Pentas roboh semasa konsert Sweet Charity

 
RAMLI Sarip bersama kumpulannya, Sweet Charity telah mengadakan pelbagai jenis persembahan pentas sama ada yang berskala kecil atau besar di Malaysia dan Singapura sejak ditubuhkan 44 tahun lalu.

Banyak daripada persembahan pentas yang mereka jayakan itu meninggalkan nostalgia pahit dan manis yang sukar dilupakan termasuklah di hati para peminat biarpun kadang-kala ia telah berlaku lebih dua dekad yang lalu.

Sebagai penyanyi utama Sweet Charity, Ramli atau popular dengan gelaran Papa Rock, dia paling tidak dapat melupakan persembahan yang dijayakannya bersama kumpulannya itu di Johor Bahru, Johor 27 tahun lalu.

Menurut rocker berusia 62 tahun ini, dalam insiden itu pentas persembahan yang mereka jayakan telah roboh kerana bilangan penonton yang datang melebihi kapasiti tempat berlangsungnya persembahan tersebut.

"Pada persembahan di Taman Pelangi, Johor Bahru itu, seramai hampir 12,000 penonton telah menyaksikan konsert Sweet Charity biarpun tempat itu hanya mampu memuatkan 5,000 penonton sahaja pada satu-satu masa.

"Harga tiket yang dikenakan ketika itu cuma RM10 dan RM12 sahaja. Mungkin kerana agak padat di tempat yang tidak berapa besar menyebabkan para peminat berasak-asak sehingga pentas persembahan kami itu runtuh.

"Ketika itu, ada juga di kalangan penonton yang pengsan sehingga kami pula yang kemudiannya telah dipersalahkan oleh beberapa pihak, sedangkan pihak penganjur yang sepatutnya bertanggungjawab di atas insiden itu.

"Malah, ekoran insiden itu saya telah dilarang daripada memasuki Johor selama hampir setahun," katanya ketika ditemui pada majlis sidang akhbar Konsert Dimensi Rockarisma di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Majlis itu bagi mengumumkan konsert terbarunya bersama Sweet Charity di Stadium Tertutup, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) pada 9 Februari ini pukul 8.45 malam bersama dua lagi kumpulan iaitu Lefthanded dan MAY.

Jelas Ramli, konsert itu adalah yang kedua dijayakannya bersama Sweet Charity selepas insiden yang sukar dilupakannya di Johor Bahru lebih dua dekad lalu dan ia pula pertama kali menggabungkan Lefthanded dan MAY.

"Saya masih ingat lagi insiden di Taman Pelangi 27 tahun lalu itu dan kami harap ia tidak berulang lagi pada konsert terbaru kami di Stadium Tertutup MBJB itu nanti. Sebabnya kemudahan pentas dan ruang konsert kali ini lebih baik.

"Difahamkan tempat itu boleh memuatkan lebih 7,000 penonton selain faktor keselamatan yang akan dititikberatkan secara tidak langsung juga akan mengelakkan insiden dulu tidak berlaku lagi pada konsert itu nanti," ujarnya.

Tiga kali tukar lokasi

Konsert Dimensi Rockarisma yang bakal diadakan di Johor Bahru anjuran Rockarisma Capital Sdn. Bhd. itu seakan-akan harus menempuh pelbagai halangan sebelum ia akhir muktamad diadakan di Stadium MBJB selama hampir tiga jam itu.

Sebabnya konsert yang mengenakan tiket-tiket berharga RM58 dan RM78 itu sepatutnya diadakan di Stadium Negeri Melaka tetapi kemudiannya bertukar lokasi ke Pasir Gudang, Johor kerana sebab-sebab tertentu.

Namun, jelas penyanyi warganegara Singapura ini, penggunaan lokasi di Pasir Gudang itu turut dibatalkan yang mana pihak penganjur mendapati Stadium Tertutup MBJB adalah lokasi yang paling sesuai untuk konsert tersebut.

"Asalnya konsert ini mahu diadakan di Melaka tetapi dibatalkan kerana ia tempat terbuka dan kurang sesuai dalam keadaan cuaca tidak menentu sekarang ini. Tapak padang di Pasir Gudang pula sedang dalam proses baik pulih.

"Hanya Stadium Tertutup MBJB sahaja di Johor Bahru yang ada kekosongan dan sesuai untuk diadakan konsert seperti ini," jelasnya yang akan tampil mengadakan persembahan hampir sejam pada konsert itu kelak.

Pada konsert itu, Sweet Charity akan menampilkan tiga lagi anggotanya iaitu Rosli Mohalim selaku pemain gitar utama, Rahman Sarbani (dram) dan Hamid Ahmad (bassis) yang mana kesemuanya berasal dari Singapura.

Jelas penyanyi yang popular dengan lagu seperti Kamelia, Teratai dan Sejuta Wajah ini, konsert itu bukan sahaja akan mengimbau nostalgia para peminat Sweet Charity tetapi juga Lefthanded yang mewakili era yang berbeza.

"Sweet Charity mula mencipta nama pada akhir 1970-an, Lefthanded pada awal 1980-an dan MAY pula akhir 1980-an hingga awal 1990-an. Lefthanded dan MAY ada zaman mereka sendiri dengan lagu-lagu hits masing-masing.

"Konsert ini menampilkan kumpulan yang mewakili tiga era berbeza yang mana para peminat yang datang juga mungkin berbeza-beza umur dan latarbelakang. Selain Kuala Lumpur die hard fans Sweet Charity juga ramai di Johor Bahru.

"Saya dapat rasakan hal itu semasa menjadi artis undangan pada malam Anugerah Juara Lagu ke-27 baru-baru ini. Saya tidak sangka gegaran dan impak persembahan pada segmen itu vibrasinya amat luar biasa.

"Itu menunjukkan para peminat dahagakan konsert-konsert yang sebegitu. Saya juga mahu berkongsi lagu-lagu Sweet Charity yang pernah kami rakamkan 30 tahun lalu terutama untuk para peminat muda hari ini," ungkapnya.

Konsert itu juga kata Ramli ia akan dirakamkan dan bakal diterbitkan dalam bentuk cakera video digital (DVD) selain merancang untuk menjual hak siarannya kepada mana-mana stesen televisyen (TV) yang berminat untuk menyiarkannya.

Jelasnya, itu bukan kali pertama kali persembahannya dan Sweet Charity dirakamkan dan kemudiannya disiarkan di TV, tetapi jika segalanya berjalan lancar ia akan menjadi konsert kelimanya yang dirakamkan dalam format video.

"Sebelum ini sebanyak empat konsert besar saya telah dirakamkan dalam bentuk video dan kali terakhir adalah Konsert Raksasa Sweet Charity dan Blues Gang yang diadakan di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada tahun lalu.

"Rakaman konsert itu telah dirakamkan di saluran Astro Fiesta baru-baru yang mana ia memberi peluang kepada para penonton yang tidak dapat hadir menyaksikan konsert tersebut. Kami ada rancangan untuk menerbitkannya dalam DVD.

"Konsert seperti ini penting untuk dirakamkan kerana ia boleh dijadikan khazanah untuk tatapan generasi akan datang. Bukan Sweet Charity sahaja malah, banyak kumpulan terkenal dari Barat yang telah lama melakukannya.

"Contohnya kumpulan seperti Pink Floyd, Led Zeppelin dan Rolling Stones yang telah merakamkan konsert-konsert besar mereka dan diterbitkan juga dalam bentuk DVD," ujarnya yang kelihatan cukup bersemangat pada majlis itu.

Hadir sama pada majlis itu ialah Nash dan Man Kidal yang mewakili Lefthanded. Sebarang pertanyaan berhubung konsert dan pembelian tiket sila hubungi talian 03-7880799 atau layari laman sesawang www.ticketpro.com.my

No comments:

Post a Comment