarga serta waris penumpang pesawat, pengesahan ini walaupun ia sesuatu yang menyedihkan tetapi akhirnya ia dapat merungkai nasib 239 penumpang dalam pesawat itu," katanya pada sidang media khas yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), sebentar tadi.

Najib berkata, kerajaan Malaysia bertekad untuk memastikan apakah punca sebenar kehilangan pesawat MH370.

"Dengan semangat satu bangsa, Malaysia pastinya akan mengingati insiden MH370," katanya.

Turut hadir, Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Pada 29 Julai lalu, bahagian dari sayap pesawat dikenali sebagai flaperon dijumpai seorang pekerja pembersih pantai di Pulau La Reunion.

Individu berkenaan menghantar beberapa gambar yang menunjukkan serpihan pesawat itu kepada pihak berkuasa Perancis untuk memulakan siasatan.

Pakar penerbangan Perancis, Xavier Tytleman tidak menolak serpihan itu mungkin milik pesawat MH370 yang hilang sejak 8 Mac lalu.

"Saya sudah mengkaji beratus gambar dan bercakap dengan rakan-rakan. Kami semua fikir ia mungkin sayap pesawat Boeing 777 - pesawat yang sama seperti MH370," katanya.

Serpihan tersebut dipenuhi cangkerang dan berkarat.

Berdasarkan gambar yang dimuat naik dalam Twitter Fox News, keadaan serpihan itu menunjukkan ia mungkin berada terlalu lama di dalam air laut.

Penerbangan MH370 hilang dari imbasan radar ketika dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan membawa 239 orang penumpang dan anak kapal pada 8 Mac tahun lalu.

Operasi pencarian yang diketuai Australia diteruskan di selatan Lautan Hindi sehingga hari ini tetapi tiada bukti ditemui sebelum penemuan terbaharu di Pulau La Reunion ini.


Sumber: mstar.com.my