Rentung bersama durian

Keadaan tangan Kamal yang sudah terkeluar dari tingkap dan badan bersandar pada pintu dipercayai cuba berusaha keluar daripada van berkenaan sebelum ia terbakar.

 JASIN - Seorang peniaga buah-buahan terpaksa menanggung kesakitan akibat tersepit hampir 30 minit sebelum akhirnya rentung apabila van yang dipandunya terbakar selepas terbabas di Kilometer 32, Jalan Ghaffar, Sungai Rambai, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.45 pagi semalam, mangsa, Kamal Abd Kadir, 43, dikatakan rentung bersama barangan niaganya berupa payung, generator dan buah-buahan termasuk durian di dalam van jenis Nissan Vanette tersebut.

Sinar Harian difahamkan, Kamal yang juga bapa kepada empat anak dan tinggal di Taman Muhibah, Muar, Johor baru balik daripada berniaga di Klebang, Melaka Tengah seperti kebiasaannya.

Menurut sumber pula, mangsa yang memandu sendirian dari arah Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) menghala Sungai Mati, Muar, Johor dipercayai terbabas di selekoh lalu masuk ke dalam parit.

“Akibatnya, mangsa yang tidak sempat mengawal kenderaan terbabas ke dalam parit menyebabkan kakinya tersepit di bawah stereng.

“Sebelum van berkenaan terbakar, mangsa dikatakan menjerit meminta tolong dan ia dapat didengari penduduk yang menetap di kawasan berkenaan,” katanya.

Seorang pemandu kenderaan lain yang menyedari kemalangan itu berlaku ketika melalui kawasan tersebut kemudian berhenti lalu menghubungi talian kecemasan sebelum sepasukan bomba dari Merlimau tiba dan memadamkan api yang marak.

Adik mangsa, Kasturi, 35, berkata, dia hanya mengetahui mengenai kejadian selepas seorang rakan memaklumkan van kepunyaan abangnya terbakar akibat kemalangan.

“Sebelum itu saya dah rasa pelik kerana sewaktu datang ke rumah abang untuk ambil kuih, kakak ipar, Norlida Husin, 41, memberitahu arwah belum lagi balik sejak malam tadi.

“Sedangkan katanya, abang saya ada menelefonnya kira-kira jam 12 tengah malam memberitahu sedang berkemas pulang,” katanya.

Kasturi berkata, sejurus dimaklumkan rakan, dia terus membuat pengecaman van di Balai Polis Merlimau sebelum melihat mayat abangnya di bilik mayat, Hospital Jasin.

“Hanya selepas melihat mayatnya baru saya menghubungi ahli keluarga termasuk kakak ipar,” katanya .

Menurutnya, arwah yang ditemui kali terakhir dua minggu lalu meninggalkan empat anak dan jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 5, Kampung Rawang, Muar.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata mayat mangsa dihantar ke Hospital Jasin untuk dibedah siasat.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan tiada unsur jenayah,” katanya ketika dihubungi.


[sinar harian]


2 comments: