Kanak-kanak dirogol berulang kali, dipaksa gugur kandungan


Lakaran wajah tertuduh ketika mendengar prosiding mahkamah semalam. - Foto ihsan BBC
OXFORD - Mengejutkan tetapi ini yang didakwa dilakukan oleh sekumpulan lelaki. Setiap kali mangsa yang mereka rogol hamil, kumpulan sembilan lelaki  juga akan melakukan pengguguran.

Perkara itu didedahkan di sebuah mahkamah di sini yang mendengar kes seorang kanak-kanak 12 tahun, yang dirogol berkali-kali oleh sekumpulan lelaki.

Kanak-kanak perempuan itu merupakan salah seorang mangsa eksploitasi seks oleh sembilan lelaki dari Berkshire dan Oxfordshire.

Kumpulan lelaki itu menafikan 51 tuduhan termasuk rogol, pelacuran dan penyeludupan kanak-kanak perempuan berusia antara 11 hingga 15 tahun dari tahun 2004 hingga 2012.

Mangsa telah dijual kepada Mohammed Karrar ketika mencecah usia 11 tahun untuk ‘mengubati’ sikap buruknya.

Pendakwa raya Noel Lucas QC memberitahu mahkamah bahawa kanak-kanak terbabit dijadikan mangsa bagi aktiviti seksual, menyediakan minuman keras dan juga ubat-ubatan.

Dia dan adiknya, Bassam Karrar berulang kali merogol gadis malang itu dan turut membuat rancangan dengan lelaki-lelaki lain untuk merogol gadis itu dengan cara yang cukup kejam.

Mohammed Karrar juga pernah memanaskan pin rambut menggunakan pemetik api dan menandakan huruf M pada punggung mangsa bagi menunjukkan gadis itu adalah miliknya.

Apabila gadis itu hamil pada usia 12 tahun, dia mengaturkan urusan pengguguran haram di bilik belakang.

“Dia menganggap yang gadis itu seperti harta miliknya. Dia merasakan yang dia berhak melakukan hubungan seks jika mahu,” kata Lucas.

Seorang lagi gadis berusia 14 tahun menerima ugutan dibakar jika enggan melakukan seks.

Dia bertemu defendan Kamal Jamil, Anjum Dogar dan Akhtar Dogar semasa tinggal di rumah kanak-kanak ketika berusia 14 tahun.

Lucas kemudian memberitahu mahkamah yang gadis itu juga terpaksa menurut segala kemahuan lelaki berkenaan, jika tidak dia akan diancam dan diperlakukan secara ganas.

Gadis itu juga memberitahu pernah dibawa ke lorong-lorong, hutan dan rumah pelanggan jika ada mana-mana lelaki yang mahu mengadakan hubungan seks dengannya.

Mahkamah sebelum ini mendakwa sekumpulan lelaki menyasarkan gadis-gadis muda untuk dijadikan mangsa bagi sesiapa yang mahu menggunakan gadis-gadis sebagai pemuas nafsu.

Perbicaraan dijangka berlarutan sehingga April ini.

sinar harian


4 comments: