Benarkah minuman berkultur penyebab kanser?

Mesej yang tersebar di Facebook

Minuman berkultur bukan penyebab kanser

AUTA

Satu mesej tersebar di media sosial mengenai seorang ibu yang kematian anak akibat kanser, dikatakan berpunca daripada minuman berkultur.

Menurut mesej itu, doktor pakar yang merawat kanak-kanak tersebut memaklumkan bakteria hidup yang berada di dalam minuman berkultur itu mengaktifkan sel kanser.

Doktor pakar tersebut juga dikatakan memberitahu sampel air sum-sum dari tulang belakang kanak-kanak itu mempunyai banyak bakteria daripada minuman yogurt tersebut.

"Doktor yang beritahu (perkara itu) siap merayu supaya kami jangan bagi anak-anak minum (minuman berkultur)," menurut mesej itu.


FAKTA

Dakwaan minuman berkultur boleh menyebabkan sel kanser menjadi aktif yang viral di laman sosial kini tidak disertakan dengan bukti dan mempunyai beberapa kemusykilan kerana kuman probiotik digunakan dalam minuman tersebut disahkan selamat bagi individu sihat, termasuk wanita yang hamil dan menyusukan anak.

Pakar perubatan, Dr Zubaidi Ahmad berkata, minuman itu selamat dan dikatakan dapat merawat beberapa penyakit secara semula jadi dan tanpa ubat jika diambil oleh individu sihat.

"Namun minuman seperti ini tidak sesuai bagi individu yang mempunyai sistem daya tahan yang lemah kerana kuman probiotik adalah kuman bakteria yang hidup, dikhuatiri akan berkembang dengan cepat pada individu yang mempunyai sistem daya tahan yang lemah.

"Ini termasuk pesakit HIV/Aids, orang yang baru menerima derma organ dan mengambil ubat-ubatan untuk mencegah penolakan organ yang dipindahkan, pesakit diabetes, kanser dan yang sedang menerima rawatan untuk kanser, pesakit ginjal dan menjalani rawatan dialisis, pesakit autoimun seperti SLE, pesakit yang mendapat rawatan steroid dan pesakit yang telah menjalani pembedahan usus," katanya yang dipetik menerusi blognya drzubaidi.com.

Katanya, pemilihan kuman probiotik mestilah memenuhi syarat termasuk terbukti selamat untuk kegunaan manusia, dapat hidup dan membiak dalam usus dan mampu hidup walaupun terdapat asid perut dan hempedu.

"(Selain itu, kuman probiotik) perlu terbukti secara saintifik mempunyai kesan baik, boleh didapati dalam jumlah yang mencukupi untuk memberi kesan pada kesihatan tubuh dan bakteria probiotik tidak tinggal dalam usus dan akan dikeluarkan ketika buang air besar," katanya



Sumber: Sinar Harian

1 comment: