The Sun henti siar model separuh bogel

GAMBAR hiasan, muka depan The Sun.

London: Akhbar paling laris di Britain, The Sun membuat keputusan secara senyap untuk berhenti menyiarkan gambar model separuh bogel pada laman tiga, sekali gus mengakhiri tradisi selama 44 tahun akhbar yang dimiliki Rupert Murdoch itu, lapor The Times semalam.

The Sun, anak syarikat yang dimiliki oleh jutawan media News Corp itu menyiarkan gambar model muda yang mendedahkan payu dara mereka sejak 1970, mencetuskan kecaman daripada aktivis wanita yang melihatnya sebagai perbuatan merendahkan martabat wanita dan menjadikan mereka objek seks.

Tanpa menyebut sumbernya, The Times yang juga sebahagian daripada empayar akhbar Britain milik Murdoch berkata, ia difahamkan The Sun keluaran Jumaat lalu edisi cetakan yang terakhir yang menyiarkan gambar model separuh bogel.

Model seumpama itu tetap akan muncul dalam edisi Internet akhbar itu. Hanya wanita yang berpakaian seksi, tetapi tidak separuh bogel disiarkan dalam edisi cetaknya selepas ini.

The Sun sudah sekian lama bertahan untuk membuat perubahan itu kerana bimbang ia menjejaskan jualan. Sekurang-kurangnya terdapat satu akhbar Britain lain yang memaparkan gambar wanita separuh bogel.

September lalu, Murdoch menyifatkan tradisi itu sebagai ‘lapuk’ dan ia menjadi punca aktivis wanita di Britain tidak membeli akhbar itu.

Dia difahamkan bertanggungjawab mengarah supaya tradisi menyiarkan gambar separuh bogel wanita itu ditamatkan. - Agensi

1 comment: