10 pelanggan restoran mengamuk ayam goreng terlalu pedas


Kuala Lumpur: Hanya kerana ayam goreng yang dipesan terlalu pedas, 10 pelanggan sebuah restoran di Jalan Tun Sambathan, di sini, mengamuk dan memaki hamun pekerja restoran itu sebelum seorang daripada mereka mengacukan pistol dan mengugut ingin menembak pekerja terbabit.

Dalam kejadian jam 4 pagi kelmarin, pelanggan terbabit yang datang dengan tiga kereta berhenti di hadapan restoran sebelum duduk di meja makan di bahagian luar restoran itu.


Menurut sumber, seorang pekerja berusia 22 tahun kemudian mengambil pesanan makanan mereka sebelum beredar ke bahagian dapur.

“Selang beberapa minit kemudian makanan yang dipesan siap dan pekerja terbabit menghantar makanan itu kepada semua lelaki itu.


“Bagaimanapun, tidak lama kemudian seorang daripada lelaki itu memanggil mangsa dan memberitahu ayam goreng dipesan terlalu pedas,” katanya.


Sumber berkata, mangsa memberitahu akan menukar semula ayam itu.

“Namun lelaki itu menghamburkan kata-kata kesat menyebabkan rakan pekerjanya yang lain datang untuk mendapatkan penjelasan.


“Keadaan bertambah tegang apabila seorang daripada lelaki itu berlari semula ke arah kereta sebelum datang membawa beg sandang,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit mengeluarkan sepucuk pistol dari dalam beg itu dan mengacukan ke kepala mangsa serta mengarahkannya supaya tidak melawan jika tidak mahu ditembak.


“Tindakan itu menyebabkan pelanggan lain yang menyaksikan kejadian itu melarikan diri sementara mangsa yang terkejut hanya berdiam diri.


“Lelaki itu mengugut akan datang sekali lagi selepas ini sambil memarahi mangsa sebelum menolaknya sehingga terjatuh. Mereka beredar tanpa membuat bayaran,” katanya.


Mangsa yang terselamat dan tidak cedera ditenangkan rakan-rakannya sebelum mereka menasihatinya membuat laporan polis.


Bimbang ugutan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Brickfields.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Muhammad Az Lee Abdullah mengesahkan menerima laporan kejadian itu kes disiasat mengikut 506 Kanun Keseksaan. - Harian Metro



5 comments:

  1. Jadi waiter restoran pun dah tak selamat sekarang kalau macam ini caranya..

    ReplyDelete
  2. oit..ayam goreng pedas pun masalah ke..? hadooi..

    ReplyDelete
  3. oit..ayam goreng pedas pun masalah ke..? hadooi..

    ReplyDelete