Penjara lagi aman daripada isteri


Rome: Gara-gara tidak tahan tinggal bersama isteri, seorang lelaki yang diperintah menjalani hukuman penahanan dalam rumah sengaja melanggar arahan mahkamah dengan meninggalkan kediamannya supaya ditangkap dan dihantar ke penjara.

Agensi berita ANSA melaporkan, Walid Chaabani, 32, melarikan diri dari rumah tempat dia menjalani hukuman itu di Livorno bagi tuduhan membabitkan dadah, Selasa lalu.


Tindakan lelaki berkenaan membuatkan polis menangkapnya.

Berbanding merayu untuk dimaafkan, Walid sebaliknya merayu supaya dihantar ke penjara.


“Rupanya dia tidak tahan hidup bersama isterinya kerana bosan bergaduh setiap hari,” menurut jurucakap polis dalam satu kenyataan yang dibuat, semalam.


Permohonannya itu diluluskan mahkamah tempatan yang memerintahkannya terus dimasukkan ke penjara.

Lelaki berbangsa Tunisia berkenaan kini sedang menjalani hukumannya di sebuah penjara daerah di Tuscany.


Awal tahun lalu, seorang lelaki di New Zealand yang menjalani hukuman penahanan dalam rumah juga meminta dibawa ke penjara kerana muak dengan Xbox miliknya. - Agensi

Sumber: Harian Metro

Amerika Syarikat sedang uji senjata laser

HEL MD (Foto: Yahoo)

WASHINGTON - Tentera Amerika Syarikat (AS) dikhabarkan melakukan ujian senjata laser bulan lalu. Dalam ujian itu senjata laser berjaya menembak semua sasaran.

Senjata laser tersebut diberi nama High Energy Laser Mobile Demonstrator (HEL MD). HEL MD digadang sebagai senjata yang berkesan dan murah.

"Walaupun laser hanya boleh menembak satu target dalam satu masa, kita boleh mengunci beberapa sasaran secara serentak," ujar Pengurus Program HEL MD, Terry Bauer, seperti  dipetik Yahoo News, Jumaat (3/1/2014).

"Kita tidak akan kekurangan peluru seperti pada senjata konvensional. Apapun sasarannya, laser akan tepat mengenai sasaran, "lanjut Bauer.

Tentera AS sudah mengembangkan senjata laser sejak 2011. HEL MD tercatat memancarkan sinar laser sekuat 10 kilowatt (kw).

"Kami merancang meningkatkan kekuatannya hingga 100 kw," tukas Bauer

Sumber: international.okezone.com

Bayi kembar lahir di tahun berbeza

Foto: ABC News

WASHINGTON - Saat semua orang sedang asyik merayakan pergantian tahun, dua ibu berjuang melahirkan bayi kembar mereka pada 2013 dan 2014. Satu bayi menjadi bayi yang terakhir lahir di 2013, sementara yang lainnya menjadi bayi pertama di 2014.

Kedua bayi ini lahir ke dunia dalam tahun yang berbeza. Yaleni Santos Tohalino melahirkan bayi perempuan pertamanya Lorraine Yaleni Begazo pada 31 Desember 2013 pukul 11.58 malam waktu setempat. Bayi perempuan itu lahir dengan berat 3 kilogram (kg) di MedStar Washington Hospital Center, di Washington, Amerika Syarikat (AS). Demikian seperti dilapor dari ABC News, Khamis (2/1/2013).

Tak lama berselang, saudara kembar lelakinya bernama Brandon Ferdinando Begazo lahir pada 1 Januari 2014 pada pukul 12.01 pagi waktu setempat dengan berat 2,5 kg.

"Saya merasakan kebahagiaan yang sangat besar. Ini anak pertama kami, dan mereka sangat sihat dan cantik, ibunya sangat bahagia," ujar ayah dari bayi kembar itu, Warren Begazo kepada ABC News.

Sementara di Toronto, Kanada, dua pasang anak kembar juga lahir pada 2013 dan 2014. Mereka yang lahir di Hospital Trillium Health Partners-Credit Valley, kakak yang paling tua Gabriela Salgueiro lahir pada 31 Desember 2013 pukul 11.52 malam waktu setempat dengan berat 3 kg.

Sementara adiknya, Sophia Salgueiro lahir pada 1 Januari 2014 pukul 12.00 pagi waktu setempat dengan berat 2,5 kg. Kedua ibu dan bayinya ini dilaporkan dalam kondisi sihat dan dibenarkan segera pulang.

Sumber: international.okezone.com

Pelakon sinetron kahwin kerana diugut sebar gambar bogel

Foto: Google

Jakarta: Pelakon sinetron Aurelie Moeremans mengaku terpaksa mengahwini Roby Tremonti selepas diugut gambar bogelnya disebarkan.

Aurelie mengakui menghantar gambar bogel kepada Roby hampir setiap hari tanpa menyangka itu menjadi jaminan supaya dia tidak meninggalkan hubungan itu.


“Saya akui, memang tindakan saya itu terlalu bodoh.

“Hampir setiap hari dia meminta saya mengirimkan gambar ‘panas’ yang jelas menunjukkan wajah saya.


“Tanpa disangka, gambar itu kemudian dijadikan ancaman sekiranya saya memutuskan hubungan kami,” katanya.


Aurelie berkata, beberapa gambarnya itu diambil di dalam bilik tidurnya.

“Semuanya dirancang Roby yang membuat rakaman ketika saya bercakap,” katanya.


Sehubungan itu, dia mengakui menyesal kahwin lari malah mendakwa dikurung di rumah mentua selepas pernikahan mereka. Bagaimanapun, tuduhan dilemparkannya itu dinafikan sekeras-kerasnya oleh Roby. - Agensi

Sumber: Harian Metro

Lucu, Kanak-kanak tertidur difoto bersama Obama

Foto Obama dengan kanak-kanak ketiduran (Foto: The White House)

WASHINGTON - Banyak foto unik yang belum diterbitkan oleh pihak Rumah Putih mengenai keseharian Presiden Amerika Syarikat ( AS ) Barack Obama . Salah satunya adalah gambar budak yang tertidur dan Obama pun menyempatkan diri untuk foto bersama dengan budak yang tengah terlelap itu .

Kejadian tersebut berlangsung dalam perayaan Hari bapa pada 14 Jun 2013 lalu . Saat itu , Rumah Putih menjamu warga dalam makan malam bersama .

Tiba - tiba saja Obama menyedari ada seorang budak yang tengah terlelap di salah satu meja . Segera Presiden Obama pun menghampiri kanak-kanak tersebut dan meminta jurugambar Rumah Putih mengambil foto dirinya dengan kanak-kanak tersebut .

" Presiden memanggil saya untuk diambil gambar dirinya dengan kanak-kanak yang tertidur dalam perayaan di Rumah Putih , " ujar Jurugambar Gedung Putih Pete Souza , seperti dilapor Daily Mail , Khamis ( 2/1/2014 ) .

Kanak-kanak tersebut kelihatan berpakaian lengkap suit dan tali leher . Namun dirinya justru menjadi perhatian Obama kerana tertidur di acara tersebut dan mengundang senyuman dari mereka yang berada di dalam Rumah Putih .

Sumber: international.okezone.com

Kajian: Kurang tidur punca otak rosak


STOCKHOLM - Satu kajian yang dijalankan sebuah universiti Sweden mendapati, individu yang tidak tidur semalaman boleh berdepan kerosakan otak, sama seperti kesan dipukul di bahagian kepala.

Menurut penyelidik, kajian yang dijalankan ke atas belia lelaki yang tidak tidur menunjukkan peningkatan dalam jumlah kimia yang sama seperti kerosakan otak.

Pensyarah Universiti Uppsala, Profesor Christian Benedict berkata, bahan kimia NSE dan S-100B di dalam kepala merupakan petunjuk bagi kerosakan otak contohnya yang mengalami gegaran.

"Menurut penemuan kajian, jumlah dua bahan kimia itu yang berada dalam darah responden, meningkat jika mereka tidak tidur semalaman.

"Semasa tidur, otak menjalankan tugas pembersihan daripada bahan toksik, manakala bahan kimia NSE serta S-100B meningkat sebagai tindak balas kepada bahan-bahan tersebut,'' katanya.

Benedict berkata, penemuannya itu menyokong penyelidikan sebelum ini yang menyatakan bagaimana otak menggunakan waktu tidur untuk melakukan tugas pembersihan.

Selain itu katanya, penemuan tersebut turut menyokong kajian sebelum ini yang mengaitkan kurang tidur dengan risiko mendapat penyakit nyanyuk, Parkinson dan penyakit sclerosis.

Sebagai rumusan tambahnya, penemuan kajian itu menunjukkan tidur yang cukup pada waktu malam amat penting untuk mengekalkan kesihatan otak. - AGENSI

Johor kembali cuti Jumaat, Sabtu mulai hari ini

 Image: Google

SHAH ALAM - 3 Januari 2014 (Jumaat) merupakan hari pertama negeri Johor memulakan cuti mingguan Jumaat Sabtu sepertimana yang diputuskan sebelum ini.

Pertukaran cuti mingguan tersebut berikutan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar yang mahukan cuti mingguan tersebut ditukar dari hari Sabtu Ahad kepada Jumaat Sabtu bagi memberi ruang kepada umat Islam memperbanyakkan amalan pada hari tersebut.

Baginda bertitah, Jumaat adalah penghulu kepada semua hari dan umat Islam perlu mengambil peluang keberkatan hari Jumaat untuk memperbanyakkan amalan yang dituntut.

“Pada masa kini, kita dapat perhatikan golongan lelaki terkejar-kejar ke masjid untuk solat Jumaat pada waktu rehat yang singkat. Waktu khutbah pula sering dijadikan sebagai waktu berehat dan tidur.

“Selepas selesai solat Jumaat pula, mereka bergegas bangun meninggalkan masjid sehingga ada yang tidak sempat menunggu imam selesai membaca doa. Kita sedia maklum, di Malaysia ini masih ada beberapa negeri yang mengamalkan cuti pada hari Jumaat malah Johor juga sudah mengamalkannya sebelum ini.

“Oleh yang demikian, selepas menilai banyak pandangan, saya membuat keputusan muktamad supaya hari cuti mingguan Johor ditukar kepada hari Jumaat dan Sabtu berkuatkuasa 1 Januari 2014,” titah baginda sempena Istiadat Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Johor Ke-55, di Dewan Jubli Sultan Ibrahim, tahun lalu.

Johor pernah menjadikan Jumaat Sabtu sebagai cuti mingguan sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Bagaimanapun cuti itu ditukar kepada Sabtu dan Ahad bermula 1994. Selepas 19 tahun mengamalkan cuti mingguan pada Sabtu Ahad, bermula esok, cuti berkenaan kembali semula kepada Jumaat Sabtu.

Antara negeri yang mewartakan cuti hujung minggu pada Jumaat dan Sabtu ialah Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Sumber: Sinar Harian