Krew Discovery Channel hampir jadi makanan jerung

Krew rancangan dokumentari ‘Discovery Channel’ hampir menjadi ‘makanan’ seekor jerung apabila diserang sewaktu menjalani rakaman bagi rancangan tersebut.
 
OCEANIA - NEW ZEALAND. Dua orang krew rancangan dokumentari, Discovery Channel hampir menjadi ‘makanan’ seekor jerung apabila diserang sewaktu menjalani rakaman bagi rancangan tersebut.

Memetik laporan portal Metro.co.uk, kedua-duanya berada dalam sebuah bot kecil ketika diserang oleh jerung yang dikatakan bersaiz lebih besar daripada bot tersebut.

Insiden berkenaan dirakam oleh ahli pasukan yang lain dan disiar menerusi paparan video di YouTube.

Rakaman berdurasi hampir tiga minit itu menunjukkan dua krew tersebut hampir jatuh ke dalam laut selepas di serang oleh jerung itu.

Difahamkan, krew rancangan itu cuba melekatkan kamera digital ke sirip haiwan pemangsa itu.

Sebelum itu, mereka memasang umpan berdekatan bot sebelum menunggu seekor pemangsa menghampiri bot mereka.

Sebaik menyedari kehadiran jerung di sisi bot, mereka mula merapatkan diri ke arah haiwan berkenaan.

Nasib malang hampir menimpa salah seorang daripada krew terbabit sebaik sahaja jerung tersebut menyerang bot dan tali yang menghubungkan bot tersebut dengan bot utama.

Serangan jerung itu hampir menumbangkan bot mereka.

Belum pun debaran berakhir, salah seorang daripada krew yang berada di bot utama menunjuk ke arah gerakan jerung di bawah permukaan laut.

Jerung tersebut dikatakan berenang mengelilingi bot kecil itu sebelum melancar serangan kedua.

“Sangat mencemaskan bila berada dalam bot yang saiznya lebih kecil daripada jerung itu. Jerung yang menyerang kami lebih besar dari saiz bot kami,” kata salah seorang krew yang berada di dalam bot tersebut.


 
Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment