Lelaki kelar leher sendiri lepas masuk balai polis

Cermin tingkap IPD Kampar yang dipercayai dipecahkan mangsa sebelum dia bertindak mengelar lehernya sendiri

IPOH - Selepas datang mengejut ke sebuah balai dan meminta anggota polis memberkasnya, seorang lelaki mengelar diri sendiri hingga maut dengan serpihan kaca.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.40 malam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar itu, lelaki berusia lingkungan 30-an tersebut mati akibat cedera parah.

Menurut sumber, ketika berada di balai berkenaan, lelaki tersebut tiba-tiba hilang pertimbangan lalu memecahkan cermin tingkap balai sebelum mengelar lehernya menggunakan serpihan kaca.

Sementara itu,  adik perempuan mangsa yang dikenali sebagai Rani, 26, mendakwa, abangnya itu keluar dari rumah mereka di Sungai Buloh pada Isnin lalu dengan mengatakan hendak menyelesaikan kerja termasuk ke rumah ibu saudara mereka di Serdang, Selangor.

“Abang keluar dari rumah kira-kira jam 2 petang Isnin lalu dan beberapa jam kemudian ibu saya menelefonnya kerana bimbang abang tidak pulang ke rumah.

“Sebelum ini abang beritahu dia ke Serdang untuk bertemu ibu saudara, tetapi ibu saudara sudah ke Nilai, Negeri Sembilan,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini semalam.

Katanya, selepas hampir tiga hari abangnya tidak pulang ke rumah, mereka sekeluarga dikejutkan dengan panggilan telefon daripada pihak polis pada jam 1 pagi semalam yang memaklumkan abangnya itu sudah meninggal dunia dalam balai polis.

Mangsa yang masih bujang difahamkan pernah melakukan perkara hampir sama di sebuah balai polis di Sungai Buloh pada April lalu.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon memaklumkan, ketika kejadian, terdapat empat anggota berada dalam balai tersebut, sementara yang lain sedang berbuka puasa.

“Kejadian secara mengejut. Semua anggota di balai tidak sempat berbuat apa-apa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sumber: Sinar Harian

Parti basah kena serbu

 
Melaka: Sekumpulan individu dikesan menganjurkan ‘parti basah’ di kolam renang milik persendirian di sebuah kawasan resort di Jasin, di sini, kelmarin.

Difahamkan, parti berkenaan dianjurkan oleh sebuah syarikat pengurusan acara dengan mengenakan tiket bernilai RM35 setiap seorang bagi menyertai aktiviti yang turut menyediakan pelbagai minuman keras.


Parti bermula jam 5 petang hingga 1 pagi itu dikatakan turut dihadiri pengunjung beragama Islam, namun serbuan dilakukan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) dan Jabatan Agama Islam Melaka pada lewat malam tidak menemui peserta beragama Islam berpesta di parti berkenaan.

Ketika serbuan dilakukan kira-kira jam 10 malam, kebanyakan pengunjung berada di dalam kolam dan sebahagian mereka dipercayai sudah mabuk akibat pengambilan arak yang disediakan penganjur.


Setiausaha MPHTJ Shahdan Othman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi berkenaan untuk membuat pemeriksaan selepas menerima aduan awam mengenai parti liar itu.


Katanya, sejurus tiba, pihaknya mendapati parti itu masih berlangsung dengan pengunjung berada di kawasan kolam.

“Pemeriksaan lanjut mendapati penganjur tidak mempunyai permit untuk menganjurkan parti itu. Kita turut merampas dan menyita pengadun bunyi yang digunakan penganjur untuk memainkan muzik di kawasan kolam,” katanya ketika dihubungi, semalam.


Shahdan berkata, pihaknya kesal dengan tindakan penganjur melakukan aktiviti berkenaan yang dikhuatiri turut membabitkan kegiatan tidak bermoral.

Katanya, walaupun penganjur menganjurkan parti itu di tempat persendirian, mereka perlu memohon permit terlebih dulu bagi membolehkan MPHTJ menyemak aktiviti sebenar yang dijalankan.


“Kita amat komited dalam mencegah sebarang bentuk aktiviti liar dan negatif yang dijalankan di kawasan pentadbiran MPHTJ. Sekiranya ia dilakukan, kita akan menghalangnya.


“MPHTJ tidak mahu sebarang masalah timbul sekiranya perkara tidak diingini berlaku terutama ketika umat Islam menjalankan ibadat di bulan Ramadan,” katanya.

Sumber: myMetro

Perompak menangis rancangan jahat gagal

GAMBAR menunjukkan perompak terbabit menangis selepas gagal merompak.

Georgia (Amerika Syarikat): Seorang perompak menangis apabila rancangannya merompak sebuah hotel di sini tidak berjaya.

Rakaman video menunjukkan perompak itu, selepas mencuri sejumlah kecil wang, meninggalkan hotel Days Inn di sini dengan menutup mukanya.

Kerani hotel itu membenarkan dia mengambil wang di kaunter.

Kerani itu berkata, perompak terbabit kecewa lalu menangis selepas diberitahu dia memberitahunya dia tidak mempunyai akses kepada peti simpanan dan kamera keselamatan.


“Suspek yang bersenjatakan pistol meninggalkan hotel itu dengan menangis sambil menutup mukanya,” kata polis.


Ini bukan kejadian pertama yang mengecewakan perompak.

Januari lalu, seorang lelaki yang cuba merompak sebuah bank, berusaha sedaya-upaya menarik pintu tertera perkataan ‘tolak.’ - Agensi

Sumber: myMetro

Sebuah kota kecil di AS dijual dengan harga $399,000


Sebuah bandar di wilayah barat daya negara Dakota Selatan, Amerika Syarikat ingin dijual dengan harga 399,000 dolar AS oleh pemiliknya.

Bandar Swett seluas 2.5 hektar itu hendak dijual dengan seluruh isi bandarnya  termasuk sebuah bar, sebuah rumah berkamar tiga, tiga rumah kereta dan sebuah bekas kedai tayar. Bandar ini terletak kira-kira 100 kilometer sebelah tenggara Rapid City, South Dakota.

Penduduk bandar Swett paling tinggi tercatat 40 orang pada 1940-an ketika kota itu mempunyai sebuah pejabat pos dan kedai runcit. Kini penduduk bandar itu hanya dua orang iaitu pemiliknya Lance Benson dan isteri. Penduduk bandar ini menjadi tiga, jika anjing milik Lance masuk hitungan.

Lance Benson membeli Swett pada 1998. Dia kemudian menggunakan bandar itu sebagai pampasan perceraian sebelum membelinya kembali pada 2012.

Kepada harian The Rapid City Journal minggu lalu, Lance mengatakan dia ingin menjual bandar itu dan fokus kepada perniagaannya. Namun, jika dalam setahun bandar itu tak dapat dijual  maka dia tetap akan memilikinya.

Seorang agen hartanah, Stacie Montgomery mengatakan dia sudah mendapat banyak pembeli berpotensi dari California, Texas, New York dan New Jersey sejak iklan jualan bandar itu dimuatkan di sebuah harian tempatan.

"Saya bahkan mendapatkan telefon dari sebuah syarikat produksi di Rusia. Mereka ingin membuat filem. Setakat ini saya belum tahu kesungguhan semua telefon ini," kata Stacie.

Kampung Boy jadi bahan mengajar Universiti Jepun

TOKYO- JEPUN. Novel grafik 'Kampung Boy' karya Datuk Mohd Nor Khalid atau Lat, dalam edisi bahasa Jepun akan dijadikan bahan membantu mengajar pelajar pengajian Asia Tenggara di Tokyo University of Foreign Studies (TUFS), institusi pengajian tinggi tertua di matahari terbit ini.

Kampung Boy diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dengan kerjasama TUFS Press, Tokyo iaitu syarikat yang turut bertanggungjawab terhadap pemasarannya di Jepun.

"Ia akan menjadi bahan bantu mengajar yang sangat menarik kerana masyarakat dunia 50 tahun yang lepas, pernah melalui kehidupan yang serupa seperti yang ditonjolkan dalam Kampung Boy.

"Budaya yang dipaparkan dalam Kampung Boy merupakan kehidupan yang sangat dekat dengan alam semula jadi yang serupa seperti kebanyakan masyarakat di dunia," kata Lat kepada pemberita di sini hari ini.

Edisi itu dilancarkan serentak dengan perasmian Pavilion Malaysia pada Pesta Buku Antarabangsa Tokyo Ke-21 (PBAT21) di Tokyo Big Sight yang pamerannya berlangsung selama empat hari sehingga 5 Julai ini.

Lat berkata terbitan Kampung Boy adalah hasil terjemahan semula pensyarah bahasa Jepun di Universiti Kebangsaan Malaysia, Hieda Natsue dan kemudian disunting pensyarah TUFS, Prof Madya Soda Naoki.

Edisi pertama diterbitkan syarikat Shonbunsha Ltd pada tahun 1984 yang mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat Jepun.

Sebagai Negara Tema yang kesembilan pada PBAT21, Pavilion Malaysia turut menerima kunjungan anggota kerabat diraja Jepun Puteri Mako yang mewakili bapa beliau Putera Akishino yang juga merupakan Presiden Pesta Buku Antarabangsa Tokyo (PBAT).

Terdahulu baginda merasmikan PBAT21 dengan kesemua 25 ketua delegasi turut memotong riben.

Malaysia diwakili Ketua Pegawai Eksekutif yang juga Pengarah Urusan ITBM, Mohd Khair Ngadiron dan Timbalan Ketua Perwakilan di Kedutaan Malaysia di Jepun, Hendy Assan.

Turut hadir pada majlis perasmian ialah Pengarah Lembaga Promosi Pelancongan Malaysia, Noor Azlan Abu Bakar.

Penyertaan Malaysia buat kali keempat di PBAT adalah hasil kerjasama Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan dengan membawa 1,500 judul buku menerusi 20 penerbit.

Turut ditonjolkan persembahan mak yong dan wayang kulit.  

Mohd Khair selaku ketua delegasi berkata kerjasama dalam penerbitan Kampung Boy merupakan antara hasil strategik penyertaan Malaysia di PBAT selama tiga tahun sebelum ini.

"Ini merupakan perkongsian intelektual dua negara yang bakal menguntungkan kedua-dua pihak khususnya dalam menyokong perkembangan bahasa Jepun dan tamadun Asia Tenggara," katanya.

Ketua Editor TUFS Press, Prof Iwasaki Minuro pula berkata pemilihan Kampung Boy dalam kerjasama itu adalah disebabkan idea serta jalan ceritanya yang diterjemah dan diterbit dalam 12 bahasa dunia.  

Beliau berkata ia bukan sahaja sesuai untuk tujuan pembelajaran tetapi juga sebagai dokumen sosial masyarakat yang sekali gus menjelaskan bagaimana ia mampu membina pasaran di pelbagai negara antaranya Perancis, Belanda, Jerman, Korea dan Amerika.

"Menerusi Kampung Boy, kita dapat mengimbas kembali kenangan di masa lampau. Saya percaya masyarakat Jepun dapat memahami cerita yang disampaikan menerusi Kampung Boy,"  katanya. - Bernama

Dracula, Pembantai Umat Islam Dalam Perang Salib

Kisah hidup Dracula merupakan salah satu contoh sejarah yang begitu nyata dimanipulasikan oleh Barat. Kalau filem Rambo merupakan satu fantasi yang kemudian dianggap seolah-olah wujud oleh Barat, tetapi Dracula sebaliknya, iaitu watak atau fakta yang dijadikan fantasi.

Diadaptasi daripada novel karya Bram Stoker yang berjudul Dracula, kemudian entiti Dracula ini mulai difilemkan, bertajuk Dracula’s Daughter (1936), Son of Dracula (1943), Hoorof of Dracula (1958), Nosferatu (1922) yang dibikin semula pada tahun 1979 dan filem-filem Dracula yang lain yang dihasilkan dalam bentuk yang lebih moden seperti Twilight.

Dalam buku berjudul “Dracula, Pembantai Umat Islam Dalam Perang Salib” karya Hyphatia Cneajna, watak Dracula sebenarnya merupakan pembesar Wallachia , berketurunan Vlad Dracul.

Dalam karya Hyphatia tersebut, kisah Dracula tidak boleh diceritakan selepas tamatnya Perang Salib. Dracula dilahirkan ketika peperangan antara Kerajaan Turki Uthmaniyah sebagai wakil Islam, dan Kerajaan Hungary sebagai wakil Kristian.


Kedua-dua empayar tersebut berusaha menguasai dan berebut wilayah-wilayah baik di Eropah mahupun di Asia. Puncak peperangan ini adalah kejatuhan Konstantinopel, iaitu ketika kubu Kristian ada di tangan pemerintahan kerajaan Uthmaniyah.


Dalam peristiwa Perang Salib, Dracula merupakan salah seorang panglima tentera Salib. Dalam perang inilah Dracula banyak melakukan pembunuhan terhadap umat Islam. Hyphatia memaparkan jumlah korban kekejaman Dracula mencapai 300.000 orang umat Islam. Mangsa-mangsa dibunuh dengan berbagai cara yang sangat teruk dan kejam, iaitu dibakar hidup-hidup, dipaku di kepala, dan yang paling kejam adalah disula.

Penyulaan merupakan cara penyiksaan yang amat kejam, iaitu seseorang itu ditusuk di lubang dubur dengan kayu sebesar lengan tangan orang dewasa di mana hujungnya ditajamkan. Mangsa yang telah disula kemudian ditekan sehingga kayu sula tersebut menembusi perut, kerongkong dan kepala melalui mulut.

Hyphatia menyatakan di dalam bukunya :

        “Ketika matahari mulai meninggi Dracula mengarahkan hukuman sula segera dimulakan. Para perajurit melakukan arahan tersebut seolah seperti mekanisme yang telah diprogram. Penyulaan disulami dengan tangisan kesakitan dan jeritan penderitaan yang segera memenuhi segenap penjuru tempat itu. Mereka, umat Islam pada saat itu sedang dijemput ajal dengan cara yang begitu mengerikan. Mereka tak sempat lagi mengingati kenangan indah dan manis yang pernah mereka alami.”

Tidak hanya orang dewasa saja yang menjadi korban kekejaman seksaan sula, tapi juga bayi. Hyphatia memberikan gambaran tentang seksaan terhadap bayi sebagai berikut:

        “Bayi-bayi yang disula tak sempat menangis kerana mereka mengalami kesakitan yang amat apabila hujung kayu menembus perut kecilnya. Tubuh-tubuh mangsa itu meregang di kayu sula untuk menamatkan nyawanya.”



Kekejaman seperti yang telah dipaparkan di atas itulah yang selama ini disembunyikan oleh Barat. Menurut Hyphatia hal ini terjadi kerana dua sebab.

            Pertama, pembunuhan beramai – ramai yang dilakukan Dracula terhadap umat Islam tidak boleh dihapuskan dari Perang Salib. Negara-negara Barat semasa Perang Salib menjadi tunggak utama tentera Salib, tidak mahu mengakui kekejaman mereka. Mereka termasuk yang mengutuk dan menentang pembunuhan beramai–ramai oleh Hilter dan Pol Pot, tidak ingin membuka kesalahan mereka sendiri. Dan ini sudah menjadi tabiat Barat yang selalu ingin tampil seperti hero.

            Kedua, Dracula merupakan pahlawan bagi pasukan Salib. Walau bagaimana pun kejamnya Dracula, nama baiknya akan selalu dilindungi. Sehingga di Rumania hari ini, Dracula masih dianggap pahlawan. Sebagaimana sebahagian besar sejarah pahlawan-pahlawan pasti akan diambil sebagai wira dan dibuang segala tohmahan, kejahatan dan kelemahannya. Untuk menutup kekejaman mereka, Barat terus-menerus menyembunyikan siapa sebenarnya Dracula. Mereka berusaha agar sejarah, identiti Dracula yang sebenarnya tidak tersebar. Dan, harus diakui bahawa usaha Barat untuk mengubah sejarah Dracula dari fakta menjadi fantasi ini cukup berkesan.


Perutusan Sultan Mehmed II

Sultan Mehmed II (Wikipedia)

Ukuran kejayaan ini dapat dilihat dengan betapa ramainya masyarakat, khususnya umat Islam sendiri yang tidak mengetahui tentang siapa sebenarnya Dracula. Masyarakat umum hanya mengetahui bahawa Dracula adalah merupakan lagenda ‘Vampire’ (Pontianak) yang dahagakan darah, tanpa mengetahui kisah sebenarnya.

Selain membongkar penipuan yang dilakukan oleh Barat, dalam bukunya Hyphatia juga mengupas makna Salib dalam kisah Dracula. Seperti yang telah diketahui umum, bahawa entiti Dracula yang telah menjadi fantasi tidak boleh tidak ada dua benda, iaitu bawang putih dan salib.



Konon hanya dengan kedua-dua benda tersebut Dracula akan takut dan tewas. Menurut Hyphatia penggunaan simbol Salib merupakan cara Barat untuk menghapus jejak sejarah pahlawan Mujahid-Mujahid Islam dalam perang salib, sekaligus untuk menunjukkan kehebatan mereka.

Sultan Mahmud II (di Barat dikenal sebagai Sultan Mehmed II) dan juga dikenali sebagai Al- Fateh dalam sejarah Islam. Sultan ini merupakan penakluk Konstantinopel yang sekaligus musuh Dracula, ia adalah seorang yang telah mengalahkan dan memenggal kepala Dracula di tepi Danua Snagov. Namun Barat berusaha memutarbelitkan fakta ini .


Hukum 'selfie' harus, bergantung kepada niat

KUALA LUMPUR: Sebelum apa-apa kita 'selfie' dulu", itu antara dialog yang sering didengar dan menjadi kebiasaan peminat 'selfie', fenomena baharu yang menjadi trend masa kini masyarakat, khususnya kalangan Gen Y dan Gen Z.

Hanya dengan menggunakan telefon pintar atau kamera web yang dilengkapi aplikasi Internet, pengguna boleh 'selfie' dan terus memuat naik gambar ke laman sosial seperti Instagram, Facebook dan Twitter.
'Selfie' merujuk kepada perbuatan mengambil gambar sendiri menggunakan telefon pintar untuk dimuat naik ke laman sosial.

Perkataan 'selfie yang menjadi popular pada tahun lalu apabila dikaitkan dengan tokoh-tokoh dunia akan menjadi sebahagian daripada Kamus Dewan, kamus bahasa Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), demikian menurut Ketua Pengarahnya Datuk Dr Awang Sariyan.


APAKAH HUKUM 'SELFIE'

Dalam menempuhi Ramadan yang penuh barakah ini, melakukan 'selfie' dilihat semakin rancak dalam kalangan umat Islam sedangkan dalam Islam mengajar umatnya bersederhana dalam segala hal dan tidak menunjuk-nunjuk.
Timbul persoalan apakah hukum 'selfie' ketika umat Islam mengejar sebanyak-banyak pahala mengabdikan diri kepada Yang Maha Esa dan meningkatkan amal ibadat di bulan mulia ini.


Menjawab persoalan itu, pensyarah kanan Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Ustaz Dr Muhammad Lukman Ibrahim berkata hukum asal 'selfie' adalah harus tetapi ia berubah mengikut keadaan.

Jelasnya, jika berniat sekadar bergambar biasa untuk berkongsi detik indah bersama rakan-rakan, ia adalah harus.

Beliau tegas mengingatkan bahawa individu yang 'selfie' mestilah menjaga adab sopan dan hukum hakam agama seperti menutup aurat, memakai pakaian yang longgar, tidak melampau serta tidak bertujuan menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah.

"Apabila 'selfie' sudah menjadi satu tabiat iaitu ke mana sahaja hendak 'selfie' maka ia termasuk dalam perkara yang sia-sia. Allah SWT berfirman (sifat) orang mukmin ialah menjauhi perkara sia-sia," katanya kepada Bernama.

Turut mengulas sikap mereka yang gemar berkongsi gambar-gambar menunjukkan kemewahan dan berbangga-bangga, Dr Muhammad Lukman berkata perlakuan sedemikian harus dijauhi.

"Gambar-gambar makanan di hotel-hotel bertaraf lima bintang dan seumpamanya tidak sepatutnya dikongsikan di laman media sosial seperti Facebook, Twitter, dan Instagram.

Pada masa sama, beliau berpendapat perkara yang kelihatan mewah dan mempamerkan rasa bangga tidak perlu dikongsi kerana ia boleh mencetuskan sifat riak kepada individu berkenaan dan menimbulkan perasaan hasad dengki kepada orang yang melihatnya.

NIAT IKHLAS


Berkongsi pandangan yang serupa, pensyarah kanan, Jabatan Syariah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim berkata budaya 'selfie' perlu dilihat daripada sudut positif.

"Jika ada yang sengaja bertujuan bermegah-megah atau menunjuk-nunjuk ketika 'selfie' maka itu antara dia dengan Allah SWT, bagi saya ia tidak dilarang dalam syarak. Begitu juga sekiranya ia bertujuan mengagung-agungkan Ramadan.

"Mungkin dengan cara 'selfie' di masjid menguatkan lagi semangat orang lain untuk datang ke masjid, pada masa sama kita seronok melihat mereka begitu gembira dengan kehadiran Ramadan," katanya.

Mengenai sikap segelintir mereka yang suka berkongsi gambar makanan di laman sosial, beliau berkata: "Ia tidak salah, sekiranya gambar yang dikongsi bersama 'friends' atau 'followers' itu adalah golongan sama taraf dengan mereka. Tetapi jika di kalangan teman-teman, ada golongan yang susah atau fakir miskin maka lebih baik jangan dimuat naik."

Mohd Izhar menasihatkan masyarakat memperbetulkan setiap niat mereka agar dapat mengajak masyarakat mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Belia Masjid Batu Gajah, Mohd Shaiful Rizal Mohd Saed, 29, berkata budaya 'selfie' dalam beribadat tidak perlu kerana ia melibatkan urusan antara manusia bersama Allah SWT.

"Tidak dinafikan ada 'selfie' yang membawa ke arah kebaikan tetapi kadang kala bimbang jika gambar yang dikongsi akan menimbulkan fitnah," katanya mengingatkan.

- BERNAMA