Ayam berkaki empat ditemui di pasar raya

Khalil (dua, kanan) dan Adnan (kanan) menunjukkan ayam berkaki empat siap diproses dan dicuci di sebuah pasar raya di Bandar Tun Razak, semalam

JENGKA - Pelanggan sebuah pasar raya di Bandar Tun Razak, di sini, gempar dengan penemuan ayam berkaki empat yang sudah siap diproses, semalam.

Ayam berkaki empat itu ditemui seorang pelanggan ketika sedang memilih ayam hendak dibelinya.

Pengurus bahagian barangan mentah, Khalil Razak berkata, pelanggan terbabit terkejut dengan penemuan itu lalu memaklumkan perkara tersebut kepadanya.

“Kita sudah biasa melihat ayam berkaki empat, namun kebanyakan ayam itu masih hidup dan tidak disembelih.

“Kali ini agak berbeza kerana berpeluang melihat sendiri ayam berkaki empat sudah siap diproses dan dicuci,” katanya.

Beliau berkata, penemuan itu menarik perhatian pengunjung pasar raya berkenaan, malah ada yang menawarkan sehingga RM50 untuk membeli ayam tersebut.

Seorang pengunjung, Hatta Kamaruzzaman, 62, berkata, pertama kali dia melihat ayam berkaki empat dalam keadaan sedemikian.

“Biasanya tengok yang masih hidup, tetapi kali ini kita berpeluang melihat keadaan ayam tersebut apabila dibuang bulu dan dicuci. Pada saya, ia memang sesuatu yang unik,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Adnan Osman, 46, berkata, dia bertuah kerana berpeluang melihat sendiri ayam berkaki empat itu.

“Selama ini hanya tonton di televisyen atau akhbar, namun kali ini saya melihatnya di depan mata,” katanya.


sumber: sinar harian

4 comments: