Polis dan penjenayah berbalas tembakan selama 2 jam di Ipoh

 ANGGOTA polis mengepung rumah di Taman Syukur yang dihuni empat penjenayah.

Ipoh: Sekumpulan penjenayah bersenjata api berbalas tembakan dengan sepasukan anggota polis selepas enggan menyerah diri dan terus bersembunyi di dalam rumah hampir dua jam di Taman Syukur, di sini, malam kelmarin.

Penjenayah dipercayai anggota kumpulan kongsi gelap dan pengedar dadah yang disyaki menembak mati seorang lelaki berusia 25 tahun dan mencederakan dua yang lain di sebuah restoran di Lebuh 5, Kampung Simee, di sini, 29 Julai lalu.

Dalam kejadian jam 9.30 malam, kira-kira 100 penduduk sekitar taman itu terkejut apabila menyaksikan adegan tembakan sebelum empat penjenayah berjaya ditangkap.

Timbalan Ketua Polis Perak Datuk A Paramasivam ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, sepasukan anggota Cawangan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak (IPK) menahan empat penjenayah yang dipercayai menjadikan rumah teres dua tingkat itu sebagai tempat persembunyian.

 SEORANG daripada empat penjenayah dibawa polis menaiki kenderaan selepas kejadian tembakan di Taman Syukur, awal pagi semalam.

Menurutnya, beberapa das tembakan dilepaskan polis berikutan seorang suspek yang cuba melarikan diri memiliki pistol automatik dan melepaskan tembakan ke arah anggota polis.

“Sebaik menyerbu rumah itu, polis berjaya menahan dua suspek di tingkat bawah rumah. Seorang lagi suspek cuba melarikan diri menerusi bumbung, tetapi terjatuh ke lantai rumah jiran.

“Sementara itu, seorang penjenayah yang mempunyai senjata api berjaya ditangkap di kawasan berhampiran,” katanya.

Beliau percaya suspek berusia 30-an itu terbabit dalam kes melepaskan tembakan sehingga menyebabkan seorang lelaki maut dan dua cedera di Kampung Simee sebelum ini.

“Serbuan turut menemui beberapa paket dadah Eramin selain sepucuk pistol automatik model Baret serta kelongsong peluru 9mm. Kes ini dianggap kejayaan berikutan tiada kecederaan dialami suspek dan anggota polis,” katanya.

Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan rumah disewa suspek itu dijadikan markas memproses dadah untuk pasaran tempatan.

Sementara itu, wartawan di lokasi kejadian mendapati suspek pertama dibawa keluar dan menaiki kenderaan polis pada jam 12.25 tengah malam semalam, diikuti tiga suspek lain.

Seorang jiran yang hanya mahu dikenali sebagai Rahman, 40-an, berkata, dia mulanya menyangka ada orang bermain mercun di luar rumah sebelum mendapati ramai anggota polis mengepung kediaman berkenaan.

“Saya tidak mengenali jiran yang mula menyewa rumah itu beberapa bulan lalu. Kejadian ini sungguh memeranjatkan kerana saya tidak menyangka berjiran dengan pembunuh serta penjenayah berbahaya.

“Mujur polis berjaya menangkap mereka tanpa membabitkan pertumpahan darah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Tang, 58, berkata, dia yang mencuci kereta terkejut melihat ramai anggota polis mengepung rumah suspek yang terletak 30 meter dari rumahnya.

“Tidak lama kemudian, saya terdengar bunyi tembakan sebelum segera masuk ke dalam rumah kerana ketakutan,” katanya.

MyMetro

No comments:

Post a Comment