Penjual harumanis untung ribuan ringgit sehari

Azlan memilih harumanis yang mahu dibeli.
PAUH - Musim harumanis bukan sahaja memberi pendapatan lumayan kepada pengusaha ladang mempelam itu, malah penjual harumanis di bahu jalan sekitar negeri ini juga turut memperoleh keuntungan mencecah ribuan ringgit sehari.

Penjual di bahu jalan Lebuhraya Kuala Perlis-Changloon di Pauh, Mohd Faizal Hafiz Zainol, 33, berkata, dia memperoleh jualan kira-kira RM3,000 sehari apabila kira-kira 100 kilogram (kg) harumanis terjual dalam masa sehari.

Katanya, setiap kg harumanis dijual mengikut gred iaitu RM35 bagi gred A manakala RM30 bagi gred B.

“Tapi jika pelanggan minta kurang saya akan kurangkan sehingga RM5 bagi setiap kilogram bergantung jumlah yang mereka beli.

“Setiap kilogram kami akan dapat untung kira-kira RM10. Dalam sehari kami boleh untung antara  RM1,000 atau RM1,500,” katanya selepas menerima kunjungan Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man ke gerainya di Pauh, semalam.

Menurutnya,  jualan itu boleh meningkat sehingga RM4,000 terutama pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.

Penjual yang hanya mahu dikenali sebagai Shila, 28, pula berkata, dia memperoleh jualan kira-kira RM2,000 setiap hari dengan keuntungan antara RM600 sehingga RM700 sehari.

Katanya, setiap kg harumanis dijual antara RM25 sehingga RM28 juga mengikut gred A dan B selepas mendapat harga dari peladang antara RM17 dan RM20 bagi setiap kg harumanis.

“Sekiranya buah itu sudah masak, peladang akan menjual dengan kami RM20 dan jika buah itu sudah tua, peladang akan tolak dengan harga RM17,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pertanian Negeri Perlis Zulkepli Amin Jusoh berkata, pihaknya menasihatkan supaya pembeli harumanis memilih buah yang berkualiti.

“Kepada penjual pula pihak kami nasihatkan supaya jual buah yang berkualiti sahaja,” katanya kepada Sinar Harian.

Zulkepli berkata, pihaknya bersama Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri serta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) serta polis akan bekerjasama membuat pemeriksaan di gerai-gerai jualan harumanis bagi memeriksa buah tersebut.

Katanya, ia berikutan terdapat aduan daripada pengguna apabila harumanis yang dibeli kurang elok serta masam pada tahun lalu.


Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment